#7361: Zakat Upah, Gaji dan Keuntungan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan zakat upah, gaji dan keuntungan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Upah merujuk kepada bayaran atau imbuhan yang diberikan kepada seseorang pekerja sebagai balasan atas kerja atau perkhidmatan yang diberikan dalam tempoh tertentu. Upah ini boleh dalam bentuk tunai atau faedah lain seperti elaun dan kemudahan tambahan. Mengikut Akta Kerja 1955 di Malaysia, upah ditakrifkan sebagai jumlah yang perlu dibayar kepada pekerja berdasarkan kontrak pekerjaan, meliputi kadar harian, mingguan, bulanan, atau berasaskan jam. Upah adalah hak pekerja yang wajib dipenuhi oleh majikan sebagai balasan bagi tenaga dan masa yang disumbangkan oleh pekerja.[1]

Gaji pula adalah bayaran tetap yang diberikan kepada pekerja sebagai balasan atas perkhidmatan yang dijalankan dalam tempoh tertentu, biasanya setiap bulan. Berbeza dengan upah yang boleh berubah-ubah mengikut jam atau kerja yang diselesaikan, gaji merupakan jumlah tetap yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja dalam kontrak pekerjaan. Gaji juga boleh merangkumi faedah seperti elaun, bonus, dan caruman ke dalam dana persaraan. Ia menjadi hak pekerja sebagai ganjaran atas komitmen mereka sepanjang tempoh pekerjaan yang ditetapkan.[2]

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di mana ketika menjelaskan berkenaan zakat upah, gaji, keuntungan kerja sendiri dan pendapatan-pendapatan lain, beliau menyebut seperti berikut:

Aset-aset ini dianggap sebagai hasil pendapatan daripada tenaga manusia yang digunakan dalam melakukan kerja yang bermanfaat seperti upah pekerja, gaji pegawai, hasil yang diperoleh daripada tugas seorang doktor, jurutera stera dan sebagainya, dan begitu juga pendapatan-pendapatan lain seperti bonus dan lain-lain yang bukan terhasil daripada kerja-kerja eksploitasi tertentu.

Jenis pendapatan-pendapatan ini tidak dikenakan zakat ketika menerimanya, akan tetapi ia perlu digabungkan dengan aset-aset lain yang diwajibkan zakat pada hitungan nisab dan haul aset itu, kemudian dikeluarkan zakat daripada kesemua aset tersebut ketika telah sempurna haul bermula daripada sempurnanya nisab. Inilah pandangan kebanyakan ahli jawatankuasa. Pendapatan yang diperoleh semasa haul masih berjalan perlu dikeluarkan zakat pada akhir haul walaupun haul pendapatan tersebut masih belum sempurna bagi setiap asetnya. Sekiranya yang menerima pendapatan itu tidak mempunyai nisab sebelum menerima pendapatan tersebut, maka haulnya bermula ketika dia memiliki nisab dan zakat wajib dikeluarkan sebaik sahaja haul berakhir, dan kadar zakat yang perlu dikeluarkan adalah 2.5% pada setiap tahun.

Sebahagian ahli lain berpendapat bahawa setiap aset yang diperoleh itu perlu dikeluarkan zakat sebaik saja ia diterima dengan kadar 2.5% apabila ia mencapai nisab dan melebihi keperluan asas serta selepas diselesaikan hutang. Oleh itu, apabila dia telah mengeluarkan kadar ini, maka dia tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ini pada akhir haul aset-aset lain yang dimilikinya dan dia dibolehkan mengeluarkan zakat tersebut bersama aset-aset lain yang mempunyai haul. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 477)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Nota hujung:

[1] Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. Akta Kerja 1955. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Jabatan Tenaga Kerja.

[2] Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. Akta Kerja 1955. Diakses pada 29 Oktober 2024, daripada Jabatan Tenaga Kerja.