Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah dosa mengambil ganja atau marijuana untuk berkhayal sama dengan dosa minum arak? Saya sudah cari dalam app ini tetapi tidak jumpa lagi jawapan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Penyalahgunaan dadah dan ganja merosakkan akal, kemudaratan pada akal inilah yang turut menjadi punca dan faktor utama pengharaman arak (al-khamr) di sisi syariat Islam secara jelas. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِۖ قُلۡ فِیهِمَاۤ إِثۡمࣱ كَبِیرࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَاۤ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.’”
(Surah al-Baqarah: 219)
Semua kesan arak ada pada kesan melakukan penyalahgunaan dadah. Imam al-Syaukani berkata: “Firman-Nya: [Katakanlah: pada keduanya ada dosa mudarat yang besar] iaitu pada arak dan judi. Adapun dosa dan keburukan arak, iaitu dosa mengambil dan mengkonsumsinya adalah disebabkan kerana ia mendatangkan kerosakan akal peminumnya lantas mendorongnya mengeluarkan perbuatan dan perilaku orang yang tidak berakal (bodoh dan gila) seperti bermusuhan dan mencaci-maki, bercakap kotor dan berdusta, meninggalkan solat dan semua ibadah yang diwajibkan ke atasnya.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/253)
Allah SWT melarang sekalian manusia daripada melakukan segala jenis perbuatan yang mendorong dan menjerumuskan diri mereka ke arah kerosakan, kebinasaan dan kemudaratan. Firman-Nya:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kalian mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan dengan perbuatan tangan-tangan kalian sendiri.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Al-Imam Tahir Ibn ‘Asyur berkata ketika menafsirkan ayat di atas dari sudut olah-gaya susunan ayat ini yang menzahirkan ketinggian maksudnya, kata beliau: “Terletaknya frasa kata kerja “mencampakkan diri kalian” pada konteks larangan memberikan makna yang umum dan luas mencakupi setiap perbuatan menjerumuskan diri sendiri ke dalam kebinasaan, iaitu: setiap perkara yang menyebabkan kehancuran dengan sengaja, maka hukumnya adalah dilarang dengan status hukum haram selagi mana tiada sebarang pemberat atau pendorong yang menghilangkan keharaman tersebut.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/215)
Rasulullah SAW juga melarang segala jenis minuman atau suplemen yang berunsur memabukkan, mengkhayalkan, menutup kewarasan minda, memalingkan diri daripada keadaan normal seperti arak dan lain-lain bahan yang berkaitan. Ummul Mukminin Ummu Salamah R.Anha meriwayatkan bahawa:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفْتِرٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada setiap bahan yang memabukkan dan merosakkan (kewarasan akal, kesedaran minda).”
Riwayat Abu Daud (3686); Ahmad di dalam al-Musnad (26634); dinilai soleh di sisi Abu Daud dan dipersetujui oleh Imam ‘Abd al-Haq al-Isybili dalam al-Ahkam al-Wusta (4/171) dan Imam al-Syaukani dalam al-Fath al-Rabbani (8/4202), sanadnya dikritik oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam al-Taudhih (4/27) kerana kewujudan perawi bernama Syahr bin Hausyab.
Hadith di atas jelas melarang pengambilan segala bahan yang menyebabkan pembatalan fungsi kewarasan akal dan kenormalan koordinasi badan, walaupun pada sesetengah aspek tubuh badan, secara sengaja. Imam al-Khattabi mensyarahkan hadith di atas ini seraya berkata: “Perkataan al-muftir adalah setiap bahan (terutamanya) yang berbentuk cecair yang menyebabkan akal terputus dan terbatal fungsinya pada sesetengah bahagian; dan ia merupakan permulaan kepada keadaan mabuk. Dilarang untuk mengambilnya (secara minum) supaya ia tidak mendorong kepada keadaan mabuk/tidak waras yang total.” (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/267-268)
Dalam kalangan ashab al-Syafi‘iyyah, Imam Ibn Hajar al-Haitami menaskan bahawa mengambil dadah adalah salah satu dosa besar. Beliau berkata: “Dosa besar yang ke-170: Mengambil bahan memabukkan meskipun suci seperti ganja (dadah) dan opium. Sebahagian ulama berkata: al-muftir adalah setiap bahan (terutamanya) yang berbentuk cecair yang menyebabkan akal terputus dan terbatal fungsinya pada sesetengah bahagian. Semua perkara yang disebutkan ini adalah memabukkan, membius akal sementara (menggagalkan fungsinya), dan memotong keadaan normal akal. Imam al-Qarafi dan Imam Ibn Taimiyah menukilkan ijma’ pengharaman ganja, dan berkata: ‘Sesiapa yang menghalalkannya, maka dia telah kafir.’ Dia juga turut mengatakan, para ulama empat mazhab yang terdahulu tidak membincangkannya kerana ia ia tidak wujud pada zaman mereka. Ia hanya muncul pada akhir abad ke-6 dan awal abad ke-7 ketika munculnya negara Tatar.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/354-355).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami nyatakan bahawa dosa melakukan penyalahgunaan dadah seperti mengambil ganja atau marijuana dan lain-lain jenis dadah untuk berkhayal adalah sama sahaja besarnya seperti dosa minum arak. Hal ini kerana kedua-duanya berkongsi keburukan yang sama, iaitu merosakkan kewarasan dan keberfungsian akal yang wajib dipelihara di sisi Islam. Keadaan buruk ini mendedahkan diri pengambil dan orang di sekelilingnya dalam keadaan berbahaya dan mafsadah yang besar. Justeru, dosa kedua-duanya adalah sama buruk dan teruk.
Hal ini seiring dengan kaedah yang digariskan oleh para ulama usul iaitu kaedah yang diungkapkan oleh al-Syeikh Muhammad bin Ali bin al-Husain al-Maliki:
أَنَّهُ إِذَا وَرَدَ النَّهْيُ عَنْ شَيْئَيْنِ مُقْتَرِنَيْنِ ثُمَّ نَصَّ عَلَى حُكْمِ النَّهْيِ عَنْ أَحَدِهِمَا مِنْ حُرْمَةٍ أَوْ غَيْرِهَا أُعْطِيَ الآخَرُ ذَلِكَ الْحُكْمَ بِدَلِيلِ اقْتِرَانِهِمَا فِي الذِّكْرِ وَالنَّهْيِ
Maksudnya: “Apabila warid sesuatu nas larangan ke atas dua benda yang digandingkan sekali; kemudian nas melarang salah satu benda daripada dua benda tersebut, maka benda yang lagi satu tersebut akan mendapat hukum larangan yang sama atas dasar gandingan kedua-dua perkara tersebut dalam satu nas, maka ia berkongsi tempat sebutan serta status hukum larangan yang sama.” (Lihat Tahzib al-Furuq, 1/376)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ كَتَبْتَ عَلَيَّ شِقْوَةً أَوْ ذَنْبًا فَامْحُهُ، فَإِنَّكَ تَمْحُو مَا تَشَاءُ وَتُثْبِتُ، وَعِنْدَكَ أُمُّ الْكِتَابِ، فَاجْعَلْهُ سَعَادَةً وَمَغْفِرَةً
Maksudnya: “Ya Allah, sekiranya Engkau telah tetapkan aku sebagai celaka atau akan melakukan dosa, maka padamlah ketentuan itu. Sesungguhnya Engkau yang berhak memadam dan mengekalkan segala perkara, dan sisi-Mu jualah Umm al-Kitab itu. Maka, jadikanlah aku tertulis di dalamnya sebagai bahagia dan beroleh keampunan.”
Wallahu a‘lam.