#7285: Penganjur Korban Tetapkan Bahagian Peserta

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh pihak penganjur korban (masjid dan surau) menetapkan kepada peserta korban tinggalkan 1/3 bahagian korban untuk pihak penganjur edarkan kepada fakir miskin? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ibadah korban disyariatkan untuk memuja Allah dan memberi makan kepada orang-orang susah dalam kalangan kaum Muslimin. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Majid:

لِّیَشۡهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَیَذۡكُرُوا۟ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِیۤ أَیَّامࣲ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِیمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِۖ فَكُلُوا۟ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُوا۟ ٱلۡبَاۤىِٕسَ ٱلۡفَقِیرَ

Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan kebaikannya (daging korban) buat mereka sendiri; dan supaya mereka menyebut memuji nama Allah pada hari-hari tertentu atas nikmat yang telah Allah rezekikan kepada mereka berupa haiwan ternakan. Maka makanlah darinya dan berilah makan kepada orang-orang yang kesusahan dan orang-orang fakir.”

(Surah al-Hajj: 28)

Bagi menjelaskan ayat di atas, Imam al-Syaukani menyebutkan ayat “فَكُلُوا۟ مِنۡهَا”, arahan di sini hukumnya adalah sunat menurut jumhur ulama. Namun, sebahagian ulama berpendapat arahan ini bermaksud wajib. Di dalam ayat ini terdapat unsur iltifat ‘an al-ghaibah ila al-khitab (yakni peralihan daripada kata ganti nama ketiga kepada kata ganti nama kedua). Seterusnya, dalam ayat “وأطْعِمُوا البائِسَ الفَقِيرَ”, kalimat al-Ba’is bermaksud orang yang mempunyai kesusahan iaitu kesukaran dan kefakiran yang amat dahsyat; kerana itulah disebutkan perkataan fakir selepasnya iaitu untuk makin menjelaskan makna al-Ba’is tersebut. Arahan memberi makan kepada fakir miskin di sini adalah wajib, namun ada yang berpendapat, ia adalah sunat sahaja. (Lihat Fath al-Qadir, 3/531)

Berhubung soalan di atas, izinkan kami menegaskan beberapa mukadimah dan pendahuluan penting berkaitan hukum-hakam korban di sini:

Kita diwajibkan untuk menyedekahkan daging korban yang diperoleh terutamanya kepada mana-mana golongan fakir miskin meskipun seorang sahaja. Imam al-Khatib al-Syirbini mengatakan, pendapat al-asah menyatakan wajib menyedekahkan bahagian daging korban sekalipun sedikit bahagian dagingnya, mana-mana bahagian yang boleh dinamakan sebagai daging, kepada orang-orang fakir (miskin), walaupun seorang sahaja dalam kalangan mereka. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/135).

Imam al-Zarkasyi berpendapat bahagian yang wajib disedekahkan itu pula wajiblah daging isi yang mengenyangkan jika dimakan, bukan sembarangan bahagian daging. Namun, Imam al-Nawawi membantah pendapat ini. Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan perkara ini dengan menyatakan, ini kerana ia disyariatkan sebagai belas kasihan kepada orang miskin, dan dengan sebab itulah ia berkait dari segi makna. Hasil penelitian al-Zarkasyi menyatakan bahawa mesti ada daging yang boleh mengenyangkannya, dan ia merupakan kadar yang ditentukan dalam nafkah suami yang fakir (kurang berkemampuan), kerana itu adalah yang paling minimum yang wajib. Namun, ia bertentangan dengan apa yang disebut dalam kitab al-Majmu‘, bahawa jika dia hanya bersedekah dengan sebahagian kecil yang paling rendah (kualitinya), ia sudah memadai tanpa sebarang perselisihan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/364).

Demikian yang di atas adalah pendapat yang paling sahih (al-asah) dalam mazhab. Manakala pendapat yang bertentangan dengannya (muqabil al-asah) pula menyatakan tidak wajib untuk memberikannya kepada sesiapa. Imam al-Ramli menyatakan berkenaan ini seraya berkata: “[Pendapat al-asah adalah wajib menyedekahkan daging korban] iaitu memberikannya… [iaitu sebahagian daripada daging korban itu] daripada segala apa yang dinamakan sebagai daging, diharamkan makan semua bahagian daging korban tersebut kerana tujuan perlaksanaan korban adalah untuk memberikan manfaat kepada orang-orang miskin, dan perkara ini tidak boleh digapai dengan hanya menumpahkan darah haiwan korban semata. Manakala pendapat muqabil al-asah pula menyatakan tidak wajib menyedekahkan daging korban, dan cukup sekadar mendapat pahala dengan menumpahkan darah haiwan korban dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/141-142)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa seeloknya pihak penganjur memberikan ruang dan kebebasan kepada peserta korban untuk mengagihkan bahagian daging korban mereka secara sendiri kepada sesiapa yang mereka mahukan. Hal ini kerana, kita tidak boleh untuk memaksa sesiapa dalam tatacara perlaksanaan ibadah sunat.

Namun, pihak penganjur boleh menetapkan dan mengkhususkan dengan niat sebagai wakil pengagih; lebih-lebih lagi pihak masjid lebih mengetahui sasaran penerima yang benar-benar berhak terhadap agihan daging korban tersebut (yakni dalam kalangan orang miskin) lalu memastikan agihan tersebut (bahagian orang miskin itu) sampai kepada pihak yang sepatutnya. Pada masa yang sama, ia menjadi suatu kemaslahatan kepada  para peserta korban itu sendiri supaya mereka melaksanakan ibadah korban dengan sempurna, terutamanya dalam agihan daging korban bagi mereka yang tidak mampu untuk mengagihkannya sebagaimana yang telah ditentukan.

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 127)

Wallahu a‘lam.