Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami, ayat 11 daripada surah al-Ra’d?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah al-Ra’d: 11)
Al-Tabari berkata: Maksudnya, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan kesihatan dan nikmat suatu kaum jika mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka dengan perbuatan kezaliman dan permusuhan kepada sesama mereka, sehingga azab-Nya menimpa mereka dan perubahan pun terjadi.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/178)
Al-Baghawi berkata: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sama ada dalam keadaan ‘afiyat dan nikmat, sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka, daripada keadaan yang mulia kepada menderhakai Tuhan mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/303)
Al-Syaukani menjelaskan: Firman Allah, ‘إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ’ (Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum) yakni, maksudnya adalah dari keadaan penuh nikmat dan kesihatan, ‘حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ’ (sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri), maksudnya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Maka Allah tidak mencabut nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya sehingga seseorang itu mengubah kebaikan dan amal soleh mereka menjadi keburukan. (Lihat Fath al-Qadir, 3/442)
Menurut al-Sa’di: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, seperti nikmat, kebaikan yang melimpah, dan kehidupan yang selesa, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri, dengan berpaling dari keimanan kepada kekufuran, dari ketaatan kepada maksiat atau dari mensyukuri nikmat Allah kepada mengingkarinya, maka Allah akan menarik balik semua nikmat itu daripada mereka. Begitu pula, jika para hamba mengubah keadaan mereka, dari maksiat kepada ketaatan kepada Allah, nescaya Allah akan mengubah keadaan mereka daripada kesengsaraan kepada kebaikan, kebahagiaan, dan semangat dalam kebaikan serta rahmat.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 337)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nikmat atau kesihatan sesuatu kaum, sehingga mereka sendiri mengubah ketaatan dan kebaikan mereka menjadi kemaksiatan dan keburukan. Apabila Allah menghendaki azab dan kehancuran bagi sesuatu kaum, maka ia tidak dapat dielakkan. Dan tidak ada bagi mereka seorang pun penolong selain Allah yang dapat membantu urusan mereka, membimbing mereka ke arah kebaikan, serta melindungi mereka daripada keburukan. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 472)
Berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa tanggungjawab individu adalah penting dalam menentukan keadaan sesuatu kaum. Jika seseorang berpaling daripada ketaatan dan tidak mensyukuri nikmat, maka Allah akan mencabut segala kebaikan itu. Sebaliknya, perubahan ke arah ketaatan dan amal soleh akan membawa kepada kebahagiaan dan rahmat Allah. Ini menunjukkan bahawa hubungan antara tindakan manusia dan anugerah Allah adalah saling berkaitan, di mana usaha untuk memperbaiki diri merupakan kunci kepada perubahan positif dalam kehidupan dan masyarakat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”