Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya, apakah hukum sekiranya imam menegur atau memarahi makmum sebelum memulakan khutbah yang kedua pada hari Jumaat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Khutbah Jumaat merupakan syarat sah Solat Jumaat. Tanpa khutbah, perlaksanaan Solat Jumaat tidak sah. Khutbah ini pula mengandungi syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Allah SWT berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰلِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala urusan jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kalian jika kalian mengetahuinya.”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Allah SWT menyebut khutbah Jumaat sebagai salah satu zikir untuk mengingati-Nya kerana di dalamnya terdapat nasihat dan peringatan untuk mengingati kalam Allah serta arahan-Nya. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Firman-Nya: [bersegeralah menuju mengingati Allah] iaitu ke arah menunaikan solat. Manakala, Sa‘id bin al-Musayyib menafsirkan ayat: [bersegeralah menuju mengingati Allah] sebagai khutbah/nasihat yang disampaikan oleh Imam.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/117).
Berhubung soalan di atas, kami tegaskan bahawa tidak menjadi sebarang masalah bagi Imam untuk menegur atau memarahi makmum ketika berkhutbah, sama ada khutbah pertama atau khutbah kedua.
Rasulullah SAW pernah menegur sahabat baginda berkenaan isu perlaksanaan solat sunat tahiyyatul masjid ketika Baginda masih sedang berkhutbah. Jabir bin Abdullah R.A meriwayatkan bahawa:
جاءَ سُلَيْكٌ الغَطَفانِيُّ يَومَ الجُمُعَةِ، وَرَسولُ اللهِ ﷺ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ، فَقالَ له: يا سُلَيْكُ قُمْ فارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِما، ثُمَّ قالَ: إذا جاءَ أَحَدُكُمْ يَومَ الجُمُعَةِ، والإِمامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِما.
Maksudnya: “Sulaik al-Ghatafani datang ke masjid pada hari Jumaat dalam keadaan Rasulullah SAW sedang berkhutbah, kemudian dia (Sulaik) terus duduk sahaja. Maka, Rasulullah SAW terus menegurnya: ‘Wahai Sulaik, bangunlah solat dua rakaat, dan ringanlah kedua-dua rakaat solatmu itu.’ Kemudian Baginda bersabda lagi: ‘Apabila salah seorang dalam kalangan kamu datang ke masjid pada hari Jumaat, dalam keadaan khatib sedang berkhutbah, maka hendaklah dia menunaikan solat sunat dua rakaat, dan hendaklah dia meringankan solatnya itu.’”
Riwayat al-Bukhari (930) dan Muslim (875)
Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A pernah menegur Uthman bin ‘Affan tentang isu mandi sunat Jumaat ketika Umar sedang berkhutbah. Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa:
بيْنَما عُمَرُ بنُ الخَطّابِ يَخْطُبُ النّاسَ يَومَ الجُمُعَةِ، إذْ دَخَلَ عُثْمانُ بنُ عَفّانَ، فَعَرَّضَ به عُمَرُ، فَقالَ: ما بالُ رِجالٍ يَتَأَخَّرُونَ بَعْدَ النِّداءِ؟ فَقالَ عُثْمانُ: يا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ ما زِدْتُ حِينَ سَمِعْتُ النِّداءَ أَنْ تَوَضَّأْتُ، ثُمَّ أَقْبَلْتُ، فَقالَ عُمَرُ: والْوُضُوءَ أَيْضًا، أَلَمْ تَسْمَعُوا رَسولَ اللهِ ﷺ يقولُ: إذا جاءَ أَحَدُكُمْ إلى الجُمُعَةِ فَلْيَغْتَسِلْ.
Maksudnya: “Ketika Umar bin al-Khattab sedang berkhutbah kepada orang ramai pada hari Jumaat, kemudian Uthman bin ‘Affan masuk ke dalam masjid. Lantas, Umar terus menegur Uthman: ‘Mengapa ada beberapa lelaki yang lambat juga datang masjid selepas azan sudah dikumandangkan?’ Uthman pun berkata: ‘Wahai Amirul Mukminin, aku tidak melakukan apa-apa kecuali mengambil wuduk selepas mendengar azan, kemudian aku datang (ke masjid).’ Umar pun berkata: ‘Dan (mengambil) wuduk sahaja? Tidakkah kamu mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu datang untuk solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi.’”
