Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya hendak bertanya, jika kita memiliki minyak kasturi yang dibacakan bacaan ruqyah, kemudian kita membawanya masuk ke dalam tandas tetapi simpan di dalam postbag. Apakah minyak itu masih berkualiti atau tidak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami dahulukan dengan menjunjung titah perintah Tuhan Yang Maha Esa di dalam Kalam Suci-Nya yang menjadi tunjang keimanan. Allah SWT berfirman:
ذَ ٰلِكَۖ وَمَن یُعَظِّمۡ شَعَـٰۤىِٕرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ
Maksudnya: “Demikianlah, sesiapa yang mengagungkan syiar Allah; yang demikian itu hanya terzahir hasil daripada ketakwaan hati.”
(Surah al-Haj: 32)
Mengagungkan syiar Allah adalah tanda kesucian hati. Syiar Allah adalah setiap perkara yang menjadi simbol bagi agama Islam. Tidak ada sebarang syak atau keraguan, bahawa al-Quran, nama Allah, nama Nabi Muhammad merupakan simbol tertinggi agama Islam dan ia wajib dimuliakan. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: Ibn ‘Abbas berkata: “Syiar-syiar Allah” adalah unta dan segala sembelihan yang ditawarkan kepada Allah semasa perlaksanaan ibadah Haji. Kalimat asalnya adalah al-isy‘ar iaitu memberitahu, memaklumkannya, mengumumkannya supaya ia diketahui sebagai sembelihan untuk Haji. Perbuatan mengagungkannya pula adalah: menjadikannya betul-betul gemuk, berisi, dan memperelokkan rupanya sebelum dikorbankan. Ada juga yang berpendapat bahawa syiar-syiar Allah adalah setiap perkara yang menjadi simbol bagi agama-Nya. “Demikian itu, merupakan tanda ketakwaan hati,” iaitu mengagungkan syiar Allah adalah hasil ketakwaan hati.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/384)
Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama khususnya majoriti ulama mazhab al-Syafi‘i menghukum perbuatan membawa masuk segala benda yang mempunyai tulisan atau ukiran kalimat Allah SWT, kalimat nama Nabi Muhammad SAW dan lain-lain nama atau simbol yang dimuliakan di sisi syiar Islam ke dalam tandas adalah makruh. Dianjurkan (mustahab) untuk menanggalkan atau membiarkannya di luar apabila hendak masuk ke dalam tandas.
Anjuran ini diputuskan oleh para ashab adalah berdalilkan dengan hadith Anas bin Malik R.A yang meriwayatkan bahawa:
أنَّ النَّبيَّ ﷺ كان إذا دَخَلَ الخلاءَ وَضَعَ خاتَمَهُ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW itu apabila Baginda memasuki tandas, Baginda akan mencabut cincin Baginda.”
Riwayat Abu Daud (19); Ibn Majah (303); al-Tirmizi (1746); sanadnya dinilai munkar oleh Imam Abu Daud seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (1/95), dinilai sahih oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (2/73) dan al-Hafiz Mughlatai dalam Syarh Ibn Majah (1/102)
Imam Abu Ishaq al-Syirazi mensyarahkan hadith di atas seraya berkata:
وَإِنَّمَا وَضَعَهُ لِأَنَّهُ كَانَ عَلَيْهِ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ
Maksudnya: “Baginda mencabut cincin Baginda kerana pada cincin Baginda ada tertulis: [مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ] yang bermaksud: Muhammad itu utusan Allah.” (Lihat al-Muhazzab fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 1/54).
Oleh yang demikian, Imam Muhyiddin al-Nawawi juga turut menukilkan kesepakatan para ulama al-Syafi‘iyyah silam dalam kitab Majmu‘ berkenaan perkara ini. Imam al-Nawawi menyebutkan, para ashab kami (al-Syafi‘iyyah) bersepakat tentang anjuran (mustahab) untuk menanggalkan segala sesuatu (pada badan) yang bertulis nama Allah SWT ketika memasuki tandas, namun ia tidak wajib untuk disingkirkan. Ulama yang menyatakan sedemikian secara jelas adalah Imam Abu Ishaq al-Syirazi sendiri, al-Qadhi Abu al-Tayyib dalam kitab al-Ta‘liq, Imam al-Mahamili dalam ketiga-tiga karya beliau, Ibn al-Sabbagh, Syeikh Nasr al-Maqdisi dalam ketiga-tiga karyanya iaitu al-Intikhab, al-Tahzib dan al-Kafi, begitu juga lain-lain ulama. Imam al-Mutawalli, Imam al-Rafi‘i dan selain mereka berdua berkata: Tiada perbezaan dalam hal ini, sama ada ia tertulis pada dirham, dinar, cincin atau benda lain. Begitu juga jika seseorang membawa bersama ‘uzah iaitu kertas bertulis ayat-ayat al-Quran dan doa sebagai pendinding dan pelindung; dianjurkan untuk menanggalkannya sebelum masuk tandas.
