Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan apa itu haul qamari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Taubah: 103)
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka.
Salah satu syarat diwajibkan untuk mengeluarkan zakat adalah cukup haul iaitu genap setahun qamari atau masihi pemilikan harta tersebut ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahwa Nabi SAW bersabda:
وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”
Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)
Telah dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji makna cukup haul iaitu iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2/8). Dengan ini, difahami bahawa jika sekiranya harta tidak cukup haul, maka harta tersebut masih tidak diwajibkan zakat. Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji; 2/16-17).
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Haul pada asalnya adalah berdasarkan kepada tahun Qamariyyah bagi semua harta zakat yang disyaratkat haul. Ahli jawatankuasa ini menasihatkan kepada individu, syarikat, institusi kewangan agar menggunakan tahun Qamariyyah sebagai asas dalam melakukan hitungan dan kiraan atau paling kurang adalah melakukan hitungan dan kiraan yang berkaitan dengan zakat berdasarkan tahun Qamariyyah.
Sekiranya ada kesukaran melakukan hitungan berdasarkan tahun Qamariyyah, ahli jawatankuasa ini melihat bahawa harus untuk memberi kemudahan kepada manusia -apabila belanjawan masih menggunakan sistem tahun Syamsiyyah (Masihi) dengan perlu mengetahui bilangan harinya yang lebih banyak daripada bilangan hari bagi tahun Qamariyyah dengan kadar zakatnya lebih kurang 2.575%. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 478)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”