#7372: Kesahihan Kisah Wafatnya Nabi Idris A.S di Langit

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya membaca kisah wafat Nabi Idris A.S. yang dikatakan wafat di langit keempat bersama seorang malaikat. Dalam kisah itu, diceritakan bahawa Malaikat Maut menemuinya dan diperintahkan mencabut nyawanya di langit keempat. Adakah kisah ini sahih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا (56) وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا

Maksudnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Surah Maryam (56-57)

Syeikh al-Sa’di berkata: Oleh itu, ceritakanlah dalam kitab ini dengan menunjukkan kemuliaan, pengagungan, dan sifat kesempurnaan Nabi Idris, sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya, dia adalah seorang yang amat membenarkan serta seorang nabi.” Allah telah mengurniakan dua sifat utama kepada Nabi Idris, iaitu sifat siddiqiyyah, yang merangkumi pembenaran yang sempurna, ilmu yang mendalam, keyakinan yang teguh, serta amal soleh, selain sifat keterpilihan baginda dalam menerima wahyu dan memikul risalah-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 519)

Menjawab persoalan di atas, kisah ini diriwayatkan daripada Ka’b al-Ahbar, seorang Yahudi yang memeluk Islam dan tergolong dalam kalangan tabi’in. Beliau banyak meriwayatkan kisah-kisah dari kitab-kitab Yahudi yang dikenali sebagai Israiliyyat. Terdapat beberapa jalur dan riwayat berkenaan kisah ini:

Riwayat Pertama:

Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya, melalui Zaidah, daripada Maisarah al-Asyja’i, daripada Ikrimah, daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang berkata:

سَأَلْتُ كَعْبًا عَنْ رَفْعِ إدْرِيسَ مَكَانًا عَلِيًّا ؟ فَقَالَ : أَمَّا رَفْعُ إدْرِيسَ مَكَانًا عَلِيًّا ، فَكَانَ عَبْدًا تَقِيًّا ، يُرْفَعُ لَهُ مِنَ الْعَمَلِ الصَّالِحِ مَا يُرْفَعُ لأَهْلِ الأَرْضِ فِي أَهْلِ زَمَانِهِ ، قَالَ : فَعَجِبَ الْمَلَكُ الَّذِي كَانَ يَصْعَدُ عَلَيْهِ عَمَلُهُ ، فَاسْتَأْذَنَ رَبَّهُ إلَيْهِ ، قَالَ : رَبِّ ائْذَنْ لِي إلَى عَبْدِكَ هَذَا فَأَزُورَهُ ، فَأَذِنَ لَهُ ، فَنَزَلَ ، قَالَ : يَا إدْرِيسُ ، أَبْشِرْ فَإِنَّهُ يُرْفَعُ لَك مِنَ الْعَمَلِ الصَّالِحِ مَا لاَ يُرْفَعُ لأَهْلِ الأَرْضِ ، قَالَ : وَمَا عِلْمُك ؟ قَالَ : إنِّي مَلَكٌ ، قَالَ : وَإِنْ كُنْت مَلَكًا ، قَالَ : فَإِنِّي عَلَى الْبَابِ الَّذِي يَصْعَدُ عَلَيْهِ عَمَلُك. قَالَ : أَفَلاَ تَشْفَعُ لِي إلَى مَلَكِ الْمَوْتِ فَيُؤَخِّرَ مِنْ أَجَلِي لأَزْدَادَ شُكْرًا وَعِبَادَةً ؟ قَالَ لَهُ الْمَلَكُ : لاَ يُؤَخِّرُ اللَّهُ نَفْسًا إذَا جَاءَ أَجَلُهَا ، قَالَ : قَدْ عَلِمْت ، وَلَكِنَّهُ أَطْيَبُ لِنَفْسِي ، فَحَمَلَهُ الْمَلَكُ عَلَى جَنَاحِهِ فَصَعِدَ بِهِ إلَى السَّمَاءِ فَقَالَ : يَا مَلَكَ الْمَوْتِ ، هَذَا عَبْدٌ تَقِيٌّ نَبِي ، يُرْفَعُ لَهُ مِنَ الْعَمَلِ الصَّالِحِ مَا لاَ يُرْفَعُ لأَهْلِ الأَرْضِ ، وَإِنَّهُ أَعْجَبَنِي ذَلِكَ ، فَاسْتَأْذَنْت إلَيْهِ رَبِّي ، فَلَمَّا بَشَّرْته بِذَلِكَ سَأَلَنِي لأَشْفَعَ لَهُ إلَيْك ، لِيُؤَخَّرَ مِنْ أَجَلِهِ فَيَزْدَادَ شُكْرًا وَعِبَادَةً لِلَّهِ ، قَالَ : وَمَنْ هَذَا ؟ قَالَ : إدْرِيسُ ، فَنَظَرَ فِي كِتَابٍ مَعَهُ حَتَّى مَرَّ بِاسْمِهِ ، فَقَالَ : وَاللهِ مَا بَقِيَ مِنْ أَجَلِ إدْرِيسَ شَيْءٌ، فَمَحَاهُ؛ فَمَاتَ مَكَانَهُ”.

