Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah didahulukan makanan (الطَّعَامُ) daripada minuman (الشَّرَابُ) dalam ayat al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, apabila kita melihat dan membaca ayat-ayat dalam al-Quran, kita akan mendapati bahawasanya Allah SWT sentiasa mendahulukan perkataan “makanan” kemudian barulah menyebutkan pula “minuman.” Terdapat sekurang-kurangnya enam tempat di dalam al-Quran menyebut, “كُلُوا وَاشْرَبُوا” (makanlah dan minumlah), dan tidak ada walau sekali pun disebut, “اشْرَبُوا وَكُلُوا” (Minumlah dan makanlah). Enam tempat tersebut adalah:
Firman Allah SWT:
كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Maksudnya: “(Dan Kami berfirman): ‘Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.’”
(Surah al-Baqarah: 60)
Fakhruddin al-Razi ketika menjelaskan makna ayat ini, beliau menyebutkan, di dalamnya terdapat perkataan yang dihilangkan (hazaf), dan maksudnya ialah: “Kami berkata kepada mereka atau Musa berkata kepada mereka: ‘Makanlah dan minumlah.’” Digunakan ungkapan “makanlah” untuk dua sebab: Pertama, kerana sebelumnya disebut tentang manna dan salwa, seolah-olah dikatakan, “Makanlah manna dan salwa yang Allah telah rezekikan kepada kamu tanpa susah payah dan keletihan, dan minumlah air ini.” Kedua, bahawasanya makanan tidak akan ada kecuali dengan air, maka apabila Allah memberi mereka air, seolah-olah Dia juga memberi mereka makanan dan minuman. Golongan Muktazilah berhujah dengan ayat ini untuk menunjukkan bahawa rezeki adalah sesuatu yang halal. Mereka berpendapat, ini kerana sekurang-kurangnya maksud firman-Nya: “makanlah dan minumlah” adalah keharusan (ibahah), dan ini menunjukkan bahawa rezeki itu adalah sesuatu yang dibenarkan (mubah). Sekiranya ada rezeki yang haram, maka rezeki itu akan menjadi dibenarkan dan diharamkan pada masa yang sama, yang mana ini adalah tidak mungkin. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 3/530)
Begitu juga firman-Nya:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Dinyatakan dalam Tafsir al-Jalalain, Allah SWT berfirman: (dan makan minumlah) sepanjang malam itu (hingga nyata) atau jelas (bagimu benang putih dari benang hitam berupa fajar sidik). (Kemudian sempurnakanlah puasa itu) dari waktu fajar (sehingga malam) maksudnya masuknya malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 29).
Begitu juga firman-Nya:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 31)
Syeikh al-Sa‘di menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan, ayat ini mengandungi perintah untuk menutup aurat ketika mengerjakan semua solat, baik solat fardhu mahupun solat sunat, kerana menutup aurat adalah perhiasan bagi tubuh, manakala membiarkannya terbuka membuatkan tubuh kelihatan buruk dan cela. Namun, ada kemungkinan Zinah (perhiasan) di sini adalah merujuk kepada pakaian bersih yang baik, yang menunjukkan perintah menutup aurat dalam solat serta berhias dengan pakaian yang bersih dari kotoran dan najis.
Kemudian Allah berfirman: “Makan dan minumlah,” iaitu daripada rezeki yang Allah kurniakan daripada makanan yang baik-baik. Namun, janganlah melampaui batas dalam hal tersebut. Pembaziran boleh berupa makan berlebihan yang boleh membahayakan tubuh, berlebihan dalam kemewahan dan memilih makanan, minuman, serta pakaian, atau melampaui batas halal hingga ke yang haram.
Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas kerana pembaziran dibenci oleh Allah, merugikan tubuh dan kehidupan seseorang, bahkan mungkin menyebabkan seseorang tidak mampu menanggung perbelanjaan yang wajib ke atasnya. Maka, dalam ayat ini terdapat perintah untuk makan dan minum, serta larangan meninggalkannya dan larangan melampaui batas dalam kedua-dua hal itu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/287).
Begitu juga firman-Nya:
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “(Dan dikatakan kepada mereka): ‘Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.’”
(Surah al-Tur: 19)
Al-Nasafi menjelaskan maknanya adalah makan dan minum dengan kenikmatan, atau makanan dan minuman yang penuh kenikmatan, yang tidak ada kekurangan atau gangguan padanya. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/384).
Begitu juga firman-Nya:
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ
Maksudnya: “(Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): ‘Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!’”
(Surah al-Haqqah: 24)
Al-Nasafi menjelaskan ayat di atas maksudnya adalah makan dan minum yang penuh kenikmatan tanpa keburukan atau gangguan di dalamnya, atau nikmatilah dengan penuh kenikmatan sebagai balasan atas amalan soleh yang telah dilakukan pada hari-hari yang telah berlalu di dunia ini. Menurut Ibn Abbas, ayat ini merujuk kepada orang yang berpuasa, iaitu makan dan minumlah sebagai ganti daripada apa yang dia tahan untuk tidak makan dan minum kerana Allah SWT. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/531).
