#7275: Hakikat Insan: Sesat atau Tidak?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah kitab hakikat insan itu sesat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berhubung soalan di atas yang mengajukan persoalan berkenaan buku “Hakikat Insan”. Buku ini ditulis oleh Haji Ahmad Laksamana bin Omar, dari Kampung Wakaf Setan, Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim.

Ajaran Haji Ahmad Laksamana menitikberatkan ilmu Hakikat dan Makrifat untuk menggapai martabat Insan Kamil Mukamil. Ringkasnya ia memfokuskan kepada ilmu Tasawuf. Pemikirannya yang dizahirkan di dalam karya beliau tersebut membahaskan mengenai hubungan manusia dengan Allah, martabat nafsu, hakikat syahadah, konsep Islam, Iman, Tauhid, dan makrifat; menunjukkan pendekatan yang amat ganjil dan berselisihan dengan tafsiran ulama muktabar.

Pertamanya, kami ingin tegaskan bahawa pemikiran yang terkandung di dalam buku Hakikat Insan adalah menyelisihi manhaj para ulama Sufi dan Tasawuf yang muktabar. Metode tafsir al-Quran yang beliau amalkan, seperti penerjemahan ayat al-Quran ke dalam simbol, telah menimbulkan kontroversi dan menyimpang dari pemahaman Islam Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah. Pemikiran Haji Ahmad Laksamana yang kontroversi dianggap bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak menghormati ajaran al-Quran dan hadith sahih. Berikut kami nukilkan dua fatwa yang menegaskan berkenaan kesesatan ajaran ini oleh autoriti keagamaan di negara kita. Di antaranya:

Fatwa Selangor Darul Ehsan: Hakikat Insan Sesat

Fatwa Selangor yang diwartakan pada 19 Oktober 1955 yang ketika itu dipimpin oleh Sahibussamahah Mufti Selangor Dato’ Haji Ishak bin Haji Baharom, menyatakan: “Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 31(1) dan seksyen 32, Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual:

  • “Ilmu Tajalli atau ilmu Hakikat Insan ajaran Ahmad Laksamana dan Buku “Hakikat Insan” yang di tulis oleh Haji Ahmad Laksamana…

Didapati mengandungi ajaran-ajaran yang meragukan dan bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh yang demikian, orang-orang Islam dilarang menyebarkan, mengajar, belajar dan mengamalkan ajaran itu.

  • Orang-orang Islam, di mana jua berada, yang telah belajar dan mengamalkan ajaran ilmu Tajalli atau ilmu Hakikat Insan ajaran Ahmad Laksamana hendaklah meninggalkan ajaran itu dan segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.”

Fatwa Kelantan Darul Naim: Kesesatan Hakikat Insan Haji Ahmad Laksamana

Menurut pewartaan Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966; berdasarkan (Enakmen Bil: 2, Tahun 1966) Pemberitahu Di Bawah Seksyen 14(3);

“Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 14 (3) Undang-Undang Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966, Majlis menerusi Jumaah Ulama’ menetapkan Fatwa sebagaimana berikut:

(a)   Setelah mengkaji isu buku “Tajalli” dan “Hakikat Insan” karangan Haji Ahmad Laksamana, pita rakaman ceramah atau pengajaran serta lain-lain butir-butir upacara keagamaan yang mempunyai hubungan rapat dengannya, maka didapati jelas bertentangan dengan dasar akidah dan hukum-hukum Islam kerana mengandungi kata-kata syirik, sesat, khurafat, kata-kata carut dan mereka-reka perkara yang bukan dari ajaran sebenar Ugama Islam, dengan yang demikian Jumaah Ulama’ bersetuju memfatwakan bahawa Haji Ahmad Laksamana Bin Omar menganuti dan menyebar ajaran salah.”

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan di sini bahawa kitab Hakikat Insan tulisan Haji Ahmad Laksamana adalah mengandungi ajaran-ajaran yang sesat, tersasar dan menyimpang daripada agama Islam berpandukan ajaran mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, lebih khususnya lagi mazhab al-Asya‘irah dan al-Maturidiyah.  Sesiapa yang terjebak ke dalam anjaran intipati buku ini wajiblah bertaubat dan kembali kepada kebenaran, dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Wallahu a‘lam.