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Ka’b tentang maksud diangkatnya Nabi Idris A.S ke tempat yang tinggi. Ka’b menjawab: “Adapun mengenai diangkatkan Idris ke tempat yang tinggi, dia adalah seorang hamba yang bertakwa. Amalan solehnya diangkat setinggi amalan penduduk bumi pada zamannya. Malaikat yang membawa amalan Idris merasa kagum dengan amalan tersebut, lalu dia meminta izin daripada Tuhannya untuk bertemu dengannya. Allah mengizinkannya, maka malaikat itu pun turun menemui Idris. Dia berkata, ‘Wahai Idris, bergembiralah! Sesungguhnya amalan solehmu diangkat dengan nilai yang lebih tinggi daripada amalan penduduk bumi yang lain.’ Idris bertanya, ‘Bagaimana kamu tahu perkara ini?’ Malaikat itu menjawab, ‘Aku adalah malaikat.’ Idris berkata, ‘Walaupun begitu, engkau masih tidak mengetahui.’ Malaikat itu menjawab, ‘Sesungguhnya aku berada di pintu di mana amalanmu diangkat kepadaku.” Malaikat itu berkata kepada Idris, “Tidakkah engkau mahu memohon supaya aku meminta syafaat kepada Malaikat Maut agar dia menangguhkan ajalmu, supaya engkau dapat menambah kesyukuran dan ibadahmu?” Malaikat itu menjawab, “Allah tidak akan menangguhkan ajal seseorang apabila tiba saatnya.” Idris berkata, “Aku sudah mengetahuinya, tetapi permintaan ini membuat hatiku lebih tenang.”

Lalu malaikat itu membawa Idris di atas sayapnya dan naik ke langit. Dia berkata kepada Malaikat Maut, “Ini adalah seorang hamba yang bertakwa dan seorang nabi. Amalan solehnya diangkat setinggi amalan penduduk bumi, dan perkara itu membuatku kagum, sehingga aku meminta izin kepada Tuhanku untuk bertemu dengannya. Setelah aku menyampaikan berita gembira ini kepadanya, dia meminta aku untuk memohon syafaat kepadamu agar ajalnya ditangguhkan, supaya dia dapat menambah kesyukuran dan ibadahnya kepada Allah.”

Malaikat Maut bertanya, “Siapakah ini?” Malaikat itu menjawab, “Idris.” Malaikat Maut pun melihat dalam kitab yang bersamanya sehingga dia menemui nama Idris. Lalu Malaikat Maut berkata, “Demi Allah, tidak ada lagi waktu yang tersisa dalam ajal Idris,” maka dicabutlah nyawanya, dan dia wafat di tempat itu.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannaf-nya (32544)

Sanad riwayat ini adalah sahih hingga ke Ibn Abbas, dan kesemua perawi adalah perawi yang thiqah dan masyhur. Maisarah al-Asyja’i adalah perawi yang dinilai thiqah oleh Abu Zur’ah dalam Tahzib al-Tahzib (9/167). Mankala, Ibn Hibban dalam al-Majruhin (1/213) menilainya sebagai “hadithnya mustaqim.”

