#7320: Tiga Golongan Pasti Ditolong oleh Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith Nabi SAW, ada tiga golongan pasti Allah menolongnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(Surah al-Haj: 40)

Al-Tabari berkata: Firman Allah, ‘وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ’ (Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam)), maksudnya, adalah, Allah pasti menolong orang yang berperang di jalan-Nya agar kalimat-Nya menjadi yang tertinggi, melawan musuhnya. Jadi, pertolongan Allah terhadap hamba-Nya adalah berupa bantuan dan dukungan, sedangkan pertolongan hamba kepada Tuhannya adalah jihadnya di jalan Allah agar kalimat-Nya menjadi yang tertinggi.

Firman Allah, ‘إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ’ (sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa), maksudnya adalah, sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat untuk menolong orang yang berjihad di jalan-Nya, dari golongan yang setia dan taat kepada-Nya, lagi Maha Perkasa dalam kekuasaan-Nya. Dia Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya, dan tidak ada yang mampu mengalahkannya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 17/557)

Al-Sa’di berkata: Sesungguhnya Allah SWT pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya,” iaitu orang yang melakukan pembelaan terhadap agama-Nya dengan ikhlas kepada-Nya dalam pelaksanaannya, berjuang di jalan-Nya agar kalimatullah lah yang paling tinggi. “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Perkasa”, maksudnya sempurna kekuatan-Nya, Maha Perkasa, tidak dapat ditahan. Dia telah menundukkan seluruh makhluk dan memegang ubun-ubun mereka. Maka bergembiralah wahai kaum Muslimin. Walaupun jumlah dan kekuatan kamu lemah, sementara musuh kuat, maka sesungguhnya tumpuan kamu semua yang kuat lagi perkasa dan tempat bergantung kamu semua adalah Zat yang telah menciptakan kamu dan menciptakan apa yang telah kamu lakukan. Maka tempuhilah langkah-langkah yang diperintahkan untuk dilakukannya. Kemudian, mintalah kemenangan dari-Nya. Sudah pasti Dia akan menolong kamu semua. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan benar sama sekali  sepertimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ: الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ، وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Maksudnya: “Tiga golongan yang menjadi hak Allah untuk diberikan pertolongan: Seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah, seorang hamba yang berusaha membebaskan diri dengan melangsaikan hutangnya, dan seorang lelaki yang ingin berkahwin untuk menjaga maruahnya.”

Riwayat al-Tirmizi (1655), al-Nasa’ie (3218), Ibn Majah (2518) dan Ahmad (7410). Isnadnya hasan seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Zad al-Ma’ad (3/77).

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Sabda Baginda, ‘Tiga golongan yang berhak mendapatkan bantuan daripada Allah’ bermaksud bahawa bantuan ini adalah sesuatu yang pasti dijanjikan oleh Allah bagi mereka. Golongan tersebut adalah: (Pertama) orang yang berjihad di jalan Allah, iaitu mereka yang menyediakan kelengkapan dan peralatan untuk berjihad, (kedua) hamba mukatab yang berusaha untuk menunaikan bayaran tebusan pembebasannya, dan (ketiga) seseorang yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian diri, iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan zina.

Menurut al-Tibi, ungkapan ini dipilih untuk menunjukkan bahawa perkara-perkara tersebut adalah urusan yang sangat berat dan membebani seseorang, mampu mematahkan semangatnya sekiranya tidak dibantu oleh Allah Ta’ala. Di antara semua itu, menjaga kesucian diri adalah yang paling mencabar, kerana ia melibatkan pengawalan nafsu semula jadi yang tertanam dalam diri manusia – satu sifat kehaiwanan yang berada pada tahap terendah. Apabila seseorang itu menjaga kesuciannya dengan bantuan Allah Ta’ala, dia akan mencapai tahap yang setaraf dengan para malaikat di tempat yang tertinggi.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/242)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”