Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mereka yang mengingkari kewajipan zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
لَمَّا تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتُخْلِفَ أَبُو بَكْرٍ بَعْدَهُ، وَكَفَرَ مَنْ كَفَرَ مِنَ العَرَبِ. قَالَ عُمَرُ لِأَبِي بَكْرٍ: كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ؟ وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَمَنْ قَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ عَصَمَ مِنِّي مَالَهُ وَنَفْسَهُ، إِلَّا بِحَقِّهِ وَحِسَابُهُ عَلَى اللَّهِ». فَقَالَ: وَاللَّهِ، لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الـمَالِ. وَاللَّهِ، لَوْ مَنَعُونِي عِقَالًا كَانُوا يُؤَدُّونَهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهِ. فَقَالَ عُمَرُ: فَوَاللَّهِ، مَا هُوَ إِلَّا أَنْ رَأَيْتُ اللَّهَ قَدْ شَرَحَ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ لِلْقِتَالِ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الحَقُّ. قَالَ ابْنُ بُكَيْرٍ وَعَبْدُ اللَّهِ عَنِ اللَّيْثِ: عَنَاقًا وَهُوَ أَصَحُّ.
Maksudnya: Tatkala Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar menjadi khalifah sesudahnya, sebahagian orang Arab menjadi kafir. Umar berkata kepada Abu Bakar: Bagaimanakah engkau sanggup memerangi manusia? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: “لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ” (Tidak ada tuhan yang sebenar-benarnya layak disembah melainkan hanya Allah). Sesiapa yang mengucapkan: “لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ” (Tidak ada tuhan yang sebenar-benarnya layak disembah melainkan hanya Allah), maka harta dan jiwanya telah aku lindungi kecuali jika dia dijatuhkan hukuman dan perhitungannya diserahkan kepada Allah. Beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat kerana sesungguhnya zakat adalah hak yang perlu dikeluarkan daripada harta. Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku seutas tali kekang haiwan yang mereka biasa membayarnya kepada Rasulullah SAW, nescaya aku akan memerangi mereka kerana keengganan itu.” Umar berkata: “Demi Allah, tidaklah ia melainkan aku melihat Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk berperang. Maka aku mengetahui itulah perkara yang benar.” Ibn Bukair dan Abdullah berkata, daripada al-Laith: Lafaz “عَنَاقًا” (iaitu anak kambing betina) dan ini lebih sahih (daripada riwayat dengan lafaz “عِقَالًا” iaitu tali kekang haiwan).
[Riwayat al-Bukhari, no. 7284 dan Muslim, no. 20]
Berdasarkan kedudukan zakat dalam syariat Islam, para ulama menetapkan bahawa orang yang mengingkari dan tidak mengakui kewajipan zakat, adalah kafir dan terkeluar daripada Islam (murtad), seperti anak panah yang keluar daripada busurnya.
Al-Nawawi berkata: “Jika seseorang itu mengingkari kewajipan zakat kerana dia belum mengetahui perihal kewajipannya disebabkan baru memeluk agama Islam atau tinggal jauh di pendalaman yang tidak sampai dakwah Islam kepadanya, maka dia tidak dianggap sebagai kafir. Sebaliknya, perlu diajarkan tentang kewajipan zakat dan kemudian barulah zakat dipungut daripada mereka. Sekiranya mereka tetap ingkar, barulah dihukum kafir.
Sebaliknya jika orang yang ingkar itu hidup bersama-sama masyarakat Islam dan tahu mengenai perintah zakat tersebut, maka dia dihukum kafir dan diperlakukan sebagaimana golongan murtad seperti meminta untuk mereka bertaubah atau dikenakan hukum bunuh. Ini kerana kewajipan zakat adalah merupakan perkara asas dalam Islam. Oleh itu, sesiapa yang mengingkarinya bererti mereka mengingkari Allah dan Rasul-Nya dan dihukum kafir. (Lihat al-Majmu’, 5/334) Penegasan Nawawi ini diperkuat pula oleh Ibn Qudamah dan para ulama fiqh yang lain. (Lihat al-Mughni, 2/573)
Berdasarkan hukum syarak, yang jelas, tegas, dan diakui secara sepakat tersebut kita dapat menilai kedudukan golongan yang merendahkan pensyariatan zakat dan mengatakan bahawa zakat tidak sesuai pada zaman moden ini. Mereka merupakan anak kelahiran Islam dan dibesarkan di negeri-negeri Islam sendiri. Sesungguhnya ianya jelas merupakan fenomena “Murtad namun tiada lagi Saidina Abu Bakar untuk menentangnya.” (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 61)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”