#7364:  Larangan Terhadap Saksi dalam Transaksi Riba

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, siapakah yang dimaksudkan dengan saksi yang dilaknat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Firman Allah SWT lagi :

 فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

(Surah al-Baqarah: 279)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)

Dalam menjawab persoalan di atas, dapat ditegaskan bahawa Allah SWT melarang keras umat manusia daripada terlibat dalam sebarang bentuk riba. Larangan ini jelas dinyatakan melalui ayat-ayat al-Quran yang menggariskan keburukan dan bahaya riba kepada individu dan masyarakat.

Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau menyatakan bahawa: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi) (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Larangan tersebut tidak hanya terhad kepada mereka yang secara langsung memakan riba, tetapi juga meliputi semua pihak yang terlibat secara tidak langsung dalam urusan berkaitan riba. Ini termasuk mereka yang bertindak sebagai wakil dalam transaksi yang melibatkan riba atau berperanan sebagai saksi dalam urusan tersebut. Larangan menyeluruh ini menunjukkan betapa seriusnya Islam dalam mencegah amalan riba dan menutup segala pintu yang boleh membawa kepada pelanggaran syariat.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَعَنَ رَسولُ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ آكِلَ الرِّبا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكاتِبَهُ، وَشاهِدَيْهِ، وَقالَ: هُمْ سَواءٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, penulis (akad riba), dan dua saksinya, serta bersabda: “Mereka semua sama (dalam dosa).”

Riwayat Muslim (1598)

Jelas daripada  hadith yang dinyatakan  di atas bahawa Allah SWT bukan sahaja melaknat pemakan riba tetapi mereka yang terlibat secara tidak langsung juga termasuk dalam ancaman dan larangan ini.

Apa yang dimaksud dengan sabda Nabi: (وَشَاهِدَيْهِ) – Iaitu dua saksi yang hadir untuk mengesahkan akad tersebut dan menetapkan dokumen perjanjian bagi pihak pemakan riba dan pemberi riba. Dalam riwayat Abu Daud, lafaznya berbentuk tunggal: “وَشَاهِدِه” yang membawa maksud jenis (kumpulan saksi secara umum). Dua saksi tersebut dilaknat kerana keterlibatan mereka dalam membantu perbuatan yang dilarang oleh syariat (iaitu riba), sekaligus menyokong dan mengesahkan amalan haram tersebut. (Lihat Minhah al-’Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 1/167)

Dalam konteks zaman kini, kesaksian ke atas riba boleh dilihat dalam pelbagai bentuk, terutama yang berkaitan dengan transaksi kewangan moden. Antaranya ialah:

  • Tandatangan Dokumen Pinjaman Berunsur Riba

Individu yang bertindak sebagai saksi dalam pinjaman bank atau syarikat kewangan yang menetapkan kadar faedah (riba) pada perjanjian memainkan peranan penting dalam mengesahkan dan melengkapkan urusan tersebut.

  • Jaminan Perjanjian Kad Kredit

Kad kredit biasanya mengenakan caj faedah jika pembayaran tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan. Mereka yang bertindak sebagai saksi atau penjamin untuk pemegang kad kredit secara tidak langsung terlibat dalam amalan berunsur riba ini.

  • Penyaksian dalam Pembelian Rumah Melalui Pinjaman Konvensional

Apabila seseorang membeli rumah melalui pinjaman bank konvensional yang mengenakan faedah, saksi yang hadir untuk mengesahkan perjanjian antara pembeli dan bank turut menyokong urusan yang mengandungi elemen riba.

  • Dokumen Perjanjian Sewaan-Pajakan dengan Faedah

Dalam sesetengah perjanjian sewa beli atau pajakan, seperti pajakan kereta melalui bank konvensional, terdapat unsur faedah. Saksi yang menandatangani kontrak tersebut turut terlibat dalam mengesahkan transaksi yang mengandungi riba.

Kesemua contoh ini menunjukkan bagaimana amalan kesaksian terhadap riba boleh berlaku dalam konteks moden, di mana individu yang bertindak sebagai saksi atau penjamin secara tidak langsung menyokong dan melengkapkan transaksi yang bertentangan dengan prinsip syariah.

Sebagai kesimpulan, syarak melarang keras sebarang bentuk penglibatan dalam transaksi yang melibatkan riba, sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk menjadi saksi kepada transaksi tersebut. Saksi yang disebut dalam hadith merujuk kepada individu yang hadir, mengesahkan, atau menandatangani akad riba yang dilaksanakan. Larangan ini jelas diharamkan oleh Allah SWT kerana ia menyumbang kepada amalan yang dilarang dan bertentangan dengan prinsip syariat. Terdapat sebuah kaedah yang menyebutkan:

كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”

Justeru, seorang muslim hendaklah menjauhi perkara yang melibatkan riba agar tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dilaknat dan diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya. Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu‘alam