Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan hutang untuk pelaburan dan zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hutang merujuk kepada wang atau aset lain yang dipinjam daripada orang lain, yang perlu dibayar semula dalam tempoh masa tertentu. Hutang boleh dalam bentuk belian atau jualan dengan pembayaran yang ditangguhkan. Individu atau pihak yang berhutang mempunyai kewajipan untuk membayar balik wang atau kebaikan yang diterima. Terdapat pelbagai jenis hutang seperti hutang bercagar, di mana peminjam mencagarkan sesuatu aset sebagai jaminan, dan hutang lapuk, yang merujuk kepada hutang yang belum dijelaskan dalam jangka masa yang panjang.[1] Hutang biasanya terikat dengan syarat pembayaran dan kadar faedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh penghutang. Di Malaysia, Akta Sewa Beli 1967 turut mengawal selia aspek hutang dalam bentuk pembelian barangan secara ansuran.[2]
Pelaburan merujuk kepada sejumlah wang atau modal yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga atau penanaman modal dengan harapan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda pada masa hadapan. Pelaburan juga boleh merangkumi pembelian aset seperti tanah atau harta lain yang dianggap berpotensi memberikan pulangan yang menguntungkan.[3] Dalam konteks kewangan, pelaburan boleh berbentuk pembelian saham, bon, hartanah, atau perniagaan yang berpotensi memberikan keuntungan jangka panjang. Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti mengawasi aktiviti pelaburan melalui garis panduan untuk melindungi pelabur dan memastikan integriti pasaran.[4]
Manakala zakat pula merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Hutang yang digunakan oleh penghutang dalam perniagaan digugurkan daripada aset-aset yang perlu dikeluarkan zakat, tetapi sekiranya hutang itu digunakan untuk memiliki aset kekal yang berkembang seperti tanah, peralatan atau lain-lain, maka apabila dilihat pada pendapat yang sedia ada bahawa hutang menghalang kewajipan zakat dan ini membawa kepada gugurnya kewajipan zakat pada kebanyakan aset individu, syarikat, dan institusi sedangkan ia menghasilkan keuntungan yang besar.
Oleh yang demikian, ahli jawatankuasa ini melihat bahawa perkara ini perlu penumpuan mengenainya. Dalam hal ini ahli jawatankuasa mengambil pandangan fuqaha yang mengatakan bahawa hutang tertangguh tidak menggugurkan kewajipan zakat, yang mana perkara ini perlu kepada kajian, pengesahan dan perhatian yang mendalam.
Berkenaan bon dan simpanan riba serta aset-aset yang diharamkan dan hasilnya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut:
Bon yang mempunyai faedah riba dan simpanan riba, wajib dikeluarkan zakat daripada aset asal dengan kadar zakat mata wang sebanyak 2.5%, manakala faedah riba yang diperoleh daripada aset asal itu tidak perlu dikeluarkan zakat, akan tetapi ia adalah aset yang tidak baik bagi seorang muslim dan tidak boleh digunakan dan ia perlu disalurkan untuk perkara yang baik dan untuk kepentingan umum, akan tetapi ia tidak boleh digunakan untuk membina masjid, mencetak mushaf dan untuk syiar-syiar Islam yang lain. Begitu juga, hukum bagi aset-aset yang mempunyai keraguan. Manakala, aset yang dirampas secara paksa dan dicuri, maka orang yang merampas dan mencurinya tidak perlu mengeluarkan zakat aset tersebut kerana ia tidak termasuk dalam pemilikannya, akan tetapi dia wajib memulangkan semua aset tersebut kepada pemiliknya yang asal. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 478)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”
Nota hujung:
[1] Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Edisi Keempat. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Jabatan Insolvensi Malaysia. Akta Sewa Beli 1967. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
[3] Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Edisi Keempat. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.
[4] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Garis Panduan Pasaran Modal Malaysia. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.