Riwayat Kedua:

Al-Tabari dalam Tafsir-nya meriwayatkan kisah ini melalui sanad daripada daripada Jarir bin Hazim, daripada Sulaiman al-A’masy, daripada Syimr bin ‘Atiyyah, daripada Hilal bin Yasaf, katanya:

سَأَلَ ابْنُ عَبَّاسٍ كَعْبًا وَأَنَا حَاضِرٌ ، فَقَالَ لَهُ: مَا قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى لِإِدْرِيسَ وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا مريم/57 . قَالَ كَعْبٌ: أَمَّا إِدْرِيسُ ، فَإِنَّ اللَّهَ أَوْحَى إِلَيْهِ: إِنِّي رَافِعٌ لَكَ كُلَّ يَوْمٍ مِثْلَ عَمَلِ جَمِيعِ بَنِي آدَمَ ، فَأُحِبُّ أَنْ تَزْدَادَ عَمَلًا ، فَأَتَاهُ خَلِيلٌ لَهُ مِنَ الْمَلَائِكَةِ ، فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ أَوْحَى إِلَيَّ كَذَا وَكَذَا ، فَكَلِّمْ لِي مَلَكَ الْمَوْتِ ، فَلْيُؤَخِرَنِي حَتَّى أَزْدَادَ عَمَلًا ، فَحَمَلَهُ بَيْنَ جَنَاحَيْهِ ، ثُمَّ صَعِدَ بِهِ إِلَى السَّمَاءِ ، فَلَمَّا كَانَ فِي السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ ، تَلَقَّاهُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ مُنْحَدِرًا ، فَكَلَّمَ مَلَكَ الْمَوْتِ فِي الَّذِي كَلَّمَهُ فِيهِ إِدْرِيسُ ، فَقَالَ: وَأَيْنَ إِدْرِيسُ؟ فَقَالَ: هُوَ ذَا عَلَى ظَهْرِي ، قَالَ مَلَكُ الْمَوْتِ: فَالْعَجَبُ؛ بُعِثْتُ أَقْبِضُ رُوحَ إِدْرِيسَ فِي السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ ، فَجَعَلْتُ أَقُولُ: كَيْفَ أَقْبِضُ رُوحَهُ فِي السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ وَهُوَ فِي الْأَرْضِ؟ فَقَبَضَ رُوحَهُ هُنَاكَ ، فَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا مريم/57″.

Maksudnya: “Ibnu Abbas bertanya kepada Ka‘ab, dan saya berada di situ ketika itu. Dia berkata kepadanya: “Apakah maksud firman Allah Ta‘ala tentang Idris: ‘Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi’ (Maryam: 57)?” Ka‘ab menjawab: “Adapun Idris, sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadanya, ‘Aku akan mengangkat untukmu setiap hari amalan yang setara dengan amalan seluruh keturunan Adam. Maka, hendaklah engkau berusaha untuk menambah amalmu.’

Lalu datanglah seorang sahabatnya daripada kalangan malaikat. Idris berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku hal ini. Maka, mohonkanlah kepada Malaikat Maut agar menangguhkan ajalku supaya aku dapat menambah amalanku.’ Malaikat tersebut pun membawanya di antara kedua sayapnya, lalu naik bersamanya ke langit. Ketika mereka berada di langit keempat, mereka bertemu dengan Malaikat Maut yang sedang turun.

Malaikat itu berbicara dengan Malaikat Maut mengenai permintaan Idris. Maka Malaikat Maut bertanya: ‘Di mana Idris?’ Dia menjawab, ‘Dia berada di atas belakangku.’ Malaikat Maut berkata: ‘Sungguh menakjubkan! Aku telah diutus untuk mencabut nyawa Idris di langit keempat, dan aku bertanya-tanya, bagaimana aku dapat mencabut nyawanya di langit keempat sedangkan dia berada di bumi?’ Maka dicabutlah nyawanya di situ. Itulah maksud firman Allah Ta‘ala: ‘Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi’ (Maryam: 57).”

