Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kongsikan doa dan munajat ketika menghadapi masalah rumah tangga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’”
(Surah al-Rum: 21)
Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran (8/233) berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.”
Hal ini penting kerana ia adalah tempat pergantungan orang-orang beriman. Doalah yang baik untuk menjadikan diri kita bertambah hampir kepada-Nya dan menjadi insan yang soleh dan solehah. Antara doa yang kami cadangkan:
Doa Pertama:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”
Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku petunjuk dan kecerdasan serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”
Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku, yakni peliharalah aku daripada kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)
Doa Kedua:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”
Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, dia berkata bahawa Nabi SAW telah bersabda kepada Fatimah R.Anha (puteri Baginda):
مَا يَمْنَعُكِ أَنْ تَسْمَعِي مَا أُوصِيكِ بِهِ ، أَنْ تَقُولِي إِذَا أَصْبَحْتِ وَإِذَا أَمْسَيْتِ : يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Apa yang menghalangi engkau daripada mendengar kepada apa yang aku wasiatkan kepada engkau, iaitu hendaklah engkau membaca pada waktu pagi dan petang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perelokkanlah segala urusanku. Janganlah engkau serahkan diri ini kepada diriku sendiri walau sekelip mata (tanpa mendapat pertolongan dari-Mu).
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (381), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (46) dan al-Bazzar (3107).
Imam al-Syaukani dalam kitabnya Tuhfah al-Zakirin menjelaskan: “Hadith ini merupakan jawami’ al-kalim (kalimat yang singkat, namun padat makna), kerana doa memohon kebaikan segala urusan yang mencakupi seluruh urusan dunia dan akhirat. Tidak ada yang terkeluar daripadanya.
Sehingga menjadi beruntunglah orang yang Allah SWT kabulkan doanya ini, iaitu dengan diberikan kebaikan dunia dan akhirat. Lebih dari itu, kita diajarkan dalam hadith tersebut untuk menyerahkan dengan pasrah segala urusan kepada Allah. Dan ini termasuk tingkatan dan jenis iman paling tinggi.” (Lihat Tuhfah al-Zakirin, hlm. 86)
Doa Ketiga:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Surah al-Baqarah (250)
Doa ini merupakan doa yang diungkapkan oleh Talut dan golongan yang beriman ketika menentang bala tentera Jalut. Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut, ketika Talut dan golongan beriman yang bersamanya melihat musuhnya dalam jumlah yang besar, mereka pun berlindung kepada Allah SWT. Mereka lalu berdoa memohon supaya hati mereka dipenuhi kesabaran, ketabahan, manakala langkah mereka diteguhkan untuk berperang serta ditanamkan perasaan penuh kepercayaan dan ketenangan.
Hakikatnya mereka ini memerhatikan tertib sifat alam semasa berdoa, sesuai dengan cara untuk memperoleh kemenangan. Ini kerana, kesabaran menjadi faktor keteguhan dan keteguhan pula menjadi faktor kemenangan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/554)
Kami banyak nyatakan berkenaan doa pilihan melalui buku kami Inilah Doaku.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”