#7334: Orang Murtad Adakah Dikenakan Zakat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan zakat terhadap orang Islam yang murtad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Murtad

Dari segi bahasa murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan  (اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا) membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

Dari segi istilah, menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Dalil Larangan Murtad

وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. “

(Surah al-Baqarah: 217)

Begitu juga, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”

(Surah al-Maidah: 54)

Imam al-Nawawi berkata: “Riddah adalah memutus Islam dengan niat atau perkataan, atau dengan perbuatan, baik dengan mengatakan hal tersebut kerana mengolok-ngolok, atau kerana kedegilannya, atau kerana keyakinannya” (Lihat al-Minhaj al-Talibin, hlm. 293)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Bagi orang yang murtad atau bertukar agama (kita mohon pada Allah dihindarkan daripadanya), apabila zakat sudah diwajibkan ke atasnya pada masa Islamnya, maka zakat itu tidak gugur oleh kerana murtadnya itu. Hal ini kerana, zakat merupakan kewajipan yang tetap dan tidak gugur dengan sebab pertukaran agama, sama seperti hutang terhadap barang yang dirosakkan.

Dalam hal ini, pendapat mazhab Imam Syafie berbeza dengan pendapat mazhab Hanafi. (Lihat al-Majmu’, 5/327) Ulama mazhab Syafie berbeza pendapat tentang kewajipan zakat pada waktu murtad tersebut. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa tidak gugur kewajipan membayar zakat- dan ia merupakan pendapat pilihanku kerana harta zakat itu adalah hak ke atas golongan miskin dan golongan asnaf yang lain yang wajib diberikan, seperti dalam bab nafkah dan hutang. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 71)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”