Riwayat al-Tabari dalam Tafsir-nya (15/562)

Sanad riwayat ini juga sahih hingga ke Ibn Abbas, dengan semua perawi adalah perawi yang thiqah. Mankala Hilal bin Yasaaf dan Syamir bin Atiyyah dinilai sebagai perawi yang thiqah oleh Ibn Ma’in dalam al-Jarh wa al-Ta’dil li Ibn Abi Hatim (9/72) dan (4/376).

Riwayat Ketiga:

Diriwayatkan oleh Ibn Wahb dalam Tafsir al-Quran min al-Jami’ (62) yang turut menyebutkan Nabi Idris diangkat ke langit oleh malaikat, dan Malaikat Maut mencabut nyawa Baginda di langit keempat, dengan persetujuan Allah SWT. Hal ini sebagaimana riwayat daripada ‘Imarah bin Isa, daripada Yunus bin Yazid, daripada seseorang yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang berkata kepada Ka’ab:

أَخْبِرْنِي عَنْ سِتِّ آيَاتٍ فِي القُرْآنِ لَمْ أَكُنْ عَلِمْتُهُنَّ ، وَلَا تُخْبِرْنِي عَنْهُنَّ إِلَّا مَا تَجِدُ فِي كِتَابِ اللهِ المُنَزَّلِ: مَا سِجِّينٌ ، وَمَا عِلِّيُّونَ ، وَمَا سِدْرَةُ المُنْتَهَى ، وَمَا جَنَّةُ الْمَأْوَى ، وَمَا بَالُ أَصْحَابِ الرَّسِّ ، ذَكَرَهُمُ اللهُ فِي الكِتَابِ ، وَمَا بَالُ طَالُوتَ ، رَغِبَ عَنْهُ قَوْمُهُ ، وَمَا بَالُ إِدْرِيسَ ذَكَرَهُ اللهُ فَقَالَ: رَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا ؟

قَالَ: كَعْبٌ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا أُخْبِرُكَ عَنْهُنَّ إِلَّا بِمَا أَجِدُ فِي كِتَابِ اللهِ المُنَزَّلِ :

أَمَّا (سِجِّينٌ)، فَإِنَّهَا شَجَرَةٌ سَوْدَاءُ تَحْتَ الأَرْضِينَ السَّبْعِ، مَكْتُوبٌ فِيهَا اسْمُ كُلِّ شَيْطَانٍ، فَإِذَا قُبِضَتْ نَفْسُ الْكَافِرِ عُرِجَ بِهَا إِلَى السَّمَاءِ فَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ دُونَهَا، ثُمَّ تُرْمَى إِلَى سِجِّينٍ، فَذَلِكَ سِجِّينٌ.

وَأَمَّا (عِلِّيُّونَ)، فَإِنَّهُ إِذَا قُبِضَتْ نَفْسُ الْمُسْلِمِ عُرِجَ بِهَا إِلَى السَّمَاءِ، وَفُتِحَتْ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، حَتَّى يَنْتَهِي إِلَى الْعَرْشِ، فَيُكْتَبُ لَهُ نُزُلُهُ وَكَرَامَتُهُ، فَذَلِكَ عِلِّيُّونَ.

وَأَمَّا (سِدْرَةُ المُنْتَهَى)، فَإِنَّهَا شَجَرَةٌ عَنْ يَمِينِ الْعَرْشِ، انْتَهَى إِلَيْهَا عِلْمُ العُلَمَاءِ، فَلَا يَعْلَمُ العُلَمَاءُ مَا وَرَاءَ تِلْكَ السِّدْرَةِ.

وَأَمَّا (جَنَّةُ الْمَأْوَى)، فَإِنَّهَا جَنَّةٌ يَأْوِي إِلَيْهَا أَرْوَاحُ الْمُؤْمِنِينَ.

وَأَمَّا (أَصْحَابُ الرَّسِّ)، فَإِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا مُؤْمِنِينَ يَعْبُدُونَ اللهَ، فِي مُلْكِ جَبَّارٍ لَا يَعْبُدُ اللهَ، فَخَيَّرَهُمْ فِي أَنْ يَكْفُرُوا أَوْ يَقْتُلَهُمْ، فَاخْتَارُوا الْقَتْلَ عَلَى الْكُفْرِ، فَقَتَلَهُمْ، ثُمَّ رَمَى بِهِمْ فِي قَلِيبٍ، فَبِذَلِكَ سُمُّوا أَصْحَابَ الرَّسِّ.

