Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita berada pada tempat penyembelihan berkelompok dan bolehkah bercampur lelaki dan perempuan berkongsikan haiwan korban jika bukan mahram?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman di dalam al-Tanzil:
وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا
Maksudnya: “Dan janganlah kalian mendekati Zina, sesungguhnya ia merupakan seburuk-buruk perbuatan dan sekeji-keji jalan.”
(Surah al-Isra’: 32)
Imam al-Baidhawi berkata ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ayat “وَلا تَقْرَبُوا الزِّنا” (Janganlah kalian mendekati zina) yakni dengan keazaman atau melakukan perkara-perkara yang membawa kepada zina, apatah lagi melakukannya secara langsung. Sebabnya ada dinyatakan dalam ayat berikutnya: “إنَّهُ كانَ فاحِشَةً” iaitu satu perbuatan yang jelas keburukannya dan sangat keji. Begitu juga ayat: “وَساءَ سَبِيلا” iaitu jalan yang paling buruk, kerana ia melibatkan paksaan terhadap kehormatan, membawa kepada pemutusan nasab, dan mencetuskan fitnah. (Lihat Anwar al-Tanzil, 3/254).
Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan selain suami isteri; adalah haram dan ditegah apabila percampuran tersebut melanggar batas-batas syariat Islam dalam pergaulan, komunikasi dan interaksi. Pengharaman ini telah difatwakan oleh ulama dan fuqaha keempat-empat mazhab yang muktabar sepertimana yang kami lampirkan di bawah ini:
Mazhab Hanafi
Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi berkata dalam Hasyiah: “Dan telah kami jelaskan di dalam kitab (bab) al-Syahadat tentang perkara yang menyebabkan kesaksian seseorang itu tertolak: (Antaranya adalah) keluar untuk menyaksikan ketibaan seorang pemimpin, kerana hal itu melibatkan kemungkaran-kemungkaran dan percampuran antara wanita dan lelaki.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin atau Rad al-Muhtar, 6/355)
Mazhab Maliki
Imam al-Sawi al-Maliki menyebutkan dalam Hasyiahnya: “[Antara bentuk wasiat yang terbatal dan tidak boleh dipenuhi] adalah mewasiatkan anak agar duduk di suatu tempat yang mana pada zaman kini, akan menyebabkan mereka terjerumus kepada percampuran antara perempuan dengan lelaki, dan melihat kepada perkara-perkara yang diharamkan dan yang semisalnya dengannya, semua ini adalah suatu kemungkaran.” (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 4/585)
Mazhab Syafi‘i
Imam Abu Ishaq al-Syirazi berkata dalam kitab al-Muhazzab sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Muhyiddin al-Nawawi: “Dan tidak diwajibkan (solat Jumaat) ke atas perempuan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka wajiblah dia melaksanakan Solat Jumaat (di masjid), kecuali kaum wanita, orang yang bermusafir, hamba abdi dan orang yang sakit.” Dan oleh kerana bakal menyebabkan percampuran dengan kaum lelaki, dan percampuran ini adalah tidak dibolehkan.” (Lihat al-Majmu ‘ Syarah al-Muhazzab, 4/350)
Ibn Hajar al-Haitami memberi komentar terhadap pernyataan Imam al-Syirazi di atas seraya menyebutkan dalam salah satu fatwa beliau:
فَتَأَمَّلْهُ تَجِدْهُ صَرِيحًا فِي حُرْمَةِ الِاخْتِلَاطِ، وَهُوَ كَذَلِكَ، لِأَنَّهُ مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ
Maksudnya: “Renungilah ia, kamu akan mendapati betapa jelasnya tentang pengharaman ikhtilat (percampuran antara golongan lelaki dan perempuan), dan demikianlah ia (setepatnya) kerana ia menjadi punca kepada fitnah.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/203)
Mazhab Hanbali
Imam Mansur al-Buhuti al-Hanbali menyatakan dalam Syarah al-Iqna‘ bahawa dilarang sebarang percampuran antara lelaki dan wanita di dalamnya (masjid) kerana ia akan melazimkan atau mendatangkan pelbagai jenis mafasid (keburukan).” (Lihat Kassyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 2/367)
Bahkan al-Imam Abu Bakr Muhammad bin Abdullah al-‘Amiri menukilkan ijma‘ tentang keharaman Ikhtilat (percampuran tanpa batas) antara lelaki dan wanita yang saling ajnabiyah. Ini adalah sebagaimana kenyataannya bahawa para ulama – ulama umat – telah sepakat bahawa sesiapa yang mempercayai perkara-perkara yang diharamkan ini, dan menghalalkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, maka dia telah kufur, atau berhak dihukum bunuh kerana murtadnya. Dan sesiapa yang mempercayai perkara itu dalam keadaan melakukannya, memperakuinya dan meredhainya, maka dia telah fasiq. Kata-katanya tidak didengari, dan kesaksiannya juga tidak diterima (tertolak). (Lihat Ahkam al-Nazar oleh Ibn al-Qattan, hlm. 233)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami tegaskan bahawa percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan selain suami isteri; adalah haram dan ditegah apabila percampuran tersebut melanggar batas-batas syariat Islam dalam pergaulan, komunikasi dan interaksi. Hal ini kerana wujud unsur al-ikhtilat al-mazmum (percampuran yang dilarang dan tercela) dalam kalangan mereka, menjadikan perhimpunan tersebut adalah haram dan diredhai Allah SWT.
Adapun jika sebuah majlis yang bercampur lelaki dengan wanita; namun masing-masing saling menjaga batas syarak dalam pergaulan dan perhubungan, berusaha sedaya upaya menjarakkan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, meminimumkan percampuran, maka perhimpunan dan percampuran semisal ini adalah dibenarkan dengan syarat menjaga batas pergaulan. Percampuran jantina adalah sebuah perkara yang hampir tidak boleh dielakkan di kawasan awam kini. Maka, jika tidak boleh dipisahkan antara jantina, wajiblah menjaga batas pergaulan dan kehormatan maruah masing-masing.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam.