Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara kita menguruskan mayat tentera musuh dalam peperangan? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Memerangi musuh Allah yang mengancam keselamatan umat manusiawi merupakan suatu kewajipan bagi umat Islam. Wajib membasmi mereka sehingga mereka pupus, atau hina dina dalam keadaan menyerah diri. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Karim:
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ
Maksudnya: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat serta tidak mengharamkan apa yang Allah dan Rasul-Nya haramkan; serta tidak beragama dengan agama yang benar dalam kalangan orang-orang yang diberi al-Kitab sehinggalah mereka membayar jizyah dengan tangan mereka dalam keadaan mereka kerdil dan hina.”
(Surah al-Taubah: 29)
Mengebumikan jasad manusia adalah arahan Allah kepada manusia apabila ada salah seorang manusia yang meninggal dunia. Allah SWT berfirman mengisahkan tentang kisah Qabil dan Habil:
فَبَعَثَ ٱللَّهُ غُرَابࣰا یَبۡحَثُ فِی ٱلۡأَرۡضِ لِیُرِیَهُۥ كَیۡفَ یُوَ ٰرِی سَوۡءَةَ أَخِیهِۚ قَالَ یَـٰوَیۡلَتَىٰۤ أَعَجَزۡتُ أَنۡ أَكُونَ مِثۡلَ هَـٰذَا ٱلۡغُرَابِ فَأُوَ ٰرِیَ سَوۡءَةَ أَخِیۖ فَأَصۡبَحَ مِنَ ٱلنَّـٰدِمِینَ
Maksudnya: “Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: ‘Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?’ Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal.”
(Surah al-Ma’idah: 31)
Mengebumikan jasad manusia juga merupakan fitrah insan yang dilakukan ke atas mana-mana manusia apabila mereka meninggal dunia sama ada Muslim atau Kafir. Imam al-Qurtubi berkata: “Maka, perbuatan burung gagak itu menjadi sunnah yang kekal dilaksanakan dalam kalangan manusia, ia wajib ke atas setiap manusia dengan tuntutan fardhu kifayah. Sesiapa yang melaksanakannya dalam kalangan sesebuah masyarakat, maka kewajipan itu gugur daripada sebahagian yang lain. Orang yang paling wajar melaksanakannya adalah kaum kerabat, kemudian jiran, kemudian seluruh umat Islam. Adapun orang kafir, Abu Dawud meriwayatkan daripada Ali, beliau berkata: “Aku berkata kepada Nabi SAW: ‘Sesungguhnya bapa saudaramu, seorang tua lagi sesat, telah meninggal dunia.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah dan kuburkan bapamu, kemudian jangan lakukan apa-apa sehingga kamu kembali kepadaku.’ Maka aku pun pergi, menguruskan pengebumiannya dan kemudian kembali kepada Baginda. Lalu Baginda memerintahkanku (untuk mandi), maka aku pun mandi dan Baginda mendoakanku.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/143).
Berhubung soalan di atas, kami tegaskan bahawa mayat musuh peperangan yang berstatus kafir harbi tidak dikebumikan dengan terhormat seperti pengebumian mayat pahlawan atau prajurit umat Islam. Bahkan boleh dibiarkan, dihinakan, dicampak di dalam mana-mana lubang yang buruk dan busuk untuk menghinakannya. Asalkan ia tidak mencemari pemandangan dan persekitaran. Pengarang al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah menukilkan, para ulama al-Syafi‘iyyah menegaskan bahawa mayat kafir harbi tidak wajib dikebumikan, bahkan ada pendapat dalam mazhab melarangnya. Jika sudah dikebumikan, maka ditinggalkan.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/11).
Kita tidak wajib untuk mengebumikan mayat musuh dalam peperangan, kerana mereka adalah kafir harbi. Kafir Harbi tidak layak mendapat penghormatan, manakala pengebumian adalah suatu perbuatan untuk memberi penghormatan terakhir. Demikianlah yang termaktub di dalam kitab-kitab muktamad fatwa Fuqaha al-Syafi‘iyyah.
