#7293: Perbezaan Ruh dan Nafs dalam al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan perbezaan makna Ruh dan Nafs dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di dalam kitab Taj al-‘Urus disebutkan beberapa takrifan mengenai roh. Antaranya:

  • Al-Farra’ mengatakan roh itu sesuatu yang mana dengannya manusia akan hidup. Allah tidak mengkhabarkan mengenai perihal penciptaannya dan Allah juga tidak memberikan ilmu mengenainya.
  • Abu al-Haitham mengatakan roh itu adalah jiwa yang mana manusia bernafas dengannya. Ianya mengalir di keseluruhan jasad. Jika ia keluar, maka tidak akan bernafaslah manusia. (Lihat Taj al-‘Arus, 6/408 dan Lisan al-‘Arab, 2/462 )

Allah SWT berfirman:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” 

(Surah al-Isra’: 85)

Imam Al-Razi menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan Allah SWT ingin menjelaskan bahawa akal manusia terhad dan tidak mampu untuk mengetahui lebih dalam berkenaan dengan roh. (Lihat Mafatih Al-Ghaib , 21/31 )

Manakala kalimah “النَّفْسُ” menurut Maqayis al-Lughah (5/460) adalah: keluarnya hembusan udara, sama ada daripada angin atau selainnya. Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab bahawa beliau berkata:

لا تَسُبُّوا الرِّيحَ؛ فإنَّها مِن نَفَسِ الرَّحمنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela angin, kerana ia adalah sebahagian daripada hembusan (rahmat) Allah Yang Maha Pengasih.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3116)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, ulama berbeza pendapat dalam perkara ini; ada yang mengatakan bahawa keduanya (roh dan nafs) adalah satu perkara yang sama, dan ini merupakan pandangan majoriti ulama. Namun, ada pula yang berpendapat bahawa keduanya berbeza. Hakikatnya, istilah ‘roh’ dan ‘nafs’ digunakan untuk merujuk kepada beberapa makna; kadang-kadang maknanya sama, dan pada waktu lain berbeza. Perinciannya adalah sebagaimana berikut:

Kalimah nafs digunakan untuk beberapa perkara antaranya ialah:

  • Roh

Dikatakan: ‘Keluar nafsnya, iaitu roh-nya. Ini sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ

Maksudnya: “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri)”

(Surah al-’Anam:93)

  • Zat

Sebagaimana dikatakan: Aku melihat Muhammad itu sendiri . Ini juga seperti firman Allah Ta‘ala:

فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ

Maksudnya: “hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu”

(Surah al-Nur:61)

  • Darah

Dikatakan: “Mengalir darahnya (nafs-nya)”. Daripada ini juga, para fuqaha berkata: “Haiwan yang mempunyai darah yang mengalir” dan “haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir”. Juga dikatakan: “Wanita itu mengalami nifas apabila dia haid”, dan “wanita itu nifas apabila dia melahirkan anaknya”, dan daripada situlah istilah “nifas” (wanita dalam tempoh nifas) diambil.

Menurut Ibn Taimiyyah, nafs dikatakan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

  1. Nafs ammarah bi al-su’ – iaitu nafsu yang cenderung kepada keburukan, yang didominasi oleh dorongan untuk mengikuti hawa nafsu dengan melakukan dosa dan maksiat.
  2. Nafs lawwamah – iaitu nafsu yang berdosa tetapi kemudian bertaubat; ia mengandungi kebaikan dan keburukan. Apabila ia melakukan kejahatan, ia akan bertaubat dan kembali kepada Allah. Ia dipanggil lawwamah kerana ia mencela pemiliknya atas dosa yang dilakukan. Namun, ia juga bersifat tidak tetap (berbolak-balik) antara kebaikan dan keburukan.
  3. Nafs mutma‘innah – iaitu nafsu yang menyukai kebaikan dan amal soleh serta membenci keburukan dan dosa, sehingga perkara tersebut menjadi sifat dan kebiasaannya.

Ini adalah sifat-sifat dan keadaan bagi jiwa yang satu, kerana setiap manusia hanya memiliki satu nafsu.

Manakala kalimah Roh pula  digunakan untuk beberapa makna; antaranya ialah:

  • Al-Quran yang Allah Ta‘ala wahyukan kepada Rasul-Nya.

Allah SWT berfirman:

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami).”

(Surah al-Syura:52)

  • Jibril

Allah SWT berfirman:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ

Maksudnya: “Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.”

(Surah al-Syu‘ara’: 193)

  • Wahyu yang diilhamkan-Nya kepada para nabi dan rasul-Nya.

Allah SWT berfirman:

 يُلْقِي الرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِ عَلَىٰ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: “Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi RasulNya),”

(Surah Ghafir: 15)

Ia dinamakan roh kerana daripadanya terhasil kehidupan yang bermanfaat; sesungguhnya kehidupan tanpa roh tidak memberi sebarang manfaat kepada pemiliknya. Roh dinamakan roh kerana dengannya badan menjadi hidup.

Roh juga merujuk kepada udara yang keluar dari tubuh dan udara yang masuk ke dalamnya. Roh turut digunakan dengan makna yang telah dijelaskan sebelum ini, iaitu sesuatu yang menyebabkan kematian apabila ia berpisah dari badan. Dalam konteks ini, ia bersamaan dengan nafs dan maknanya menjadi sama. Namun, keduanya berbeza kerana nafs boleh merujuk kepada tubuh dan darah, sedangkan roh tidak digunakan untuk merujuk kepada keduanya. (Lihat al-Irsyad ila Sahih al-‘Itikad wa Rad ‘ala Ahl Syirk wa Ilhad,  266-268)

Justeru, penting bagi kita untuk mempelajari dan merenungi ayat-ayat al-Quran agar dapat memahami maknanya dengan tepat dan sesuai dengan konteks. Dengan bertadabbur, kita bukan hanya memahami makna zahirnya, tetapi juga mendalami dan menyelami hikmah di sebalik setiap ayat. Ini memastikan bahawa penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam kehidupan dan amalan adalah selari dengan maksud yang sebenarnya serta relevan dengan situasi yang dihadapi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.