Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan zakat aset dan saham syarikat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.
Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”
(Surah al-Syams: 9)
Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.
Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.
Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, katanya: Zakat yang dikenakan kepada syarikat saham itu sendiri adalah kerana ia adalah entiti tersendiri (badan yang dianggap individu) apabila ia memenuhi perkara di bawah ini:
Pertama: Keluarnya surat perintah undang-undang yang mewajibkan zakat dikeluarkan oleh syarikat.
Kedua: Undang-undang syarikat yamg memasukkan kewajipan zakat ini.
Ketiga: Perkara ini disebutkan dalam undang-undang tubuh syarikat.
Keempat: Pemegang saham hendaklah bersetuju zakat dikeluarkan bagi pihak mereka.
Pendekatan ini bersandarkan kepada prinsip khultah (percampuran) yang disebutkan di dalam hadis zakat haiwan ternakan, yang mana ia dilihat oleh beberapa mazhab fiqh yang terkemuka akan keumumannya yang meliputi perkara lain, dan solusi terbaik untuk keluar daripada perselisihan adalah syarikat perlu mengeluarkan zakat, sekiranya ia tidak melakukan demikian, jawatankuasa ini mencadangkan agar syarikat itu mengira zakat asetnya dan melampirkan bersama belanjawan tahunan syarikat bagi menyatakan bahagian zakat bagi satu saham.
Berkenaan zakat saham, apabila syarikat telah mengeluarkan zakat asetnya, maka pemegang saham tidak wajib untuk mengeluarkan zakat lain daripada sahamnya untuk mengelakkan daripada penggandaan/dualisme zakat. Adapun, apabila syarikat tidak mengeluarkan zakat, maka pemilik saham wajib untuk mengeluarkan zakat sahamnya, berdasarkan perkara di bawah ini:
Apabila syarikat yang akan mengeluarkan zakat, maka ia dianggap sebagai seorang individu yang mengeluarkan zakatnya dengan kadar yang ditetapkan syarak berdasarkan keadaan dan jenis asetnya. Adapun, apabila syarikat tidak mengeluarkan zakat, maka wajib ke atas pemilik saham untuk mengeluarkan zakat sahamnya berdasarkan salah satu daripada keadaan ini:
Keadaan pertama: apabila sahamnya digunakan untuk urus niaga jual beli, maka zakat yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak 2.5% dari nilai pasaran pada hari yang wajib dikeluarkan zakat, seperti barangan perniagaan.
Keadaan kedua: apabila sahamnya digunakan untuk pelaburan pendapatan tahunannya, maka zakatnya adalah seperti berikut:
- a) Sekiranya dapat diketahui daripada syarikat atau lain-lainnya tentang jumlah terperinci saham tersebut daripada aset zakat syarikat, maka dia perlu mengeluarkan zakat sahamnya dengan kadar 2.5%.
- b) Sekiranya jumlah itu tidak dapat diketahui, maka terdapat beberapa pandangan bagi perkara ini: Majoriti berpendapat bahawa pemilik saham perlu menggabungkan hasil saham dengan asetnya yang lain bersama haul dan nisab aset tersebut, kemudian dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%, dengan demikian, dia telah melaksanakan tanggungjawabnya. Manakala ada yang berpendapat bahawa zakat dikeluarkan sebanyak 10% daripada keuntungan sebaik sahaja ia diterima, berdasarkan qias terhadap hasil sewaan tanah pertanian. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/475)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”