Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan bagi wanita yang tua dan sudah uzur mewakilkan orang lain untuk melontar jamrah bagi pihaknya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.
Pada asasnya, semua ulama bersepakat mengenai kefardhuan dan kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Surah Ali ‘Imran: 97)
Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).
Selain itu, Allah SWT berfirman:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji.”
(Surah al-Hajj: 27)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya adalah beritahu kepada mereka mengenai ibadat haji tersebut, dan ajaklah mereka kepadanya. Sampaikan kepada mereka sama ada orang yang dekat dan jauh tentang kewajipan haji dan keutamaannya. Hal ini kerana jika kamu telah memanggil mereka, pasti mereka akan datang kepadamu sebagai orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/536).
Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut melalui sabdanya:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”
Riwayat Muslim (16)
Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, seorang yang mengerjakan haji hendaklah melontar Jamrah al-Kubra pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Diriwayatkan daripada Jabir R.anhuma beliau berkata :
رَمى رَسولُ اللهِ ﷺ الجَمْرَةَ يَومَ النَّحْرِ ضُحًى، وأَمّا بَعْدُ فَإذا زالَتِ الشَّمْسُ
Maksudnya : “Rasulullah SAW melontar Jamrah pada hari Korban pada waktu Dhuha dan sesudah itu (11,12,dan 13 Zulhijjah) sesudah matahari tergelincir.”
Riwayat Muslim (1299)
Hikmah dari melontar jamrah adalah untuk mengingati Allah SWT. Oleh kerana itu, disyariatkan untuk takbir setiap kali melontar setiap batu. Hal ini dilakukan agar Allah SWT yang dimuliakan dengan lisan sebagaimana kita memuliakanNya di dalam hati. Melempar jamrah di tempat ini secara nyata menunjukkan makna yang masuk akal, iaitu pengabdian kepada Allah SWT. Manusia tidak mengerti makna yang masuk akal dan jelas dalam melempar batu di tempat ini selain bahawa dia beribadah kepada Allah SWT dengan perintah, meskipun dia tidak memahami sepenuhnya maknanya. Ini adalah pengabdian dan tunduk kepada Allah Ta’ala, dan inilah kesempurnaan ketaatan kepada-Nya. Oleh kerana itu, dalam melempar jamrah terdapat pengagungan kepada Allah dengan lisan dan hati. (Lihat Majmu’ al-Fatawa Wa Rasail al-Uthaimin,24/499-500)
Dalam situasi di mana seseorang mengalami keuzuran atau kesulitan untuk melontar jamrah, syarak memberikan keringanan (rukhsah) dengan membenarkan untuk mewakilkan pihak lain bagi melaksanakan ibadah tersebut bagi pihaknya. Kelonggaran ini bertujuan memastikan individu yang uzur, seperti orang tua, wanita lemah, atau pesakit, tetap dapat menyempurnakan tuntutan haji tanpa menanggung beban di luar kemampuan mereka.
Perkara ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa: Orang yang tidak mampu melontar jamrah sendiri kerana sakit atau halangan (seperti ditahan) boleh mewakilkan orang lain untuk melontar bagi pihaknya. Disunatkan baginya, jika mampu, untuk menyerahkan batu kepada wakil dan bertakbir ketika lontaran dilakukan. Perwakilan hanya dibenarkan bagi mereka yang uzurnya tidak dijangka akan pulih sebelum tamat waktu melontar, namun jika pulih selepas itu, ia juga tidak menjadi halangan ke atasnya pada perkara tersebut.
Wakil tidak boleh melontar bagi pihak orang yang mewakilkannya melainkan setelah dia melontar bagi dirinya sendiri. Jika dia melanggar aturan ini, lontaran itu hanya sah untuk dirinya sendiri, seperti dalam ibadah haji secara umum. Jika seseorang pengsan dan tidak sempat memberi izin kepada orang lain untuk melontar bagi pihaknya, maka lontaran tersebut tidak sah. Namun, jika dia memberi izin, lontaran oleh wakil sah menurut pandangan yang kuat. (Lihat Raudah al-Talibin, 3/115)
Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwannya menyatakan: Melantik wakil untuk melontar jamrah bagi orang tua, pesakit, dan wanita adalah dibenarkan secara syarak. Dalilnya adalah bahawa dibolehkan mewakilkan ibadah haji, maka mewakilkan lontaran jamrah lebih-lebih lagi dibenarkan, kerana ibadah haji merangkumi lontaran jamrah dan amalan-amalan lain. Ini merupakan rukhsah (keringanan) bagi mereka yang mempunyai uzur, dan tidak ada kesulitan ke atas mereka. Selain itu, mereka juga tidak diwajibkan membayar fidyah.[1]
Sebagai kesimpulannya, syarak memberikan kelonggaran kepada individu yang tidak mampu melontar jamrah ketika menunaikan ibadah haji, seperti golongan lanjut usia, pesakit, atau mereka yang mengalami keuzuran. Mereka dibenarkan untuk mewakilkan orang lain bagi melaksanakan ibadah tersebut bagi pihak mereka. Rukhsah (keringanan) ini bukan sekadar menunjukkan keprihatinan syariat terhadap keterbatasan manusia, tetapi juga menggambarkan keluasan rahmat Allah SWT dalam memberikan kemudahan kepada umat-Nya.
Tambahan pula, syariat tidak mewajibkan fidyah atau denda bagi mereka yang tidak mampu melontar sendiri, selagi keuzuran itu berasaskan alasan yang sah. Ini selaras dengan prinsip Islam yang menekankan kemudahan dalam pelaksanaan ibadah, tanpa memberatkan hamba-Nya di luar kemampuan mereka.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Wallahu‘Alam
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20820/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%C Diakses pada 28 Oktober 2024