وَأَمَّا (طَالُوتُ)، فَإِنَّهُ كَانَ مِنْ غَيْرِ السِّبْطِ الَّذِي الْمُلْكُ فِيهِ، فَبِذَلِكَ رَغِبَ قَوْمُهُ عَنْهُ.

وَأَمَّا (إِدْرِيسُ)، فَإِنَّهُ كَانَ يُعْرَجُ بِعَمَلِهِ إِلَى السَّمَاءِ فَيَعْدِلُ عَمَلُهُ جَمِيعَ عَمَلِ أَهْلِ الْأَرْضِ، فَاسْتَأْذَنَ فِيهِ مَلَكٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ أَنْ يُؤَاخِيَهُ، فَأَذِنَ اللهُ لَهُ أَنْ يُؤَاخِيَهُ، فَسَأَلَهُ إِدْرِيسُ: أَيُ أَخِي، هَلْ بَيْنَكَ وَبَيْنَ مَلَكِ الْمَوْتِ إِخَاءٌ، فَقَالَ نَعَمْ، ذَلِكَ أَخِي دُونَ الْمَلَائِكَةِ، وَهُمْ يَتَآخَوْنَ كَمَا يَتَآخَى بَنُو آدَمَ، قَالَ: هَلْ لَكَ أَنْ تَسْأَلَهُ لِي كَمْ بَقِيَ مِنْ أَجَلِي لِكَيْ أَزْدَادَ فِي الْعَمَلِ ؟ قَالَ: إِنْ شِئْتَ سَأَلْتُهُ وَأَنْتَ تَسْمَعُ. قَالَ: فَجَعَلَهُ الْمَلَكُ تَحْتَ جَنَاحِهِ حَتَّى صَعِدَ بِهِ إِلَى السَّمَاءِ، فَسَأَلَ مَلَكُ الْمَوْتِ: أَيُّ أَخِي، كَمْ بَقِيَ مِنْ أَجَلِ إِدْرِيسَ، قَالَ: مَا أَدْرِي حَتَّى أَنْظُرَ، قَالَ: فَنَظَرَ، قَالَ: إِنَّكَ تَسْأَلُنِي عَنْ رَجُلٍ مَا بَقِيَ مِنْ أَجَلِهِ إِلَّا طَرْفَةَ عَيْنٍ؛ قَالَ: فَنَظَرَ الْمَلَكُ تَحْتَ جَنَاحِهِ، فَإِذَا إِدْرِيسُ قَدْ قُبِضَ، وَهُوَ لَا يَشْعُرُ.

Maksudnya: “Beritahu aku tentang enam ayat dalam al-Quran yang aku tidak mengetahuinya, dan jangan engkau ceritakan kepadaku tentangnya melainkan apa yang engkau dapati dalam Kitab Allah yang diturunkan: apakah itu Sijjin, apakah itu Illiyyin, apakah itu Sidratul Muntaha, apakah itu Jannatul Ma’wa, apa kisah tentang Ashabul Rass, yang disebutkan Allah dalam kitab-Nya, dan apa kisah tentang Talut, mengapa kaumnya tidak menyukainya, dan apa kisah tentang Idris yang disebut oleh Allah, “Kami angkatnya ke tempat yang tinggi”?

Ka’ab berkata: “Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, aku tidak akan menceritakan tentang mereka kecuali apa yang aku dapati dalam Kitab Allah yang diturunkan:

Adapun (Sijjin), ia adalah sebatang pokok hitam di bawah tujuh lapis bumi. Padanya tertulis nama setiap syaitan. Apabila roh orang kafir dicabut, ia akan dinaikkan ke langit, tetapi pintu-pintu langit tertutup untuknya. Kemudian ia dilemparkan ke dalam Sijjin. Itulah Sijjin.

