Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah sebab dan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu melakukan hutang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالدَّيْنَ فَإِنَّهُ هَمٌّ بِاللَّيْلِ وَمَذَلَّةٌ بِالنَّهَارِ
Maksudnya: “Jauhilah kamu dari berhutang, ia akan membuat kamu resah pada waktu malam dan (mengakibatkan) kehinaan pada siang hari.”
Riwayat Riwayat al-Baihaqi Syu’ab al-Iman (5554), al-Qudha’i dalam Musnad al-Syihab (958) dan al-Dailami dalam al-Firdaus sepertimana dalam Kanz al-‘Ummal (15489). Dinyatakan dha’if (lemah) dalam Syarh Kitab al-Syihab (198) oleh al-Safarini al-Hanbali, dan dinyatakan sebagai dha’if jiddan (sangat lemah) dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (2265) dan Dha’if al-Jami’ (2199).
Dalam kehidupan dunia yang semakin canggih pada hari ini, segala urusan nampak seperti dipermudahkan. Segalanya berada di depan mata. Apa sahaja yang dihajatkan boleh direalisasikan asalkan berkemampuan.
Namun yang menjadi masalah segelintir anggota masyarakat kita pada hari ini apabila dibebani hutang. Terlalu banyak ‘fasiliti’ disediakan oleh pihak tertentu untuk ‘memudahkan’ kita berhutang. Tidak kira kereta, rumah, perabot hatta bajet untuk melangsungkan perkahwinan, tentu ada pihak yang ‘sedia’ untuk memberikan perkhidmatan meminjamkan wang. Kerana hutang juga, realiti yang berlaku hari ini menyebabkan kadar kemuflisan semakin meningkat setiap tahun.
Setakat September 2023, Jabatan Insolvensi Malaysia[1] merekodkan seramai 247,407 individu yang telah diisytiharkan bankrap. Dari jumlah tersebut, 23% adalah golongan muda berusia 35 tahun ke bawah, mencerminkan isu kebankrapan yang semakin membimbangkan dalam kalangan belia di negara ini, terutama apabila golongan ini terdedah kepada risiko kewangan seperti pinjaman peribadi yang tidak terkawal, perbelanjaan melebihi pendapatan, serta kurangnya kesedaran pengurusan kewangan yang berkesan. Masalah ini diperburukkan lagi oleh ketidakstabilan ekonomi, pengangguran, dan kenaikan kos sara hidup, yang sering menjadi punca utama kebankrapan dalam kalangan belia.[2]
Lebih menyedihkan apabila melihat ramai kalangan mereka diisytiharkan muflis adalah dalam golongan muda-mudi. Jika tidak percaya, pergilah ke mahkamah tinggi dan lihat, setiap hari ada kes bankrap didaftarkan. Jika diukur pada tahap umur, mereka sepatutnya sedang membina asas tapak yang kukuh untuk kehidupan masa hadapan tetapi malangnya, hutang ini memusnahkan sebahagian perancangan masa depan mereka. Namun, siapa harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri. Ini kerana, faktor yang membawa kepada gejala berhutang atas kehendak serta pilihan sendiri.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan hutang. Secara ringkasnya, antara faktornya ialah:
- Ingin memenuhi kehendak dan tuntutan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang. Desakan hawa nafsunya menyebabkan dia cuba memenuhi keinginan tersebut sehingga sanggup untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan diri. Pantang melihat orang lain ada, hati juga berkobar- kobar untuk turut memiliki benda yang sama. Orang ada kereta baru, dia juga tidak mahu kalah untuk memiliki kereta baru. Jiran rumah membeli gelang emas baru, dia juga mahu membeli barang kemas hingga ke siku.
- Pengaruh daripada sahabat atau jiran tetangga sering memberi galakan untuk berhutang. Lebih sukar lagi jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesebuah produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan.
- Rasa tidak puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehidupan dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan sanggup berhutang demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang.
- Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang.
Antara faktor lain yang dilihat turut menyumbang kepada masalah hutang ini ialah keinginan memiliki sesuatu benda dengan cepat walaupun pada hakikatnya, ia di luar kemampuan individu tersebut. Justeru, sebelum merancang untuk memiliki sesuatu yang berada di luar kemampuan, fikirkan dulu adakah barang itu satu keperluan atau kehendak. Jika ia satu keperluan (dharuriyat), maka Islam mengharuskan untuk berhutang.