Demikianlah yang ditegaskan oleh Imam al-Mutawalli dan lain-lain, manakala al-Ghazali menambah kitab al-Ihya’ dan al-Wasit bahawa hukum yang sama juga terpakai pada nama Nabi Muhammad SAW. Imam al-Haramain pula berkata: Tidak boleh membawa masuk bersama ke dalam tandas, sebarang sesuatu yang tertulis padanya apa-apa nama yang diagungkan (di sisi syariat), dan jumhur tidak melarang pada nama-nama lain selain nama Allah SWT… Sekiranya seseorang itu contohnya mempunyai cincin yang tertulis kalimat Allah dan Rasul, maka dia dianjurkan untuk menanggalkannya sebelum masuk tandas. Jika dia tidak membukanya kerana lupa atau sengaja, kemudian dia masuk ke tandas, hendaklah dia menggenggam bahagian yang tertulis nama suci itu dengan genggaman tangannya supaya tulisan tersebut tidak ternampak. Ibn al-Munzir berkata: Jika dia tidak mencabutnya sebelum masuk tandas, hendaklah dia menterbalikkan bahagian yang tertulis nama suci ke bahagian belakang telapak tangannya. Ibn al-Munzir menukilkan daripada sebahagian kelompok ulama tabi‘in seperti Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin yang memberi keringanan untuk membawanya masuk ke dalam tandas. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/73-74)
Tuntasnya, kami simpulkan di sini bahawa yang dilarang adalah membawa sebarang benda yang mempunyai ukiran tulisan ayat-ayat suci al-Quran padanya masuk ke dalam tandas.
Adapun berkenaan isu air Ruqyah, kaedah membacakan Ruqyah ke dalam air untuk diguna dengan tujuan minum, menyiram, menyapu ketika rawatan dan perubatan adalah diharuskan di sisi syarak. Perkara ini jelas diamalkan oleh para ulama Salaf seperti Imam Wahb bin Munabbih seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Battal; dan turut diamalkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal seperti yang diriwayatkan oleh anaknya, Abdullah bin al-Imam Ahmad dan Imam Abu Bakr al-Marwazi. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, 10/233; dan Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad oleh Imam Ibn al-Qayyim, 4/357)
Oleh kerana air Ruqyah ini digunakan sebagai alat rawatan dan perubatan untuk menzahirkan mukjizat al-Quran, hadith dan doa-doa kepada Allah, maka ia dianggap mulia [mu‘azzam; مُعَظَّمٌ] di sisi agama. Maka yang demikian, dilarang sama sekali menggunakan air yang telah diruqyah secara khusus untuk membersihkan najis di bahagian kelamin dengan mempercayai ketiadaan sifat mulia baginya [kecuali apabila terdesak]. Dilarang juga sengaja meletakkan air ruqyah di dalam tandas dan tempat-tempat kotor/hina.
Adapun membawa masuk minyak wangi yang telah diruqyah; perkara ini tidaklah dilarang. Hal ini kerana, tiada ukiran nama Allah dan Rasul yang jelas atau zahir pada air tersebut, ia telah sebati sebagai sebuah makna (abstrak) yang efektif terhadap molekul air. Membawanya ke dalam tandas tidak mengurangkan kualiti ruqyah pada cecair wangian tersebut. Sebaiknya sorokkan ia sebelum memasuki tandas dengan meletakkan minyak wangi yang telah diruqyah tersebut di dalam sebuah bagasi atau di dalam kocek supaya menambah penghormatan terhadap sesuatu yang telah diruqyahkan dengan ayat-ayat suci al-Quran.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً
Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu. Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”
Wallahu a‘lam.