#7314: Bahana Hutang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami akibat buruk daripada berhutang lebih-lebih lagi jika tidak mampu membayarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam kehidupan sehari-hari, masalah hutang merupakan salah satu isu yang sering dihadapi oleh ramai individu, terutama dalam masyarakat moden yang semakin terdedah kepada pelbagai bentuk pinjaman. Hutang boleh menjadi beban yang menyakitkan jika tidak diuruskan dengan bijak, dan ia boleh mengganggu kestabilan kewangan serta kebahagiaan seseorang. Oleh itu, penting untuk kita memahami cara-cara yang berkesan dalam melangsaikan hutang agar dapat menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bebas daripada beban kewangan.

Penulis ingin mengemukakan di sini beberapa buah hadith berkenaan dengan akibat daripada hutang yang tidak mampu dibayar. Antaranya:

  • Abu Hurairah RA berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”

Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)

Al-Iraqi pula berpendapat urusannya terhenti tiada hukum baginya dengan keselamatan dan kebinasaan sehingga dilangsaikan hutangnya dahulu sama ada digunakan harta si mati untuk membayarnya atau orang lain sebagaimana telah dinyatakan oleh jumhur ashab kami.

Al-Syaukani dalam Nail al-Autar berkata: “Hadis ini menunjukkan galakan dan gesaan kepada si waris untuk melunaskan hutang si mati. Pengkhabaran yang menunjukkan rohnya tergantung dengan sebab hutang sehingga dilangsaikan bersifat muqayyad bagi siapa yang mempunyai harta.”

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan kepada pentingnya untuk menjaga urusan hutang. Begitu juga diri seseorang itu adalah sebagai cagaran bagi hutangnya itu sehinggalah ia dilunaskan. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk mengekang dirinya dari kedudukan mulia yang sepatutnya dia miliki.

  • Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.”

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa hak-hak sesama manusia itu terbina di atas kedekut (mesti mendapatkan redha) dan tiadanya toleransi. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

  • Di samping itu, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang tidak melunaskan hutangnya. Antaranya sebagaimana riwayat daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A, katanya:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. فَقَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ فَقَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. فَصَلَّى عَلَيْهِ. ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ: نَعَمْ. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ. فَصَلَّى عَلَيْهَا. ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا: ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ. قَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ. قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami pernah duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: ‘Solatlah ke atasnya.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Dikatakan: ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: ‘Solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Baginda bersabda: ‘Solatlah ke atas sahabat kamu.’ Lantas Abu Qatadah berkata: ‘Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku.’ Maka Baginda pun solat ke atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (2289)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa hadis ini memberi isyarat betapa beratnya kesan hutang ke atas seseorang dan galakan supaya mengelakkan berhutang kecuali dalam keadaan terpaksa.

  • Syeikh Abdullah al-Bassam ada menukilkan daripada al-Dalil wa Syarhuhu yang menyatakan bahawa mati syahid itu menghapuskan kesemua dosanya melainkan hutang. Syeikh Taqiyuddin menambah, demikianlah juga dosa menzalimi orang lain. Hal itu adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

يَغْفِرُ اللّهُ لِلشّهِيدِ كُلّ ذَنْبٍ، إِلّا الدّينَ

Maksudnya: “Allah memberi keampunan buat orang yang mati syahid semua dosanya kecuali hutang.”

Riwayat Muslim (1886)

Oleh yang demikian, wajib untuk segera menyelesaikan atau melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai harta (yang ditinggalkan). Ini kerana dia masih berterusan menanggung beban hutangnya itu sekalipun setelah kematiannya sehinggalah ia dilunaskan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

  • Terdapat juga hadith seperti riwayat daripada Abdullah Bin Amru bahawa Nabi SAW bersabda:

الْقَتْلُ فِي سَبِيلِ اللهِ يُكَفِّرُ كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْنَ

Maksudnya: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).”

Riwayat Muslim (1882)

Imam al-Nawawi berkata: Sabda Nabi SAW ‘إِلَّا الدَّيْنَ’ (kecuali hutang), di dalamnya terdapat peringatan terhadap semua hak Bani Adam. Bahawa jihad dan mati syahid dan selain dari dua amalan kebaikan tidak dapat menghapus hak Bani Adam. Akan tetapi dapat menghapuskan hak Allah SWT.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/209)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Adapun hadith yang lain yang sahih, bahawa orang mati syahid itu diampunkan seluruh dosanya kecuali hutang. Dapat diambil pelajaran bahawa mati syahid itu tidak dapat menghapuskan hak orang. Sedangkan adanya hak orang pada dirinya, tidak menghalangnya memperoleh darjat syahid. Tidak ada makna syahadah melainkan bahawa Allah memberikan kepada orang yang mendapat syahadah dengan pahala khusus. Dimuliakan dengan kemuliaan yang lebih.

Sesungguhnya di dalam hadith telah dijelaskan bahawa Allah mengampunkan (semua dosa) kecuali yang ada bersangkut (dengan hak manusia). Jika orang yang mati syahid itu mempunyai amalan-amalan soleh, dan syahadah dapat menghapuskan keburukan selain daripada yang bersangkut dengan hak, maka amalan-amalan soleh akan bermanfaat dalam timbangan (untuk menghapuskan) yang bersangkut dengan hak itu. Sehingga akhirnya darjat syahadah akan tetap (diperoleh) dengan sempurna. Jika tidak mempunyai amalan soleh, maka hal itu tergantung (pada keputusan Allah). Wallahu a’lam. (Lihat Fath al-Bari, 10/193)

  • Rasulullah SAW sendiri amat kerap berdoa agar dirinya dijauhkan daripada bebanan hutang. Hal ini sepertimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa selepas daripada menunaikan solat, “Ya Allah SWT, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang. Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.”

Riwayat al-Bukhari (2397), Muslim (589), Abu Daud (880), al-Nasa’ie (5454) dan Ahmad (26075)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Muhallab berkata: Daripada hadith ini dapat disimpulkan tentang sadd al-zara’i’ (menutup pintu menuju kerosakan), kerana Baginda berlindung daripada hutang, di mana pada umumnya hutang dapat menjurus kepada sikap dusta dan tidak menepati janji, sedangkan pemilik hutang memiliki hak untuk menagihnya.

Ada juga kemungkinan maksud berlindung dari hutang adalah berlindung dari faktor-faktor yang menyebabkan seseorang perlu berhutang sehingga tidak terjerumus dalam perbuatan buruk tersebut, atau tidak mampu membayarnya sehingga memberi kesan buruk baginya.

Ibn al-Manayyar berkata: Tidak ada pertentangan antara memohon perlindungan daripada hutang dengan bolehnya berhutang, kerana yang dimohon perlindungan adalah akibat buruk daripada hutang itu. Sesiapa yang berhutang dan selamat daripada akibat buruk yang ditimbulkannya, maka Allah telah menyelamatkannya daripada keburukan itu, dan dia dapat melakukan perbuatan yang dibolehkan.” (Lihat Fath al-Bari, 13/375)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”