Kesemua faktor berhutang yang telah disebutkan adalah membabitkan cara hidup dan gaya kehidupan mereka yang suka meniru, bergaya dan dalam masa yang sama kadar kemampuan amat lemah disamping kuasa beli yang begitu terhad, ucapan seperti “biar papa asal bergaya” menjadi moto kehidupan golongan ini. Natijahnya banyaklah kerugian dan tekanan hidup yang melanda seseorang.
Suka ditegaskan di sini bahawa budaya suami isteri dan ibu bapa juga boleh memberi kesan yang mendalam terhadap perwatakan anak-anak. Jika mereka suka berhutang, maka penyakit tersebut akan berjangkit kepada keturunannya. Ini mengakibatkan penyelesaian sesuatu perkara kembali kepada hutang, sudah tentu dapatan duit mungkin mudah dan cepat tetapi risikonya tatkala ingin membayar dan menguruskan bayaran mengikut jadual adalah sukar.
Sementelahan lagi, apabila sesebuah kehidupan yang mana hutang tersebut melebihi jangkauan kemampuan yang dimiliki oleh orang yang berhutang, ketika itu porak-perandalah rumah tangga dan kehidupan seseorang individu tersebut. Natijahnya akan bergandalah masalah daripada sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara.
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang dilihat menjadi faktor utama orang berhutang. Berikut adalah beberapa faktor utama yang menyebabkan orang berhutang, berdasarkan kajian-kajian terkemuka dunia, termasuk dalam konteks Malaysia:
- Kos Sara Hidup yang Meningkat
Salah satu sebab utama individu berhutang ialah kos sara hidup yang meningkat. Banyak negara, termasuk Malaysia, mengalami peningkatan kos barang keperluan asas seperti makanan, perumahan, dan utiliti. Apabila gaji tidak seimbang dengan kenaikan kos, ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Menurut laporan dari Bank Negara Malaysia (BNM) tahun 2023, kos sara hidup di bandar-bandar utama Malaysia telah meningkat sebanyak 5-6% setiap tahun. Akibatnya, rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana sering terpaksa mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Kajian dari World Bank juga menunjukkan bahawa kos perumahan dan keperluan asas yang tinggi di kawasan bandar sering menjadi punca utama hutang bagi banyak isi rumah di negara membangun.
- Pengurusan Kewangan yang Lemah
Ramai individu terjebak dalam hutang kerana kurangnya pengetahuan atau kemahiran dalam mengurus kewangan peribadi. Mereka mungkin tidak memahami pentingnya merancang bajet atau bagaimana menggunakan kredit dengan bijak, sehingga membuat keputusan kewangan yang kurang bijak.
Kajian dari Financial Education Network Malaysia pada tahun 2022 mendapati bahawa 40% rakyat Malaysia tidak mempunyai tabungan kecemasan dan tidak tahu mengurus kewangan peribadi dengan baik. Hal ini menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam pinjaman peribadi dan hutang kad kredit yang tinggi. Seorang pakar kewangan tempatan, Azizi Ali[3], sering kali mengingatkan bahawa banyak rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pelan kewangan jangka panjang, yang akhirnya memaksa mereka berhutang ketika berlaku kecemasan kewangan.
- Perbelanjaan Konsumerisme dan Gaya Hidup
Peningkatan gaya hidup dan keinginan untuk mengikuti trend menyebabkan ramai berhutang. Ini termasuk pembelian barangan mewah seperti kereta, gajet, dan percutian yang melebihi kemampuan kewangan. Media sosial juga memainkan peranan dalam mempromosikan gaya hidup yang berlebihan dan memberi tekanan sosial kepada individu untuk “mengikut arus.”
Kajian daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada 2020 menunjukkan bahawa generasi muda di Malaysia cenderung terdedah kepada konsumerisme, terutama melalui media sosial. Fenomena ini mengakibatkan ramai dalam kalangan mereka mengambil pinjaman peribadi atau hutang kad kredit untuk membeli barang-barang yang tidak semestinya diperlukan. Misalnya, trend membeli kereta mewah atau gajet terkini seperti iPhone menyebabkan ramai individu muda terperangkap dalam hutang.
- Hutang Pendidikan
Di banyak negara, termasuk Malaysia, hutang pendidikan menjadi satu cabaran besar. Ramai graduan terpaksa berhutang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Walaupun pendidikan adalah pelaburan jangka panjang, graduan yang baru memasuki pasaran kerja sering berhadapan dengan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka kerana gaji yang rendah atau kadar pengangguran yang tinggi.