Riwayat al-Bukhari (878) dan Muslim (845)
Selain itu, menasihati makmum berkenaan adab-adab di dalam masjid dengan tegas juga adalah termasuk dalam arahan untuk mentaati Allah dan menghindari maksiat yang merupakan intisari khutbah. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai perkara yang sewajarnya menjadi intipati dan isi khutbah Jumaat, kata beliau: Rukun khutbah yang ketiga ialah memberi wasiat kepada ketakwaan sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW, diriwayatkan oleh Imam Muslim. Selain itu kerana tujuan khutbah adalah untuk menyampaikan nasihat dan teguran/peringatan. Lafaz wasiat kepada ketakwaan itu juga adalah tidak ditentukan mengikut pendapat yang sahih (dalam mazhab) kerana tujuannya adalah nasihat dan menggesa kepada mentaati Allah SWT, maka memadai apa jua lafaz berbentuk nasihat sama ada pendek atau panjang seperti “Taatlah kepada Allah dan takutlah kepada-Nya,” dan tidak memadai/mencukupi sekadar peringatan/nasihat untuk berwaspada daripada tipu daya duniawi dan hiasannya kerana nasihat itu turut diucapkan oleh kelompok yang mengingkari hari kebangkitan sesama mereka. Sebaliknya, nasihat/peringatan itu mestilah mengandungi arahan untuk melakukan ketaatan dan menghindari maksiat. Arahan untuk mentaati Allah sudah merangkumi arahan menghindarkan diri daripada maksiat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/550)
Namun, tidak dibolehkan untuk terus memarahi sebelum membaca khutbah. Hal ini akan memutuskan muwalat antara rukun-rukun khutbah. Muwalat antara rukun khutbah adalah syarat sah khutbah di sisi pendapat al-azhar dalam mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:
وَالْأَظْهَرُ اشْتِرَاطُ الْمُوَالَاةِ
Maksudnya: “Pendapat al-azhar (dalam mazhab) adalah disyaratkan muwalat.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 48)
Al-Khatib al-Syirbini mengulas lanjut: “[Pendapat al-azhar mensyaratkan muwalat (dalam khutbah)] iaitu berturut-turut antara sekalian rukunnya, dan di antara dua khutbah, begitu juga antara dua khutbah dengan solat sebagai mengikuti sunnah Rasulullah; dan kerana ia mempunyai kesan yang zahir/nyata dalam menarik hati. Khutbah dan solat adalah mirip dengan solat Jama‘. Manakala pendapat kedua (dalam mazhab), tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut) kerana tujuan utamanya adalah memberi nasihat dan peringatan. Semua ini dapat dicapai walaupun terpisah-pisah perlaksanaannya dengan kata-kata (yakni senggang masa atau lain-lain perkara).” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/554)
Kesimpulannya
Tuntasnya, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan bagi imam untuk menegur makmum ketika sedang berkhutbah sama ada ketika khutbah pertama atau ketika khutbah kedua. Perbuatan ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin seperti Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar bin al-Khattab R.Anhum. Namun, digalakkan menegur ketika dalam khutbah, bukan sebelum memulakan khutbah supaya melaksanakan rukun-rukun khutbah dengan meraikan syarat muwalat (berturut-turut).
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَرْجُو، وَلَكَ نَدْعُو، فَبَلِّغْنَا صَالِحَ أمَلِنَا، واغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا، وَامْنُنْ عَليْنَا بِما مَنَنْتَ بِهِ على أهْلِ طاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Hanya kepada-Mu kami berharap. Hanya kepada-Mu kami berdoa. Capaikanlah cita-cita baik kami. Ampunkan dosa-dosa kami. Kurniakanlah kepada kami segala perkara yang Engkau kurniakan kepada orang-orang yang mentaati-Mu.”
Wallahu a‘lam.