Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum bagi golongan yang tidak diwajibkan solat Jumaat, seperti wanita, menjalankan urusan jual beli melalui live di TikTok pada waktu azan solat Jumaat dikumandangkan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kamu mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).”
(Surah al-Jumu‘ah: 9)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyebutkan: Wahai orang-orang yang beriman, jika dikumandangkan azan kedua untuk melaksanakan solat ketika khatib duduk di atas mimbar pada hari jumaat, maka berjalanlah untuk melaksanakan solat dan mendengarkan khutbah, kerana di dalamnya disebut nama Allah. Tinggalkanlah kegiatan berjual-beli dan semua hal yang menyibukkan kalian dari solat. Usaha untuk melaksanakan solat dan meninggalkan jual-beli itu lebih baik daripada kesibukan dunia dan bermuamalah dengannya. Di dalamnya terdapat pahala yang begitu besar jika kalian mengetahui hakikat dua hal iaitu kebaikan dan keburukan. maka lakukanlah, Jika kalian mengetahui bahawa hal itu adalah kebaikan (Lihat al-Wajiz, hlm.55)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:
- Beragama Islam
- Baligh
- Berakal
- Merdeka (bebas) sepenuhnya.
- Lelaki
- Sihat tubuh badan.
- Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.
Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan Matla’ al-Badrain disusun oleh PMWP, 1/159).
Dapat difahami melalui syarat-syarat tersebut antara mereka yang diwajibkan solat Jumaat adalah golongan lelaki. Yang demikian juga sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Dalam Syarh Sunan Abi Dawud oleh al- ‘Abbad (3/135) dinyatakan: “Dan telah diketahui bahawa wanita tidak diwajibkan solat Jumaat menurut ijmak ulama. Ibn Munzir menyebutkan bahawa mereka (kaum Muslimin) telah berijma‘ bahawa sesungguhnya solat Jumaat itu adalah wajib ke atas orang-orang lelaki yang merdeka, baligh, bermukim lagi tiada uzur yang menghalangi mereka. (Lihat al-Ijma‘, hlm 40).
Oleh itu, golongan lelaki yang merupakan ahli Jumaat yang diwajibkan solat Jumaat diperintahkan untuk menghentikan segala urusan niaga apabila azan kedua solat Jumaat dikumandangkan, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. Namun, mereka yang bukan ahli Jumaat, seperti wanita, tidak termasuk dalam larangan ini dan mereka diharuskan untuk meneruskan urusan mereka.
Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan: Imam al-Syafi‘i berkata dalam kitab al-Umm dan para ashabnya berkata: Apabila dua lelaki yang bukan daripada golongan yang wajib solat Jumaat melakukan jual beli, maka ia tidak haram dalam apa jua keadaan dan tidak makruh. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/500)
Sebagai kesimpulannya, urusan jual beli oleh golongan wanita pada waktu solat Jumaat adalah diharuskan sekiranya transaksi tersebut dilakukan sesama mereka atau melibatkan golongan yang tidak diwajibkan solat Jumaat, seperti musafir dan kanak-kanak. Namun, jika urusan jual beli tersebut melibatkan lelaki Muslim yang diwajibkan solat Jumaat pada waktu khatib telah duduk di atas mimbar dan azan kedua dikumandangkan, hukumnya menjadi haram walaupun akad jual beli itu sah. Ini kerana situasi tersebut dianggap sebagai bentuk tolong-menolong dalam perkara yang diharamkan.
Dalam konteks jual beli melalui siaran langsung seperti di TikTok, urus niaga dibenarkan sekiranya hanya melibatkan golongan wanita dan individu yang tidak diwajibkan solat Jumaat. Walau bagaimanapun, sekiranya transaksi melibatkan lelaki Muslim yang diwajibkan solat Jumaat pada waktu tersebut, maka hukum jual beli itu adalah haram.
Bagi mematuhi panduan ini, disarankan kepada pengendali live tersebut untuk meletakkan crawler peringatan atau pin komen dengan pesan seperti berikut: “Lelaki Muslim, sila tunaikan solat Jumaat”.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahua‘lam