#7311: Melambatkan Bayaran Hutang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang melambatkan bayaran hutang sedangkan dia berkemampuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيۡنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمّٗى فَٱكۡتُبُوهُۚ وَلۡيَكۡتُب بَّيۡنَكُمۡ كَاتِبُۢ بِٱلۡعَدۡلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Rasulullah SAW memberi amaran tegas kepada mereka yang melengahkan membayar hutang sedangkan mereka berkemampuan:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman.”

Riwayat al-Bukhari (2400) dan Muslim (1564)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Dalam riwayat Ibn ‘Uyainah, daripada Abu al-Zinad, yang dinukilkan oleh al-Nasa’ie dan Ibn Majah, disebutkan: ‘الْمَطْلُ ظُلْمُ الْغَنِيِّ’ (“Penundaan melunaskan hutang adalah satu kezaliman oleh orang yang berkecukupan.”) Ertinya, perbuatan ini termasuk kezaliman. Hanya saja dalam hadith dikatakan bahawa ‘penundaan’ adalah kezaliman itu sendiri. Hal tersebut memberi penekanan agar menjauhi perbuatan itu.

Al-Jauzaqi meriwayatkan daripada jalur Hammam, daripada Abu Hurairah dengan lafaz ‘إِنَّ مِنَ الظُّلْمِ مَطْلَ الْغَنِيِّ’ (“Sesungguhnya termasuk kezaliman adalah penundaan melunaskan hutang oleh orang yang berkecukupan.”) Riwayat ini mentafsirkan riwayat sebelumnya. Makna dasar perkataan al-matlu (المَطْلُ) adalah memperpanjang. Al-Azhari berkata, “Al-matlu (المَطْلُ) ertinya saling menolak. Adapun yang dimaksudkan di sini adalah mengakhirkan pembayaran hutang yang telah sampai tempoh tanpa sebarang alasan yang dibenarkan oleh syariat.” Manakala batasan “orang yang berkecukupan” masih diperselisihkan oleh para ulama’. Namun, yang dimaksudkan adalah orang yang mampu untuk melunaskan hutang, tetapi dia mengakhirkan pelunasannya meskipun dia seorang yang miskin. (Lihat Fath al-Bari, 13/110)

Penyakit ini juga banyak menular dalam masyarakat Islam disebabkan tiada perasaan bertanggungjawab terhadap hak orang lain sama ada hutang kecil atau jumlah yang besar. Dalam mensyarahkan hadis ini, Ibn Hajar menyatakan bahawa jumhur ulama bersepakat bahawa golongan ini termasuk dalam kategori fasik. Sikap yang lebih hina, apabila seseorang dengan sengaja tidak mahu membayar hutang. Sengaja mengelak dan merasakan dirinya beruntung apabila berjaya melepaskan diri daripada membayar hutang. Pada hakikatnya, mereka bakal diisytiharkan muflis di akhirat kelak apabila terpaksa membayar kembali segala hutang tersebut dengan segala pahalanya kepada pemberi hutangnya di dunia dahulu. Ketika itu segala penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Hatim al-Asam berkata:

الْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ إِلَّا فِي خَمْسَةٍ فَإِنَّهَا مِنْ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِطْعَامِ الضَّيْفِ، وَتَجْهِيزِ الْمَيِّتِ، وَتَزْوِيجِ الْبِكْرِ، وَقَضَاءِ الدَّيْنِ، وَالتَّوْبَةِ مِنَ الذَّنْبِ

Tergesa-gesa adalah daripada syaitan kecuali dalam lima perkara, kerana ia adalah sunnah Rasulullah SAW:

  • Memberi makan kepada tetamu
  • Menguruskan jenazah untuk pengebumian
  • Mengatur perkahwinan anak dara
  • Membayar hutang
  • Bertaubat daripada dosa

(Lihat Hilyah al-Auliya’, 8/78; Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra oleh al-Subki, 6/309; Mau’izah al-Mu’minin min Ihya’ ‘Ulum al-Din, hlm. 98)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”