Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah atau fiqh sirah yang kita dapat pelajari daripada peristiwa pembinaan Ka’bah dan keterlibatan Rasulullah SAW sebagai orang tengah yang mendamaikan pihak-pihak yang terlibat, semasa proses perletakan Hajar Aswad?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
(Surah Ali ‘Imran: 96)
Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)
Antara hikmah dan fiqh sirah daripada peristiwa pembinaan Kaabah dan keterlibatan Rasulullah SAW sebagai orang tengah – sepertimana disebut oleh Dr. Zaid Abd al-Karim – adalah seperti berikut:
Pertama: Ketika mereka membuat peraturan supaya tidak menggunakan harta yang haram, hasil daripada maksiat, kezaliman, dan riba dalam pembinaan Kaabah, ini menunjukkan bahawa orang Arab pada waktu itu sudah memahami betapa keji amalan riba. Itulah sebabnya mereka tidak mahu menggunakannya dalam pembinaan Kaabah. Maka, apakah pandangan yang kita boleh berikan tentang fenomena ini kepada mereka sebelum kedatangan cahaya Islam, yang mana mereka telah berusaha untuk menghindarkan harta haram daripada transaksi riba dalam kehidupan mereka?
Namun kini, setelah cahaya Islam menyinari hidup kita dan setelah rezeki melimpah ruah, kita dapati bahawa transaksi riba semakin berleluasa dalam masyarakat Islam, sehinggakan ia tidak lagi dipandang sebagai masalah. Malah, sebahagian umat Islam menjadi pemegang saham dalam bank konvensional yang produk utamanya adalah berasaskan riba.
Penduduk Mekah yang tidak beriman telah sepakat bahawa riba itu haram. Mereka berusaha memastikan harta yang diperoleh melalui riba tidak digunakan dalam pembangunan Ka’bah. Namun, dalam kalangan umat Islam, masih ada yang menggunakan sebahagian makanan dan minuman mereka daripada sumber riba, malah sebahagian biaya makan dan tempat tinggal anak-anak mereka juga daripada harta riba. Jika ini keadaannya, apakah perubahan yang dibawa oleh Islam jika kita masih mengabaikan isu yang telah ditolak oleh masyarakat jahiliah dahulu? Riba adalah satu bentuk peperangan yang dilancarkan oleh kaum Yahudi terhadap harta kita, sehingga harta itu menjadi punca seseorang melupakan ajaran agamanya, malah mencemarkan urusan agama mereka dengan harta yang haram.
Kedua: Mungkin terfikir oleh seseorang bahawa penyelesaian yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah mudah dan biasa-biasa sahaja. Namun, jika kita teliti masalah tersebut, para pemimpin Quraisy telah terjebak dalam isu itu selama tiga hari dan telah bersepakat untuk melancarkan peperangan. Langsung tidak terfikir oleh mereka penyelesaian seperti itu, sehinggalah munculnya Muhammad SAW, yang ketika itu merupakan yang paling muda usianya. Beliau yang mencetuskan idea tersebut, dan semua merasa terlibat dalam meletakkan Hajar Aswad, hingga perang saudara dapat dielakkan. Ini semua menunjukkan keistimewaan peribadi Rasulullah SAW.
Ketiga: Pandangan kolektif yang muncul dalam kalangan kaum Quraisy ketika mereka berada di sekitar Ka’bah, dan Muhammad SAW datang kepada mereka. Mereka berkata, “Kami setuju, telah datang orang yang jujur. Kami reda, Muhammad telah hadir.” Penilaian mereka terhadap Muhammad SAW perlu kita huraikan dengan mengatakan bahawa:
Menarik perhatian dan mempesonakan orang lain sangat penting agar mereka mendengar apa yang kita sampaikan. Hal ini memerlukan kebersamaan serta kefahaman tentang sifat-sifat manusia. Semua ini merupakan prinsip asas seorang pendakwah.
Cuba bayangkan seorang Muhammad SAW pada usia 35 tahun, yang terjun ke dalam permasalahan besar. Sekiranya mereka tidak melihat kelebihan pada dirinya, pastinya mereka tidak akan menerimanya atau menyambutnya dengan kegembiraan. Namun, yang berlaku adalah sebaliknya. Baginda dikenali sebagai seorang yang baik, berakhlak mulia, dan hidup bermasyarakat. Baginda memukau mereka dengan cara pergaulannya.
Baginda bukanlah seorang yang terasing daripada masyarakat, atau terkurung dalam dunianya sendiri sehingga tidak dikenali orang lain dan tidak mengenali mereka. Baginda tidak berteriak ingin menjadi agen perubahan atau memohon penerimaan masyarakat. Sebaliknya, peribadi Baginda yang mesra dan terlibat dengan masyarakat menyebabkan Baginda dihormati dan berpengaruh.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh seorang pendakwah ialah bergaul dengan masyarakat dan memahami betapa pentingnya hidup di tengah-tengah mereka, meskipun misi pendakwah tersebut ditentang. Rasulullah SAW, sejak sebelum kenabian, sudah menentang amalan jahiliah. Baginda menolak kebiasaan menyembah berhala, tawaf di sekelilingnya, menyembelih untuk berhala, serta menolak kebiasaan minum arak, zina, dan pelbagai bentuk kemaksiatan dalam jahiliah. Namun, baginda tidak meninggalkan mereka, malah turut serta dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Baginda mengenali mereka dan mereka mengenali baginda dengan sifat jujur dan amanah.
