#7265: Mandi Wajib Selepas Oral Seks

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, perlukah mandi wajib selepas buat hubungan oral seks suami isteri?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan di atas, kami bawakan firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُوا۟ وُجُوهَكُمۡ وَأَیۡدِیَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَكُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَیۡنِۚ وَإِن كُنتُمۡ جُنُبࣰا فَٱطَّهَّرُوا۟ۚ

Maksudnya: “Wahai sekalian orang yang beriman, apabila kamu hendak melaksanakan solat maka basuhlah wajah kalian dan kedua-dua tangan kalian hingga ke siku, dan sapulah sebahagian kepala kalian dan kaki-kaki kalian hingga ke buku lali. Sekiranya kalian dalam keadaan berjunub (hadas besar) maka bersucilah.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas ini menyatakan bahawa: “Allah SWT berfirman: [Jika kamu dalam keadaan berjunub, maka bersucilah] iaitu mandilah (mandi wajib). Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Nabi SAW jika melaksanakan mandi wajib, Baginda akan memulakan dengan membasuh kedua tangannya terlebih dahulu, kemudian Baginda akan mengambil wuduk sepertimana wuduk hendak bersolat, kemudian Baginda akan memasukkan jari-jarinya ke dalam air dan menyelati pangkal rambutnya dengan air tersebut, kemudian Baginda akan menyiram air ke atas kepala Baginda sebanyak tiga kali cedokan dengan kedua-dua tangannya, kemudian barulah Baginda menyiramkan air ke seluruh tubuh badannya.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/26)

Berhubung soalan di atas, kami takrifkan seks oral (oral sex) adalah sebagai suatu cara memberikan rangsangan seksual pada alat kelamin bahagian vital (hadapan) atau anus (belakang) pasangan menggunakan mulut, sama ada dengan bibir ataupun lidah.

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum pasangan suami isteri melaksanakan seks oral ini. Ulama al-Syafi‘iyyah secara zahir membenarkannya. Mereka menegaskan bahawa harus hukumnya bagi seorang suami untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit isterinya, secara seksual dan baik, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Imam Zainuddin al-Malibari:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya: “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.” (Lihat Fath al-Mu‘in Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 482)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menfatwakan bahawa dibenarkan melakukan perkara yang sama pada anus (lubang dubur) dengan syarat tidak memasukkan zakar ke dalam dubur (anal sex), ujar Syeikh al-Islam:

وَالتَّلَذُّذُ بِالدُّبُرِ بِلَا إيلَاجٍ جَائِزٌ

Maksudnya: “Menikmati (secara seksual) pada dubur itu dibenarkan tanpa melibatkan penembusan (zakar).” (Lihat Asna al-Matalib, 3/113)

Bagi menjawab persoalan di atas, kita mestilah mengetahui sebab-sebab yang mewajibkan seseorang itu perlu melaksanakan mandi hadas atau mandi wajib. Imam Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan sebab-sebab yang mewajibkan seseorang itu mandi (wajib), iaitu:

  1. Mati, sebagai seorang Muslim dan bukannya mati syahid.
  2. Berhenti keluar darah
  3. Berhenti keluar darah
  4. Selepas melahirkan (wiladah).
  5. Berada dalam keadaan berjunub, seperti keluarnya air mani atau memasukkan kepala zakar ke dalam faraj (bersetubuh). (Lihat al-Minhaj al-Qawim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 47-48)

Kesimpulannya

Tuntasnya, berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa hanya apabila berlaku kemasukan kepala zakar ke dalam rongga faraj dan sesiapa yang mengeluarkan air mani sahaja yang perlu melaksanakan mandi wajib. Perbuatan seks oral (menghisap kemaluan pasangan) dan mengeluarkan air mazi semata belum menjadikan seseorang itu berhadas besar sekali gus belum diwajibkan untuk melaksanakan mandi hadas atau mandi junub.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”

Wallahu a‘lam.