Imam al-Ramli al-Kabir berkata:
أَمَّا الْحَرْبِيُّ فَلَا يَجِبُ دَفْنُهُ بَلْ فِي وَجْهٍ لَا يَجُوزُ
Maksudnya: “Adapun (mayat) kafir harbi maka tidak wajib untuk mengebumikannya bahkan ada satu pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i yang mengatakan, tidak dibolehkan (untuk mengebumikan mayat orang kafir harbi).” (Lihat Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala Asna al-Matalib, 4/215)
Sekiranya mayat tersebut adalah kafir harbi, maka tidak perlu dikebumikan. Sebaliknya, mayat tersebut boleh diberi kepada haiwan-haiwan pemakan bangkai untuk dimakan. Sekiranya ia mendatangkan bau yang busuk, maka boleh ditanam atau dikambus dalam mana-mana lubang. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiahnya:
نَعَمْ الْحَرْبِيُّ لَا يَجِبُ دَفْنُهُ وَتُغْرَى الْكِلَابُ عَلَيْهِ فَإِنْ تَأَذَّى النَّاسُ بِرَائِحَتِهِ وُورِيَ أَمَّا إذَا لَمْ يَشُقَّ نَقْلُهُ بِأَنْ سَهُلَ قَبْلَ تَغَيُّرِهِ فَيُنْقَلَ فَإِنْ دُفِنَ تُرِكَ
Maksudnya: “Ya, kafir harbi tidak wajib dikebumikan, sebaliknya dibiarkan anjing-anjing untuk memakannya. Sekiranya bau mayatnya mengganggu orang ramai, maka mayat itu ditanam. Adapun jika tiada masalah untuk memindahkannya sebelum ia berubah menjadi busuk, maka ia boleh untuk dipindahkan. Jika sudah dikambus, biarkan ia di situ.” (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/215-216)
Selepas peperangan Badar, Rasulullah SAW dan para sahabat mencampak mayat-mayat musuh dalam kalangan tentera Musyrikin Quraisy ke dalam perigi buta Badar. Abu Talhah R.A meriwayatkan bahawa:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ يَوْمَ بَدْرٍ بِأَرْبَعَةٍ وَعِشْرِينَ رَجُلًا مِنْ صَنَادِيدِ قُرَيْشٍ، فَقُذِفُوا فِي طَوِيٍّ مِنْ أَطْوَاءِ بَدْرٍ خَبِيثٍ مُخْبِثٍ
Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan ketika perang Badar agar 24 tokoh (pembesar) Quraisy (yang mati) dilemparkan ke dalam perigi Badar yang busuk dan menjijikkan.”
Riwayat al-Bukhari (3976) dan Muslim (2875)
Imam Ibn al-Mulaqqin berkata tentang hikmah arahan Rasulullah SAW agar para sahabat mencampakkan mayat musuh ke dalam perigi: “Jika engkau bertanya: ‘Apakah makna di sebalik arahan melempar semua mayat dalam perigi buta?’ Daku katakan: ‘Antara sunnah Rasulullah dalam peperangan Baginda, apabila terjumpa mana-mana mayat manusia, Baginda akan mengarahkan agar ia dikebumikan dan tidak bertanya siapakah manusia tersebut, seperti mana yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni. Maka, melempar mereka ke dalam telaga adalah sebahagian daripada tindakan ini. Namun, Baginda tidak suka membebankan para sahabatnya dengan banyaknya bilangan mayat. Jadi menarik mereka ke dalam perigi adalah lebih memudahkan kerja mereka. Kebetulan telaga itu digali oleh seorang lelaki daripada Bani al-Nar, lalu itu lebih menjadikan perigi tersebut sesuai untuk mereka. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 21/45)
Semua mayat tentera Musyrikin dicampak kecuali mayat Umayyah bin Khalaf yang dibiarkan sahaja, kerana jasadnya sudah hancur dan dagingnya sudah berderai jika digerakkan. Imam Ibn Hisyam meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Hisyam bin ‘Urwah, bahawa Aisyah R.Anha menceritakan:
لَمَّا أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقَتْلَى أَنْ يُطْرَحُوا فِي الْقَلِيبِ، طُرِحُوا فِيهِ، إلَّا مَا كَانَ مِنْ أُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ، فَإِنَّهُ انْتَفَخَ فِي دِرْعِهِ فَمَلَأَهَا، فَذَهَبُوا لِيُحَرِّكُوهُ، فَتَزَايَلَ لَحْمُهُ، فَأَقَرُّوهُ، وَأَلْقَوْا عَلَيْهِ مَا غَيَّبَهُ مِنْ التُّرَابِ وَالْحِجَارَةِ
Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW memerintahkan supaya mayat-mayat (tentera musyrikin) dihumban ke dalam perigi buta, mereka pun dihumban ke dalamnya, kecuali Umayyah bin Khalaf. Ini kerana tubuhnya telah mengembung dalam baju besinya sehingga memenuhinya. Apabila mereka cuba menggerakkannya, dagingnya terurai, jadi mereka membiarkannya dan menutupinya dengan tanah dan batu-batuan untuk menutupinya. (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 2/291-292).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa mayat kafir harbi (iaitu yang memerangi Islam) tidak perlu untuk dihormati atau dikebumikan dengan tertib. Mayat mereka sama ada dipulangkan kepada pihak musuh untuk diuruskan oleh mereka sendiri, atau jika tidak, dibiarkan sahaja sehingga mereput, jika mahu, boleh berikan kepada mana-mana haiwan pemakan bangkai untuk memakannya dan cepat menghapuskannya. Atau, ia mestilah dicampak ke dalam mana-mana perigi buta, atau mana-mana lubang besar, kerana jika dibiarkan sebegitu sahaja tanpa dialihkan, ia akan menyebabkan kerosakan dan keburukan yang menebar seperti penyakit-penyakit berjangkit, pencemaran bau dan persekitaran yang buruk.
Adapun jika mayat musuh tersebut adalah beragama Islam, maka mayat musuh tersebut tidak boleh disembahyangkan oleh pemimpin, hanya disembahyangkan oleh keluarga dan beberapa orang sahaja. Jenazahnya juga dikuburkan secara berasingan dan di kawasan terpencil, tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan umat Islam kebanyakkan. Hal ini kerana mereka adalah Muslim yang menzahirkan dosa besar dengan memberontak ke atas pemimpin.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْأَلُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Kami memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.