Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa tulisan ejaan nama Nabi Ibrahim A.S dalam Surah al-Baqarah tanpa huruf Ya’ (ي), sedangkan dalam surah lain ada huruf Ya’ (ي)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nama Nabi Allah Ibrahim A.S disebutkan hampir kira-kira 69 kali dalam 25 surah di dalam al-Quran. Sesiapa yang sering meneliti dengan baik, mereka akan mendapati bahawa bentuk penulisan “Ibrahim” ini ada dua:
- إِبْرَٰهِـۧمَ
- إِبْرَٰهِيمَ
Sebagai contoh, kita dapati dalam firman Allah SWT dengan bacaan Ibraham (إِبْرَٰهِـۧمَ):
وَإِذْ جَعَلْنَا ٱلْبَيْتَ مَثَابَةًۭ لِّلنَّاسِ وَأَمْنًۭا وَٱتَّخِذُوا۟ مِن مَّقَامِ إِبْرَٰهِـۧمَ مُصَلًّۭى ۖ وَعَهِدْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْعَـٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): ‘Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud’.”
(Surah al-Baqarah: 125)
Akan tetapi, dalam firman-Nya yang lain dengan bacaan Ibrahim (إِبْرَٰهِيمَ):
وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًۭا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌۭ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًۭا ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًۭا
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”
(Surah al-Nisa’: 125)
Ibrahim ini adalah nama a‘jami (nama bukan Arab) yang berasal dari bahasa Ibrani yang disebut sebagai Ibraham (إِبْرَاهَامُ). Sebahagian orang Arab membiarkan sahaja bacaan nama tersebut tanpa menukarkannya kepada bacaan Arab, dan sebahagian lain membacanya sebagai Ibrahim (إِبْرَاهِيمُ) kerana di dalam bahasa Arab tidak ada wazan (إِفْعَالَالُ). (Lihat Fath al-Wasid fi Syarh al-Qasid, 2/40)
Imam Abu ‘Amru al-Dani mengatakan, ejaan tanpa huruf Ya’ (ي) ini beliau temui dalam mushaf-mushaf Ahli ‘Iraq dalam Surah al-Baqarah sahaja, begitu juga dalam mushaf-mushaf Ahli Syam. Begitu juga Imam Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam berkata: “Aku telah mengkaji (penulisan) nama baginda (Ibrahim A.S), lalu aku mendapati dalam Surah al-Baqarah secara khususnya, ditulis (إِبْرَٰهِـۧمَ) tanpa Ya’.” (Lihat al-Muqni‘ fi Rasm Masahif al-Amsar, hlm. 96; Fadha’il al-Quran, hlm. 295)
Bacaan Ibraham (إِبْرَٰهَامُ) ini, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Mansur al-Azhari, ia berasal dari bahasa Ibrani dan bacaannya dikekalkan oleh Imam Abdullah bin ‘Amir al-Yahsabi. Antara salah satu sebab mengapa penulisan ini berbeza adalah untuk memberikan isyarat bahawa terdapat perbezaan qiraat bagi nama Nabi Ibrahim A.S di sisi Imam Hisham Ibn ‘Ammar dan juga Imam Abdullah Ibn Zakuan, menerusi riwayat Imam Ibn ‘Amir. Syeikh ‘Abd al-Fattah al-Qadhi menjelaskan, Hisyam membaca Ibraham (إِبْرَٰهَامُ) dengan huruf Ha’ (هَـ) berbaris atas dan selepasnya ditambahkan huruf Alif (ا) dalam Surah al-Baqarah keseluruhannya. Ibn Zakuan pula membacanya dengan dua wajah bacaan; Ibraham (إِبْرَٰهَامُ) dan juga Ibrahim (إِبْرَٰهِيمَ). (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Syatibiyyah, hlm. 210; Ma‘ani al-Qiraat, 1/176; al-Hujjah li al-Qurra’ al-Sab‘ah, 2/227)
Imam Abu Sulaiman bin Najah al-Andalusi juga menyatakan hal yang sama, bahawa penulisan nama Ibrahim dalam Surah al-Baqarah itu berbeza bagi menunjukkan perbezaan qiraat yang membacanya dengan huruf Alif (ا) di antara huruf Ha’ (هَـ) dan huruf Mim (م). (Lihat Mukhtasar al-Tabyin li Hija’ al-Tanzil, 2/206)
Beginilah secara ringkasnya yang dapat kami berikan penerangan kepada saudara. Semoga kita beroleh manfaat dan dapat disebarkan ilmu ini kepada masyarakat awam, agar kesungguhan untuk mentadabburi al-Quran itu semakin meningkat dalam diri mereka. Kami akhiri dengan doa:
اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”
Wallahu a‘lam