Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah dicampur bahagian korban dengan bahagian aqiqah, dimasak dan dibuat jamuan. Jamuan itu turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Bolehkah orang bukan Islam memakan bahagian daging aqiqah tersebut. Mohon pencerahan daripada pihak ustaz.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba‘d:
Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ
Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”
(Surah al-Kauthar: 2)
Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)
Rasulullah SAW juga begitu menganjurkan amalan Korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”
Riwayat al-Tirmizi (1493)
Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdhal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)
Berhubung soalan di atas, menurut mazhab al-Syafi‘iyyah dibenarkan untuk menggabungkan orang yang mempunyai niat yang pelbagai dalam perkongsian bahagian haiwan korban. Imam al-Nawawi memfatwakan sedemikian dalam kitab Majmu‘, beliau mengujarkan bahawa: “Jika seseorang menyembelih seekor lembu atau unta untuk 7 orang anak atau berkongsi padanya oleh beberapa orang yang lain, maka ia dibolehkan sama ada mereka kesemuanya ingin melakukan aqiqah ataupun sebahagian mereka berkehendak untuk melakukan aqiqah manakala sebahagiannya lagi menginginkan bagi sekadar mendapatkan dagingnya semata.” (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 8/429)
Imam al-Khatib al-Syirbini turut memfatwakan sedemikian persis fatwa muktamad Imam al-Nawawi di atas, beliau berkata ketika mensyarahkan kitab Minhaj: “(Unta dan lembu) sah/mamadai tiap-tiap satu daripada keduanya (dibahagikan menjadi 7 bahagian) berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir R.A, beliau berkata: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan bertalbiyah untuk mengerjakan ibadah Haji. Kemudian Baginda menyuruh kami berkongsi dalam seekor unta dan seekor lembu. Dalam satu unta, ada 7 bahagian.” Dalam satu riwayat yang lain: “Kami melakukan korban bersama Rasulullah SAW di Hudaibiyah akan seekor unta untuk 7 bahagian dan seekor lembu untuk 7 bahagian.” Secara zahirnya, mereka (peserta dalam bahagian-bahagian unta dan lembu) bukanlah daripada ahli keluarga yang sama dan sama ada mereka sepakat pada jenis ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah ataupun berbeza sesama mereka (dalam hal itu). Ini berlaku seperti mana apabila sebahagian daripada mereka berniat melaksanakan korban dan sebahagiannya untuk al-hadyu. Begitu juga jika sebahagiannya berkehendak kepada daging semata-mata dan sebahagiannya lagi untuk korban.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/126)
Jemput Orang Bukan Islam ke Jamuan Aqiqah
Pada asasnya, hukum-hakam aqiqah adalah sama sahaja seperti hukum-hakam sembelihan korban (udhiyyah). Ini jelas menerusi kenyataan Imam al-Khatib al-Syirbini yang menyatakan bahawa hukum-hakam aqiqah dari segi jenis haiwan, umur, selamatnya daripada sebarang kecacatan dan kekurangan, dan lain-lain adalah sama seperti hukum ibadah korban yang sunat. Ini kerana aqiqah juga merupakan sembelihan yang disunatkan, maka ia menyerupai dan mirip hukum-hakam korban. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/139)
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘ bahawa Ibn Munzir telah mengatakan bahawa telah berlaku ijma‘ iaitu dibolehkan untuk memberikan makan kepada fakir miskin dalam kalangan umat Islam daripada hasil korban manakala yang menjadi khilafnya adalah memberikan hasil korban kepada fakir miskin dalam kalangan ahli zimmah.
Kami nyatakan di sini pendapat-pendapat yang berkaitan dengan permasalahan ini yang mana ada disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/425) dan begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam al-Mughni (9/450):
- Imam Abu Hanifah memberikan rukhsah (keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri dan juga Abu Thaur.
- Mazhab Maliki berpendapat hukumnya adalah makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani.
- Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya adalah harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak dibolehkan.
- Dalam mazhab al-Syafi‘i, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Pada masa yang sama, kami melihat bahawa di dalam isu ini ia hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar‘iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. Jadi, kami katakan, sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka. Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan.
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan tidak menjadi satu kesalahan untuk mengadakan jamuan aqiqah yang turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Ini kerana kita sebagai umat Islam turut diperintah untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja walaupun kepada bukan islam selagi mana dia tidak memusuhi Islam. Hal ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90).
Begitu juga Allah SWT turut berfirman:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.“
(Surah al-Insan: 8)
Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Mereka memberi makanan kepada orang yang berhajat seperti orang miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang dalam masa yang sama mereka juga menyukai harta dan makanan tersebut. Akan tetapi, mereka lebih mencintai Allah daripada diri mereka sendiri. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 90).
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa Islam amat menganjurkan kita membantu orang yang berada dalam kesusahan seperti orang-orang miskin,anak-anak yatim bahkan juga kepada orang bukan Islam seperti tawanan perang dan sebagainya.
Bahkan dalam isu ini juga, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyebutkan: Memberi makan daging korban kepada bukan Muslim adalah satu perkara yang digalakkan kerana ia termasuk dalam kebaikan yang dianjurkan oleh syarak. Ini juga merupakan salah satu hak jiran ke atas jirannya. Amalan ini, jika dilakukan secara konsisten, boleh menumbuhkan rasa kasih sayang, mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama, serta menyemai semangat kebangsaan dan solidariti. Selain itu juga, ia dapat memperbaiki hubungan kejiranan, dan menguatkan ikatan kemanusiaan serta meningkatkan rasa kasih sayang.
Syarak menggalakkan setiap perbuatan moral yang mengukuhkan hubungan antara manusia, menanamkan semangat hidup bersama dan kerjasama, serta kasih sayang dan sokongan dalam pelbagai aspek kebaikan. Ini termasuk anjuran untuk saling menziarahi, menyayangi, dan bertukar hadiah, tanpa memandang agama, bangsa, atau warna kulit. Oleh yang demikian, memberi hadiah, berbuat baik, dan memberi makan kepada bukan Muslim adalah perkara yang disyariatkan dan dianjurkan oleh nas-nas umum dari al-Quran dan al-Sunnah. Perbuatan ini juga diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan disepakati oleh para ulama.[1]
Dapat difahami daripada kenyataan ini bahawa syarak mengizinkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam sebagai bentuk amal kebaikan dan memenuhi hak kejiranan. Dengan demikian, tindakan serupa juga boleh dilakukan terhadap daging aqiqah sebagaimana daging korban kerana hukum-hakam kedua-duanya adalah sama seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan penjelasan di atas, kami simpulkan bahawa kita digalakkan untuk berbuat baik kepada semua individu, sama ada mereka beragama Islam ataupun tidak. Dengan ini, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan untuk mengadakan jamuan aqiqah yang turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Malah, tindakan tersebut adalah amalan yang digalakkan disamping menunjukkan akhlak mulia yang ditekankan dalam ajaran Islam.
Walaupun begitu, keutamaan adalah kepada umat Islam dan fuqara di kalangan umat Islam hendaklah didahulukan. Keduanya, pada pandangan kami, keharusan jemputan tersebut apabila mereka adalah rakan-rakan yang hampir dengan kita dan jiran yang hampir dengan kita.
Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 127)
Wallahu a‘lam.
Nota hujung:
[1] Lihat Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18973/%D8%AD%D9%83. Diakses pada 2 Julai 2024.