Mengikut laporan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)[4] pada 2021, lebih daripada 1.8 juta rakyat Malaysia mempunyai hutang pendidikan. Kajian daripada The Edge Markets pada tahun 2020 juga menyatakan bahawa hutang PTPTN sering menjadi beban kepada graduan yang baru bekerja, dengan sebahagian besar mereka gagal membayar balik dalam tempoh yang ditetapkan.
Berdasarkan maklumat terkini, pada tahun 2023, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaporkan bahawa lebih daripada 2.58 juta peminjam mempunyai baki hutang yang perlu dijelaskan. Daripada jumlah tersebut, 1.66 juta peminjam mempunyai tunggakan bayaran balik, yang menunjukkan masalah yang berterusan dalam pembayaran semula pinjaman pendidikan di kalangan graduan. Langkah-langkah tertentu telah diambil untuk membantu meringankan beban peminjam, termasuk insentif pengecualian bayaran balik bagi peminjam yang cemerlang atau mencapai tahap akademik tertentu.
Kerajaan Malaysia juga telah memperkenalkan beberapa insentif dan pengecualian untuk membantu peminjam melangsaikan hutang mereka, namun cabaran utama masih berlegar di kalangan graduan yang berpendapatan rendah atau masih menganggur, menyukarkan proses pembayaran semula hutang pendidikan mereka.
Satu pasukan petugas (taskforce) perlu ditubuhkan untuk mengenal pasti punca peminjam tidak membayar, sama ada disebabkan faktor peribadi, pekerjaan, pendapatan, atau ketidakpedulian. Hal ini perlu diteliti dengan sebaiknya. Insya Allah, pulangan tersebut mampu memberikan peluang kepada generasi seterusnya untuk menyambung pelajaran, yang kosnya semakin meningkat pada masa kini.
- Penggunaan Kad Kredit yang Tidak Terkawal
Kad kredit adalah salah satu penyumbang utama kepada masalah hutang, terutama apabila pengguna tidak menguruskan bayaran bulanan dengan baik. Bunga yang tinggi menyebabkan hutang kad kredit cepat bertambah jika tidak dilangsaikan sepenuhnya setiap bulan.
Mengikut laporan terkini daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)[5] pada April 2024, lebih daripada 53,000 belia berusia 30 tahun ke bawah terjebak dalam hutang yang bernilai hampir RM1.9 bilion. Majoriti mereka menghadapi masalah kewangan disebabkan faktor seperti pembelian rumah, kereta, dan gaya hidup yang tidak seimbang. Hutang kad kredit merupakan salah satu daripada masalah utama, dengan 47% daripada mereka yang mendaftar dengan AKPK mengalami isu berkaitan kad kredit.
- Kehilangan atau Pengurangan Pendapatan
Situasi seperti diberhentikan kerja atau pengurangan gaji boleh menyebabkan individu terpaksa berhutang untuk menampung kehidupan. Hal ini lebih ketara ketika berlaku kemelesetan ekonomi atau pandemik global seperti COVID-19.
Menurut laporan daripada Department of Statistics Malaysia (DOSM) pada 2020, kadar pengangguran di Malaysia meningkat mendadak kepada 5.3% akibat pandemik COVID-19. Banyak individu yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan terpaksa beralih kepada pinjaman peribadi atau menggunakan simpanan KWSP mereka untuk bertahan. Ini menunjukkan betapa rapuhnya kedudukan kewangan kebanyakan rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi.
Manakala laporan terbaru dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Malaysia telah menurun kepada 3.3% pada November 2023, mencapai tahap yang setara dengan sebelum pandemik COVID-19. Ini bermakna sekitar 569,200 individu tidak mempunyai pekerjaan, berbanding 3.4% pada bulan sebelumnya. Keadaan ini menunjukkan pemulihan dalam pasaran tenaga kerja negara, di mana bilangan individu yang bekerja juga meningkat sedikit kepada 16.43 juta.
- Perbelanjaan Kecemasan dan Kesihatan
Kos perubatan yang tinggi dan perbelanjaan kecemasan seperti rawatan hospital atau kemalangan sering kali memaksa individu berhutang. Walaupun insurans kesihatan wujud, ramai yang tidak cukup bersedia untuk menanggung kos perubatan yang mendadak.
