Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah sebab penamaan Hajarul Aswad? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, Hajarul Aswad merupakan batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Kaabah (sudut Timur Kaabah dan sebelah kiri multazam) dan Allah SWT menurunkannya dari Syurga. Nabi SAW bersabda:
نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Hajarul Aswad diturunkan dari Syurga. Warnanya lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.”
Riwayat al-Tirmizi (877) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih
Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan, maksudnya adalah dosa-dosa keturunan Adam yang menyentuh Hajarul Aswad menyebabkan ia menjadi hitam. Secara zahirnya, hadith ini difahami secara hakikatnya (literal), kerana tiada halangan secara nas. Sebahagian ulama kita yang mensyarahkannya menyatakan, hadith ini berkemungkinan membawa maksud mubalaghah (berlebih-lebihan) dalam menggambarkan kepentingan Hajarul Aswad serta dan memperbesar-besarkan perkara dosa dan kesalahan. Maknanya, disebabkan keistimewaan, kemuliaan, keberuntungan, dan keberkatannya, Hajarul Aswad dikaitkan dengan batu dari syurga, seolah-olah ia diturunkan dari syurga, dan dosa-dosa manusia hampir-hampir memberi kesan kepada benda mati sehingga menjadikan yang putih menjadi hitam — apabila begini, bagaimanakah pula dengan hati mereka? Atau, kerana Hajarul Aswad berperanan sebagai penghapus kesalahan dan pemadam dosa, ia dianggap seakan-akan dari syurga, dan dengan banyaknya dosa manusia yang ditanggung olehnya, ia seolah-olah memiliki warna putih yang kuat yang kemudian berubah hitam disebabkan dosa-dosa itu. Ini disokong dengan hakikat bahawa pada asalnya terdapat titik-titik putih pada batu tersebut, namun warna hitam semakin bertambah sehingga menutupi kesemuanya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1789-1790).
Menurut Sa’id Bakdasy dalam bukunya, Allah ‘Azza wa Jalla memelihara Hajarul Aswad ini untuk Nabi Ibrahim A.S. Ketika Ibrahim dan anaknya Ismail A.S mula membina Kaabah, mereka ingin menjadikan titik permulaan tawaf mudah dikenali oleh orang ramai. Maka, Jibril A.S membawa Hajarul Aswad dan meletakkannya di tempatnya. Ketika itu, batu tersebut sangat bersinar dengan warna putih yang terang, sehingga menerangi semua sudut Kaabah. Panjang Hajarul Aswad adalah satu hasta, dan ia ditanam di dalam binaan Kaabah, sehingga hanya bahagian atasnya yang kelihatan, yang telah menjadi hitam akibat dosa-dosa manusia. Manakala, bahagian yang tertanam di dalam Kaabah masih berwarna putih. (Lihat Fadhl al-Hajar al-Aswad wa Maqam Ibrahim wa Zikr Tarikhihima wa Ahkamihima al-Fiqhiyyah wama yata‘allaq bihima, hlm. 20-31).
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan bahawa dapat diketahui bahawa ia sudah dipanggil/dikenali sebagai Hajarul Aswad sejak zaman Nabi SAW lagi. Namun, menurut hadith di atas, ia diturunkan dari syurga pada asalnya dalam keadaan berwarna sangat putih, namun disebabkan oleh dosa-dosa anak-anak Adam, warnanya berubah menjadi hitam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”