#7264: Orang Bujang Susah Masuk Syurga?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah jika saya kekal tidak berkahwin dan tidak mempunyai sebarang zuriat, adakah saya akan susah untuk memasuki syurga? Apa yang saya boleh lakukan supaya beroleh pahala yang mengalir dan mudah masuk ke dalam syurga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berkahwin merupakan anjuran daripada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman:

وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ إِن یَكُونُوا۟ فُقَرَاۤءَ یُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang dalam kalangan kalian, dan orang-orang yang baik dalam kalangan hamba kalian baik lelaki mahupun perempuan. Sekiranya mereka dalam keadaan fakir miskin, nescaya Allah akan mencukupkan rezeki buat mereka dengan limpah kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Nur: 32)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas: “Ayat ini menyatakan bahawa hukum asal bernikah adalah sunat dan dianjurkan. Sesiapa yang berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia meneruskan tekad perkahwinan tersebut. Sesiapa yang boleh mampu, maka hendaklah dia menahan diri dan memelihara kehormatan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/38)

Dari sudut perspektif pandangan mazhab al-Syafi‘i, hukum berkahwin secara umum adalah sunat bagi yang berkehendak ke arahnya dan cukup berkemampuan. Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami berkata: “[Ia] iaitu pernikahan dengan makna berkahwin itu [hukumnya adalah mustahab, dianjurkan bagi orang yang memerlukannya] iaitu berkemampuan dengan kekuatan dirinya untuk melaksanakan persetubuhan sekalipun lemah dalam bersetubuh [mempunyai kemampuan menafkahi] berupa mahar maskahwin, pakaian pada musim-musim yang dialami, nafkah harian, (wajib diberi) meskipun dirinya sibuk dengan ibadah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/183)

Berhubung dengan soalan yang diajukan di atas, kami nyatakan bahawa dengan bernikah dan mempunyai zuriat, seseorang akan lebih mudah untuk mendapat kebaikan dan ganjaran di dunia dan di akhirat sekali gus mempermudahkannya untuk memasuki syurga. Diriwayatkan bahawa Imam ‘Amr bin Dinar rahimahullah berkata:

أَرَادَ ابْنُ عُمَرَ أَنْ لَا يَتَزَوَّجَ، فَقَالَتْ لَهُ حَفْصَةُ: أَيْ أَخِي، لَا تَفْعَلْ، تَزَوَّجْ؛ فَإِنْ وُلِدَ لَكَ وَلَدٌ فَمَاتُوا كَانُوا لَكَ أَجْرًا، وَإِنْ عَاشُوا دَعَوُا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَكَ

Maksudnya: Ibn Umar R.Anhuma pernah berhasrat untuk tidak berkahwin, lantas Ummul Mukminin Hafsah (yakni kakaknya) berkata kepadanya: ‘Wahai saudaraku, jangan lakukan begitu, berkahwinlah. Ini kerana jika kamu direzekikan mempunyai anak tetapi anak itu meninggal dunia awal (sebelum kamu), mereka akan menjadi pahala untukmu, dan jika mereka hidup, mereka akan berdoa kepada Allah ‘Azza wa Jalla (kebaikan) untukmu.

Riwayat Sa‘id bin Mansur dalam al-Sunan (508); ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10388); Imam al-Baihaqi menilainya maqbul di sisi Imam al-Syafi‘i (7/79), dan dinilai mursal sahih oleh Syeikh Muhammad Mubarak Hakimi dalam al-‘Atiq (20/493)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa berkahwin dan mempunyai zuriat akan membantu seseorang untuk lebih mudah beroleh pahala yang banyak dan memasuki syurga Allah SWT. Namun, ini bukanlah bermakna orang yang bujang tidak akan masuk syurga. Hanya orang yang membenci perkahwinan atas dasar ia merupakan sunnah Nabi yang akan terhalang daripada memasuki syurga. Hal ini kerana, membenci sunnah Nabi merupakan salah satu perbuatan yang berbahaya buat akidah seorang Muslim.

Hal ini bertepatan dengan hadith Anas bin Malik RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَأَتَزَوَّجُ النِّسَآءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Dan aku menikahi wanita, sesiapa yang membenci sunnahku (antaranya adalah pernikahan), maka dia bukanlah termasuk dalam golongan (yang mengikuti semua sunnahku).”

Riwayat al-Bukhari (5063) dan Muslim (1401)

Imam Ibn al-Mulaqqin mensyarahkan hadith ini dengan menyebutkan bahawa kecaman/ancaman hadith di atas adalah terkena kepada orang yang meninggalkannya sebagai kerana membencinya, tidak mempercayai kebaikan yang ada padanya; adapun orang yang meninggalkan pernikahan kerana dirinya memang dianjurkan untuk meninggalkannya, sepertimana yang telah dijelaskan, sama ada kerana tidak berkemampuan atau sibuk dengan ibadah yang diizinkan atau yang semisalnya, maka orang seperti ini tidak termasuk di dalam ancaman hadith ini.” (Lihat al-I‘lam fi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam, 8/126)

Bagi memastikan pahala sentiasa mengalir, bagi yang belum dikurniakan sebarang zuriat, bolehlah menumpukan kepada dua peluang selainnya iaitu melazimi amalan sedekah, infaq dan wakaf serta mempelajari ilmu bermanfaat serta menyebarkannya kepada masyarakat. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإنْسَانُ انْقَطَعَ عنْه عَمَلُهُ إِلَّا مِن ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِن صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو له

Maksudnya: “Sekiranya seorang anak Adam (manusia) itu mati, terputuslah segala amalannya melainkan beberapa perkara, antaranya adalah: sedekah yang berterusan (amalan wakaf), ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh buat dirinya.”

Riwayat Muslim (1631)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”

Wallahu a‘lam.