Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya lakukan tawaf sunat tetapi tidak lengkap (hanya 3 pusingan). Esoknya pula saya lakukan umrah. Bila tawaf umrah (7 pusingan), perlukah saya tambah 4 pusingan utk lengkapkan tawaf sunat, kemudian sa‘ie atau tidak perlu buat tambahan 4 pusingan untuk tawaf sunat? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Ibadah Tawaf merupakan salah satu rukun Haji dan Umrah yang wajib dilaksanakan bagi umat Islam yang melaksanakannya kedua-dua ibadah ini. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Karim:
ثُمَّ لۡیَقۡضُوا۟ تَفَثَهُمۡ وَلۡیُوفُوا۟ نُذُورَهُمۡ وَلۡیَطَّوَّفُوا۟ بِٱلۡبَیۡتِ ٱلۡعَتِیقِ
Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka melaksanakan perbuatan melengkapkan Manasik Haji; dan hendaklah mereka memenuhi nazar mereka, dan hendaklah mereka melaksanakan Tawaf mengelilingi Bait al-‘Atiq.”
(Surah al-Haj: 29)
Kemuliaan Kaabah selaku rumah Allah di atas muka bumi melazimkan sekalian hamba-hamba Allah untuk memuliakannya, dengan melaksanakan tawaf iaitu berjalan kaki berpusing mengelilinginya dengan niat ibadah sebanyak tujuh kali pusingan.
Imam Ibn Juzai al-Kalbi ketika menafsirkan ayat: “وَلْيَطَّوَّفُواْ” menyatakan, yang dimaksudkan di sini adalah tawaf Ifadhah di sisi majoriti Ahli Tafsir dan ia merupakan tawaf wajib. Seterusnya perkataan al-‘Atiq dalam ayat “بِٱلْبَيْتِ ٱلْعَتِيقِ” ini pula bermaksud “القديم” al-Qadim (yakni lama) kerana ia (Kaabah) merupakan rumah ibadah pertama yang dibina untuk umat manusia. Dikatakan juga: makna al-‘Atiqadalah “yang mulia.” Sama seperti kata-kata orang: “فرس عتيق” (yakni kuda perang yang mulia). Dikatakan juga: Rumah yang dibebaskan daripada cengkaman pemimpin yang kejam (tirani), iaitu dihalang daripada mereka. Dikatakan juga: al-‘Atiq adalah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/39)
Berhubung soalan di atas, kami katakan bahawa disunatkan untuk menyambung tawaf Sunat yang tertunda sebelum mengerjakan umrah tersebut. Ibadah sunat yang tertunda adalah sunat juga untuk disempurnakan. Hal ini kerana, muwalat (berturut-turut) dalam ibadah tawaf adalah tidak diwajibkan dan merupakan perkara sunat semata.
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata dalam Syarah al-Minhaj al-Tullab bahawa di antara perkara sunat dalam tawaf adalah hendaklah (melaksanakan muwalat iaitu berturut-turut pada setiap pusingan) bagi lelaki dan juga selainnya (pada tawafnya) untuk keluar daripada khilaf sebahagian ulama yang mewajibkannya. (Lihat Fath al-Wahhab Syarh al-Minhaj al-Tullab, 1/168)
Imam al-Ramli turut senada ketika menyatakan bahawa amalan sunat tawaf ketujuh iaitu orang yang melakukan tawaf hendaklah berturut-turut dalam tawafnya (yakni muwalat dalam pusingan tawafnya) sebagai mengikut sunnah Rasulullah, serta mengambil jalan keluar daripada khilaf sebahagian ulama yang mewajibkan muwalat dalam tawaf. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/287).
Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn pula berkata dalam syarah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah: (Di antara perkara sunat tawaf) muwalat antara pusingan tawaf bagi orang lelaki dan selainnya kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW, dan sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf sebahagian ulama yang mewajibkannya. Sesiapa yang memisahkan antara pusingan tawafnya dengan masa yang lama tanpa sebarang uzur, disunatkan baginya untuk memulakannya semula secara mutlak. Kemudian, jika senggang masa yang lama itu disebabkan adanya keuzuran, maka tiada sebarang kemakruhan pada perbuatannya, bahkan dinyatakan di dalam kitab al-I‘ab: Tidak juga dihukumkan sebagai khilaf aula (menyelisihi perkara yang lebih utama), sekiranya tidak (yakni jika ada alasan/keuzuran), maka hukumnya adalah makruh. Imam al-Kurdi berkata: Inilah pendapat yang rajih(kuat). Sesiapa yang menghentikan tawaf, maka seeloknya menghentikannya pada pusingan yang ganjil, dan meninggalkan tawaf ketika berada di Rukn al-Hajar. (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 629-630)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa dibenarkan bahkan disunatkan untuk melengkapkan tawaf sunat tersebut bila-bila masa sahaja ketika berada di dalam Masjidil Haram. Tidak semestinya mesti dilakukan sejurus tawaf wajib umrah tersebut. Hal ini kerana, muwalat (berturut-turut) adalah perkara sunat di dalam tawaf dan bukannya suatu rukun atau syarat yang wajib dilakukan. Seseorang itu boleh melengkapkan baki pusingan yang belum dilaksanakan bila-bila masa selagi masih berada di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa yang dianjurkan untuk dibaca sebelum memulakan Tawaf:
اللَّهُمَّ إيمَاناً بِكَ وَتَصدِيقاً بِكِتابِكَ، وَوَفاءً بِعَهْدِكَ وَاتِّباعاً لِسُنَّةِ نَبِيِّكَ ﷺ
Maksudnya: “Ya Allah, (aku laksanakan ini kerana) beriman kepada-Mu, membenarkan Kitab-Mu dan memenuhi janji-Mu serta menuruti sunnah Nabi-Mu, Muhammad SAW.”
Wallahu a‘lam.