Begitu juga firman-Nya:
كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “(Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): ‘Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.’”
(Surah al-Mursalat: 43)
Sebahagian ulama tafsir menafsirkan ayat di atas dengan menyatakan, di dalamnya terdapat penegasan bahawa amalan mereka di dunia adalah sebab untuk mereka menikmati kenikmatan syurga di akhirat. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 8/403).
Demikian juga firman Allah SWT:
فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا
Maksudnya: “Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) al-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapa pun dari kalangan manusia pada hari ini.’”
(Surah Maryam: 26)
Firman Allah, ‘فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا’, yakni makanlah dari kurma yang berguguran atasmu, minumlah dari air sungai yang mengalir di bawahmu, jangan takut lapar dan dahaga, bergembiralah dengan kelahiran anakmu, dan janganlah engkau bersedih. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/525).
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, ada beberapa ilmuan yang berusaha untuk merungkai dan menyatakan sebab berkenaan didahulukan penyebutan “makanan” berbanding “minuman.”
Di antaranya, Dr. Jamil al-Qudsi Duwaik ada menyatakan, Allah ta‘ala sentiasa mendahulukan makanan sebelum minuman. Apabila kita perhatikan dalam al-Quran, kita mendapati bahawa Allah SWT dalam enam tempat di dalam al-Quran menyebut “Makanlah dan minumlah” dan tidak ada walau sekali pun disebut “Minumlah dan makanlah.” Malah dalam kisah lelaki yang dimatikan Allah selama seratus tahun, Allah ta‘ala berfirman (dalam Surah al-Baqarah ayat 259): “فَانظُرْ إِلَىٰ طَعَامِكَ وَشَرَابِكَ لَمْ يَتَسَنَّهْ” (Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya), di mana “makanan” turut disebutkan terlebih dahulu sebelum “minuman.”
Begitu juga dalam Surah Sad (ayat 51), Allah SWT berfirman: “يَدْعُونَ فِيهَا بِفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ وَشَرَابٍ” (mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya), di mana buah-buahan didahulukan berbanding minuman. Dahulu, ada yang berpendapat bahawa minum sebelum makan adalah lebih baik untuk tidak mencairkan enzim perut, namun pendapat ini kini dianggap teori lama dan bukan hasil kajian saintifik. Kajian terbaru menyatakan bahawa waktu terbaik untuk minum adalah semasa makan dan selepasnya, yang selari dengan firman Allah SWT, “Makanlah dan minumlah,” di mana huruf wau (و) dalam bahasa Arab menunjukkan kebersamaan dan turutan.[1]
Selain daripada itu, Dr. Fadhil al-Samarra’i juga ada menjelaskan berkenaan susunan/turutan antara makan dan minum (dalam ayat al-Quran). Menurutnya, apabila kita melihat bahawa dalam al-Quran setiap kali makan dan minum disebutkan bersama, Allah SWT akan mendahulukan penyebutan “makan” sebelum “minum,” bahkan di syurga juga disebutkan demikian, seperti dalam ayat “كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ” (Makanlah dan minumlah dengan penuh kenikmatan atas apa yang telah kamu lakukan pada hari-hari yang telah berlalu) dan “كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّهِ” (Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu). Sebabnya kerana memperoleh makanan adalah lebih sukar berbanding mendapatkan minuman.[2]
Di tempat lain pula, Dr. Fadhil al-Samarra’i menjelaskan bahawa setelah disebutkan tentang buah-buahan, disebutkan pula minuman selepasnya, iaitu minuman yang diedarkan kepada mereka. Penyebutan minuman selepas makanan adalah selari dengan yang terdapat di seluruh al-Quran; apabila makanan dan minuman disebutkan sevara bersama, sama ada di dunia atau akhirat, penyebutkan makanan akan didahulukan sebelum minuman, seperti dalam ayat, “وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا” dan juga ayat “وَٱلَّذِی هُوَ یُطۡعِمُنِی وَیَسۡقِینِ” serta ayat-ayat yang selainnya. Jadi, penyebutan makanan didahulukan sebelum minuman kerana makanan adalah lebih penting. (Lihat Lamasat Bayaniyyah fi Nusus min al-Tanzil, hlm. 330).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.hablullah.com/?p=2598. Diakses pada 29 Oktober 2024.
[2] Lihat https://albayanalqurany.com/clause/اللمسة–البيانية–في–تقديم–الأكل–على–الش/. Diakses pada 29 Oktober 2024. Lihat juga https://www.youtube.com/watch?v=LirgGW6d1Dw. Diakses pada 29 Oktober 2024.