Ini mengajar kita tentang keseimbangan antara bergaul dan menyendiri; tidak terlalu menyendiri hingga menyebabkan orang lain tidak mengenal dan menolak segala yang datang daripadanya, dan tidak pula bergaul tanpa batas sehingga menjadi sebahagian daripada kemaksiatan mereka. Sebaliknya, pergaulan yang membina hubungan yang baik, dengan asas penghormatan dan penghargaan, serta menghindarkan diri daripada sebarang perkara yang bertentangan dengan akidah dan agama. Segala ini dapat kita pelajari daripada cara Rasulullah bergaul dengan kaumnya, sehingga baginda dikenali dengan gelaran ‘jujur’ dan ‘amanah’.
Jika bergaul dan bercampur itu salah, pastinya Allah akan menjauhkan Nabi-Nya sebagaimana Dia menjauhkannya daripada kebiasaan jahiliah sebelum zaman kenabian. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Munir Ghadban, hlm. 608)
Kemudian, bagaimana seseorang boleh memberi pengaruh dalam masyarakat? Adakah melalui pujian terhadap dirinya sendiri? Atau ada sebab lain? Pertanyaan ini membawa kita kepada hikmah yang kedua, iaitu: Penyebab paling utama dalam mempengaruhi orang lain adalah akhlak dan budi pekerti. Akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW menyebabkan orang ramai menerima baginda; mereka senang melihatnya, berasa gembira kerana baginda menjadi perantara dalam masalah yang mereka hadapi, dan mereka reda serta menerima keputusan baginda, sebelum dan selepas sesuatu keputusan itu dibuat.”
Keempat: Peristiwa ini menjelaskan kedudukan Nabi Muhammad SAW dalam kalangan kaumnya, yang mana mereka semua menerimanya. Perkara ini dapat dilihat daripada kata-kata mereka, “Kami redha, telah datang seorang yang amanah.” Peristiwa ini berlaku sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi, namun selepas Baginda menjadi Nabi, pengakuan tersebut berubah menjadi “pendusta, ahli sihir, dan dukun.” Ini bermaksud, ketika Baginda berbicara tentang urusan dunia, mereka menganggapnya benar dan menerima, tetapi apabila Baginda berbicara mengenai agama, kepercayaan terhadap Baginda berubah, daripada seorang yang amanah menjadi pendusta, ahli sihir, dan dukun. Tuduhan mereka itu akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Di samping itu, terdapat pengajaran penting di sini, iaitu apabila seorang pendakwah berhadapan dengan manusia dalam hal agama dan kepercayaan, mereka tidak akan berdiam diri. Jika seseorang yang pernah dijuluki amanah dan jujur boleh berubah gelarannya menjadi pendusta dan ahli sihir, maka bagaimana pula dengan orang yang tidak pernah mendapat gelaran sedemikian? Oleh itu, tidak perlu gusar atau terpengaruh dengan kata-kata atau gelaran yang dilemparkan, kerana ia hanya berpunca daripada kenyataan tentang agama mereka.
Kelima: Telah kita sebutkan sebelum ini bahawa kisah Tentera Bergajah menjadikan Quraisy terkemuka dan menonjol berbanding kabilah-kabilah lain. Sejak peristiwa itu, Quraisy menjadi lambang di kalangan bangsa Arab kerana perlindungan Allah ke atas mereka. Pada hari pembinaan Ka’bah pula, muncul legenda kedua dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa Tentera Bergajah menobatkan Quraisy sebagai pahlawan legendaris, manakala dalam peristiwa pembinaan Ka’bah, Nabi Muhammad SAW dinobatkan sebagai pahlawan legendaris yang lebih unggul daripada tokoh-tokoh Quraisy. Semua ini menjadi tanda awal kenabian yang akan segera tiba. Muhammad Abu Syahbah dalam sirahnya berkata, “Dalam peristiwa pembinaan Ka’bah itu, Nabi Muhammad menjadi terkenal, beliau menerima penghormatan, kedudukannya mengatasi yang lain, dan namanya disebut-sebut dalam setiap majlis dan perhimpunan orang Arab.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Muhammad Abu Syahbah, hlm. 229)
Keenam: Peristiwa pembinaan Ka’bah merupakan pengenalan kepada kedatangan kenabian. Sesiapa yang menghalang pertumpahan darah pada hari ini, dialah yang akan mengekang pertumpahan darah pada hari esok, dan yang berupaya menyatukan manusia selepas mereka berpecah-belah. Maka, dialah yang akan menyatukan bangsa Arab serta memimpin mereka bersama umat lain di bawah panji keislaman dengan izin Allah Ta’ala.
Ketujuh: Peristiwa yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW ketika bersama bapa saudaranya, Al-Abbas Radhiyallahu Anhu, sewaktu baginda meletakkan kain pada bahunya dan kemudian kain itu terjatuh, menunjukkan penjagaan Allah terhadap baginda sejak kecil. Ibnu Hajar berkata, “Ibnu Ishak menyebutkan bahawa dalam tempoh kenabian, Rasulullah SAW telah menunjukkan tanda-tanda penjagaan Allah sejak kecil…. Kemudian dia menyebutkan kisahnya.” (Lihat Fath al-Bari, 7/146; seperti dalam Fiqh al-Sirah oleh Dr. Zaid Abd al-Karim, hlm. 80-84)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”