#7345: Nasihat kepada Pasangan yang Menghadapi Masalah Rumah Tangga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan nasihat dan pasangan yang menghadapi masalah, sehingga mungkin menuju ke ambang perceraian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan seperti berikut:

Pertama: Takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Hal ini sudah menjadi kelaziman yang wajib diimani oleh kita semua. Bak kata pujangga Arab:

فَكُلُّ مَا قَدَّرَ الرَّحمَنُ مَفعُولُ

Maka setiap yang telah ditakdirkan oleh Tuhan yang bersifat Rahman pasti berlaku. (Lihat Syarh al-Faridhi ‘Ala Alfiyah Ibn Malik, 1/565)

Justeru, sebuah keredaan perlu diisi sebagai tanda berimannya kita kepada qadha’ dan qadar.

 

Kedua: Perceraian

Dalam kehidupan berumahtangga, wujudnya badai dan ombak yang kadang-kadang terselamat dan kadang-kadang boleh meruntuh institusi rumah tangga. Sesungguhnya perceraian adalah perkara yang dihalalkan oleh Allah tetapi amat dibenci dalam perkara yang dihalalkan. Benarlah hadith sepertimana diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Al-San’ani menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)

Keduanya, hendaklah kita fahami dan amalkan apa yang diperintahkan oleh Allah berkenaan dengan talak. Firman-Nya:

 أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya:  “atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Al-Syaukani berkata: Yakni menceraikan dengan cara yang baik, iaitu dengan tidak merujuknya sampai selesai masa iddahnya, melepasnya ke rumah keluarganya dengan perkataan yang baik, dan memberinya mut’ah (hadiah atau harta). (Lihat Fath al-Qadir, 1/332)

Termasuk dalam ihsan itu sentiasa menjaga hak masing-masing seupaya mungkin dan tidak mencalarkan maruah serta menyakitinya dari kedua-dua pihak.

Ketiga: Elakkan mengungkit

Dalam erti kata lain, sama ada suami atau isteri tidak lagi perlu mengungkit terutamanya yang membabitkan keaiban masing-masing. Ini kerana, kita mesti keluar daripada kepompong yang seolah-olah tidak berkelesaian sedangkan kalimah tasrih bi ihsan seolah-olah memberi maksud, mereka memulakan sebuah kehidupan baru serta menghormati pasangan masing-masing kerana yang lepas itu tetap menjadi sejarah dalam hidup masing-masing. Selama mana kita masih lagi berada dalam gua sisi negatif, maka ia sentiasa berlarutan dan tidak berkesudahan. Sebaliknya Islam mengajar untuk melihat sisi positif. Bak kata pujangga:

وَعيْنُ الرِّضَا عَنْ كُلِّ عَيْبٍ كَلِيْلَةٌ … وَلَكِنَّ عَيْنَ السُّخْطِ تُبْدِيْ الْمَسَاوِيَا

Mata yang redha dari segala aib seolah-olah lemah dan kelam

            Sedangkan mata yang marah akan terdedah pelbagai keaiban

Ini memberi maksud semasa suka dan cinta sebarang aib tidak dilihat dan nampak. Sebaliknya ketika marah, semut di tempat yang jauh juga dapat dilihat. Justeru, hendaklah kita move on dan bersikap positif sebagaimana kata pujangga:

قَدَّمْتُهُ لِلِإخْوَانِ مُعْتَذِرَا … وَالْعُذْرُ مِنْ شِيَمِ السَّادَاتِ مَقْبُوْلُ

Aku kemukakannya kepada saudara-saudara keuzuran dan kemaafan

            Dan sifat pemaaf termasuk dari akhlak golongan pemimpin yang diterima

(Lihat Mausu’ah al-Raqa’iq wa al-Adab, hlm. 983)

Keempat: Sikap Adil

Perintah Allah kepada kita dan Syariat Islam supaya kita menjunjung keadilan. Ini kerana ia mendekatkan ke arah kebaikan, bahkan menjarakkan kita dari kancah berlaku kezaliman. Nanti kita akan merasa sesal di hari Kemudian atas tindakan semberono kita. Justeru saya katakan, berlaku adillah terhadap pasangan masing-masing kerana ia amat dekat dengan ketakwaan. Benarlah firman Allah SWT:

اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.

(Surah al-Ma’idah: 8)

Al-Tabari berkata: Sikap berlaku adil dapat mendekatkan orang yang beriman kepada takwa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/96)

Marilah menginsafi dengan bermaafan dan mengaku kelemahan masing-masing kerana kita tidak sunyi daripada kesilapan. Justeru, banyakkan berdoa sebagaimana Allah ajarkan kepada kita:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Kelima: Ingat Jasa dan Kebaikan Masing-Masing

Sewajarnya semua pihak sama ada suami atau isteri mengingatkan diri dan muhasabah diri sendiri akan kebaikan pasangan kita dalam satu tempoh bersama di bahtera perkahwinan kerana sudah tentu masing-masing mempunyai budi yang luhur dan akhlak yang tinggi. Jika ini dapat diamalkan, maka ia akan reda dari api kemarahan yang sentiasa dituang minyak oleh Iblis kepada kita.

Dikisahkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar untuk mengadu mengenai sikap isterinya. Dia menunggu di pintu Umar dan mendengar isterinya mengeluarkan kata-kata kasar tanpa Umar menjawab. Lelaki itu kemudian pergi sambil berkata, ‘Jika ini adalah keadaan Amir al-Mukminin Umar ibn al-Khattab, bagaimana pula keadaanku?’ Umar keluar dan mendengar keluhan lelaki tersebut. Lelaki itu berkata, ‘Wahai Amir al-Mukminin, aku datang untuk mengadu mengenai sikap isteriku yang kasar kepadamu, dan aku mendengar isterimu juga melakukan hal yang sama. Aku kembali dan berkata, ‘Jika ini adalah keadaan Amir al-Mukminin bersama isterinya, bagaimana keadaanku?’ Umar berkata kepadanya: Aku menanggung sikap isteriku kerana hak-hak yang dia lakukan kepadaku. Dia memasak untuk makananku, membuat roti , mencuci pakaian , dan menyusukan anak-anakku, walaupun itu bukanlah kewajipannya. Hatiku tenang dengan keberadaannya daripada melakukan yang haram. Aku menanggung hal itu. Lelaki itu bertanya, ‘Wahai Amir al-Mukminin, adakah isteri saya juga seperti itu?’ Umar menjawab: Terimalah dan tanggunglah wahai  saudaraku, kerana itu hanyalah sekejap .

Namun kisah ini kami tidak mendapati sumbernya yang asal dan tidak ada juga dikalangan ulama hadith yang membahaskannya melainkan ia dinukilkan oleh Syeikh Sulaiman Bin Muhammad al-Bujairimi dalam Hasyiah ala Syarh al-Minhaj (hlm.517). Begitu juga Abu al-Laith al-Samarqandi ulama dalam mazhab Hanafi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin (hlm.517). Begitu juga dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir (2/80).

Keenam: Jagalah Hati Anak

Maksud saya, hubungan nasab anak dengan ayah dan ibu akan kekal buat selama-lamanya. Kedua ibu bapalah tempat ditumpahkan kasih sayang. Justeru, jangan sekali-kali melukakan dan mencederakan emosi anak kerana ia tidak baik dan sihat dalam tumbesaran anak. Anak merupakan anugerah Tuhan. Dengan sebab itu Nabi Allah Ibrahim berdoa kepada Allah:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

Surah al-Saffat (100)

Al-Tabari berkata: Ini merupakan permintaan Nabi Ibrahim kepada Tuhannya agar Dia mengurniakan keturunan yang soleh kepadanya. Ibrahim berdoa: “Hai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh, yang mentaati-Mu dan tidak melakukan maksiat kepada-Mu, melakukan kebaikan di atas muka bumi dan tidak merosakkan.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/869)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Di tengah hijrah dan perjalanan Nabi Ibrahim AS, Baginda memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang anak, ‘رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ’, yakni hai Tuhanku, kurniakanlah aku seorang anak soleh yang membantuku dalam melaksanakan ketaatan kepada-Mu dan menghilangkan kesepianku di tempat yang asing. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 12/105)

Ketujuh: Jadilah Musleh dan Bukan Soleh Semata-mata

Maksud kami, musleh adalah orang yang sentiasa mendamaikan dan menyuruh orang berbuat baik. Sudah tentu, ia tidak disukai dan disenangi oleh ramai pihak. Firman Allah SWT:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

(Surah Hud: 88)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)

Imam al-Baidhawi menjelaskan maksud ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) adalah apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua daripada perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. Perkataan (الْإِصْلَاحَ) merujuk kepada kadar yang termampu. Seterusnya, ayat (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) ini pula bermaksud aku tidak mendapat taufiq untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/145).

Kami tujukan juga nasihat ini kepada rakan-rakan kami netizen dan juga khalayak masyarakat di Malaysia. Pada pendapat kami, tidaklah perlu kita berpihak kepada salah seorang daripada keduanya, tetapi lebih baik kita menjadi pengislah atau pendamai kepada kedua pihak dengan titipan nasihat yang terbaik dan juga doa. Inilah yang diajar oleh Allah SWT:

 فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

Maksudnya: maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu.

(Surah al-Hujurat: 10)

Ayat di atas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya mendamaikan dua orang yang bertelingkah kerana muslim itu adalah bersaudara. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)

Kita tidak mampu mengetahui semuanya. Justeru, sebaik-baiknya berdoalah dan bersangka baik kepada kedua-duanya. Semoga Allah mengampunkan kita dari kelemahan dan kesilapan kita. Buang yang keruh, ambillah yang jernih kerana kita manusia sebagai insan atas nama apa sekalipun, sama ada suami atau isteri, pasti ada kelemahan kerana ia merupakan sifat basyari.

Kami kemukakan beberapa buah buku sesuai menjadi rujukan dan panduan dalam melayari bahtera kehidupan. Antaranya:

  • Rumahku Syurgaku
  • Anakku Inilah Pesan Abah
  • Salam Terakhir
  • Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Berkenaan dengan Bait al-Nabawi

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”