Satu kajian oleh Mercer Marsh Benefits pada 2019 melaporkan bahawa kos perubatan di Malaysia meningkat pada kadar 13.1% setiap tahun. Walaupun kerajaan menyediakan sistem kesihatan awam, ramai yang terpaksa menggunakan perkhidmatan swasta yang lebih mahal untuk rawatan kecemasan. Situasi ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit untuk menampung kos rawatan.
Dicatatkan bahawa kos perubatan dan perbelanjaan kecemasan di Malaysia terus meningkat dalam dua tahun terakhir. Menurut laporan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada Julai 2024, kadar inflasi dalam perkhidmatan perubatan telah mencapai 12%, menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kos rawatan. Ini menyukarkan individu untuk menampung perbelanjaan perubatan, terutama ketika rawatan kecemasan diperlukan, sehingga banyak yang terpaksa menggunakan kad kredit atau mengambil pinjaman peribadi untuk membiayai kos tersebut.
Sementara itu, laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan bahawa walaupun terdapat sistem kesihatan awam, pengguna masih cenderung memilih perkhidmatan kesihatan swasta yang lebih mahal, yang menyebabkan lebih ramai individu berhutang. Ini menunjukkan bahawa, meskipun insurans kesihatan tersedia, banyak orang tidak mampu menampung kos yang tidak dijangka dalam keadaan kecemasan.
Data-data terbaru ini menekankan keperluan untuk perancangan kewangan yang lebih baik dan kesedaran tentang kos perubatan untuk mengelakkan beban hutang yang tidak perlu di kalangan rakyat Malaysia.
Dengan memahami faktor-faktor utama yang menyebabkan berhutang, kita dapat mengenal pasti punca masalah kewangan dan mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan hutang yang tidak terkawal.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
NOTA HUJUNG:
[1] Jabatan Insolvensi Malaysia, juga dikenali sebagai Malaysia Department of Insolvency (MDI), adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi yang bertanggungjawab dalam mengurus dan mentadbir hal ehwal berkaitan kebankrapan dan penggulungan syarikat. MDI memainkan peranan penting dalam melaksanakan undang-undang yang berkaitan dengan insolvensi, membantu individu atau entiti yang menghadapi masalah kewangan, serta mengawasi prosiding kebankrapan dan penyelesaian hutang mengikut Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2020) dan Akta Syarikat 2016. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada individu yang diisytiharkan bankrap atau syarikat yang tidak solven untuk menyusun semula kewangan mereka di samping memelihara hak pemiutang.
[2] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/peluang-kedua-individu-bankrap-akta-insolvensi-pindaan-2023-berkuat-kuasa-esok-440375 ;
https://www.utusan.com.my/berita/2023/10/247407-individu-muflis-hingga-september/
[3] Azizi Ali merupakan seorang pakar kewangan peribadi terkenal di Malaysia, yang juga dikenali sebagai “Millionaire Coach.” Beliau merupakan seorang penulis, penceramah, dan penasihat kewangan yang aktif memberikan nasihat tentang pengurusan kewangan, pelaburan, dan perancangan kewangan jangka panjang. Dengan latar belakang dalam perbankan dan kewangan, Azizi Ali telah menghasilkan beberapa buku best-seller mengenai kewangan peribadi, seperti “Jutawan dari Planet Jupiter” dan “Membina Kekayaan”. Beliau sering kali menekankan kepentingan tabungan kecemasan dan perancangan kewangan yang baik bagi mengelakkan masalah hutang dan tekanan kewangan dalam jangka panjang.
[4] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1997. Ia bertujuan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan. PTPTN juga menguruskan tabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi membantu rakyat Malaysia menabung untuk pendidikan anak-anak. Selain itu, PTPTN bertanggungjawab dalam menguruskan pembayaran balik pinjaman pendidikan bagi memastikan kelestarian dana untuk generasi pelajar yang akan datang.
[5] Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2006. Misinya adalah untuk membantu individu yang menghadapi masalah kewangan dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan, pengurusan kredit, dan pendidikan kewangan. AKPK menawarkan pelbagai program, termasuk kaunseling peribadi dan kumpulan, serta penyelesaian pengurusan hutang yang membolehkan peminjam menyusun semula kewangan mereka. Dengan pendekatan yang berfokus pada pencegahan dan penyelesaian, AKPK berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang bijak di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan belia.