#731: Beza antara Sahur dan Suhur

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah beza antara perkataan sahur (السَّحور) dan suhur (السُّحور)? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sahur ialah berjaga dan makan selepas waktu tengah malam sebelum terbit fajar dalam bulan Ramadhan atau juga dalam bulan lain bagi orang yang hendak berpuasa. Terdapat hadith daripada riwayat Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.

Riwayat al-Bukhari (1923)

Berdasarkan hadith di atas, terdapat dua pendapat berkenaan baris huruf sin “س” pada perkataan “السحُورِ”, sama ada dibaca sebagai sahur “السَّحور” iaitu dengan baris atas, atau dibaca sebagai suhur “السُّحور” iaitu dengan baris depan.  Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, perkataan “السحُورِ” boleh dibaca dengan baris atas yakni sebagai ‘sahur’ dan baris depan yakni sebagai ‘suhur’ kerana yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala. Justeru, perkataan “السحُورِ” sesuai dibaca dengan baris depan (yakni suhur) kerana ia adalah masdar (kata terbitan), dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan, disebabkan oleh ia menguatkan puasa, memberi tenaga dan meringankan kesusahan ketika berpuasa. Manakala perkataan “السحُورِ” sesuai juga dibaca dengan baris atas (yakni sahur) kerana ia merujuk kepada apa-apa makanan yang dimakan ketika bersahur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)

Selain itu, Ibn Manzur juga mendefinisikan perkataan sahur “السَّحور” sebagai makanan sahur dan minumannya.[4] Di samping itu, Muhammad al-Azhari pula menyebutkan, sahur “السَّحور” ialah apa yang disahurkan dengannya pada waktu sahur terdiri daripada makanan, susu atau sawiq[1] yang dimakan pada ketika itu. Sebagai contoh, “تسحَّر الرجلُ ذَلِك الطعامَ” (Seorang lelaki telah bersahur dengan makanan itu) yakni memakannya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/351; Tahzib al-Lughah, 4/171-172)

Begitu juga Ibn al-Athir juga ada menyebutkan bahawa perkataan sahur “السَّحور” yakni dengan baris atas adalah merujuk kepada apa yang disahurkan yang terdiri daripada makanan dan minuman. Manakala perkataan suhur “السُّحور” yakni dengan baris depan pula merupakan masdar (kata terbitan) dan fi‘il (kata kerja) itu sendiri. Selain itu, kebanyakan riwayat datang dengan baris atas — yakni dengan perkataan sahur. Namun, dikatakan yang tepat adalah dengan baris depan — yakni dengan perkataan suhur — kerana apabila huruf sin itu berbaris atas, ia bermaksud makanan, sedangkan keberkatan, ganjaran dan pahala itu adalah pada perbuatan, bukan pada makanan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/347)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa perkataan “السحُورِ” boleh dibaca sebagai sahur atau suhur dan kedua-duanya membawa maksud yang berbeza. Perkataan sahur adalah merujuk kepada makanan dan minuman yang dimakan ketika waktu bersahur. Manakala perkataan suhur pula adalah merujuk kepada perbuatan bersahur itu sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[1] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.