Adapun (Illiyyin), apabila roh orang Islam dicabut, ia akan dinaikkan ke langit, dan pintu-pintu langit dibuka untuknya, sehingga ia sampai ke Arasy, dan tertulis untuknya tempat tinggal dan kemuliaannya. Itulah Illiyyin.

Adapun (Sidratul Muntaha), ia adalah sebatang pokok di sebelah kanan Arasy. Ilmu para ulama berhenti di situ, dan mereka tidak mengetahui apa yang berada di sebalik Sidratul Muntaha itu.

Adapun (Jannatul Ma’wa), ia adalah syurga tempat roh-roh orang beriman berteduh.

Adapun (Ashabul Rass), mereka adalah kaum yang beriman dan menyembah Allah, hidup di bawah pemerintahan seorang raja yang zalim yang tidak menyembah Allah. Raja itu memberi mereka pilihan sama ada untuk kufur atau dibunuh. Mereka memilih dibunuh daripada kufur, lalu raja itu membunuh mereka dan mencampakkan mereka ke dalam perigi. Itulah sebabnya mereka dinamakan Ashabul Rass.

Adapun (Talut), dia bukan daripada suku yang berhak menerima kekuasaan, maka sebab itulah kaumnya tidak menyukainya.

Adapun (Idris), amalannya diangkat ke langit dan setara dengan amalan seluruh penduduk bumi. Seorang malaikat meminta izin untuk bersahabat dengannya, dan Allah mengizinkannya. Idris bertanya kepada malaikat itu: “Wahai saudaraku, adakah engkau mempunyai persahabatan dengan Malaikat Maut?” Malaikat itu menjawab, “Ya, dia saudaraku di antara para malaikat, mereka bersahabat sebagaimana manusia bersahabat.” Idris berkata, “Adakah engkau boleh bertanya kepadanya tentang berapa lama lagi usiaku agar aku dapat menambah amalan?” Malaikat itu menjawab, “Jika engkau mahu, aku boleh bertanya sambil engkau mendengar.” Lalu malaikat itu meletakkan Idris di bawah sayapnya dan terbang ke langit. Dia bertanya kepada Malaikat Maut, “Wahai saudaraku, berapa lama lagi umur Idris?” Malaikat Maut menjawab, “Aku tidak tahu, biarkan aku periksa dahulu.” Setelah melihat, Malaikat Maut berkata, “Engkau bertanya kepadaku tentang seorang lelaki yang tidak ada lagi tempoh hayatnya kecuali sekejip mata.” Ketika itu, malaikat melihat di bawah sayapnya dan mendapati Idris telah meninggal dunia tanpa dia menyedarinya.

Namun, sanad riwayat ini sangat lemah kerana terdapat perawi majhul dan juga perawi yang tidak dinamakan. Mereka yang majhul ialah Imarah bin ‘Isa, yang tidak ada seorang pun yang menuliskan berkenaan jarh dan ta’dilnya, dan yang tidak disebutkan adalah syeikh Yunus bin Yazid, di mana dia berkata “daripada seseorang yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas”

Riwayat ini juga telah diriwayatkan melalui jalan yang lemah daripada Ibnu Abbas dengan pendapatnya dalam menafsirkan ayat ini: bahawa dia diangkat ke langit yang keenam, lalu meninggal dunia di sana, tetapi tidak diceritakan kisahnya.

Riwayat ini dinyatakan oleh al-Tabari dalam Tafsir-nya (15/564) melalui jalur Muhammad bin Sa‘d bin Muhammad bin al-Hasan bin ‘Atiyah, ia berkata: “Ayahku menyampaikan kepadaku, dia berkata: ‘Bapa saudaraku menyampaikan kepadaku, dia berkata: ‘Ayahku menyampaikan daripada ayahnya, daripada Ibnu Abbas, firman Allah: وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا (Maryam: 57). Dia berkata: ‘Dia diangkat ke langit yang keenam, lalu meninggal dunia di sana.'”

Kesemua sanad-sanad ini lemah, berturutan dengan yang lemah. Di dalam sanadnya terdapat “Husain bin Hasan bin ‘Atiyah,” yang telah dilemahkan oleh Abu Hatim sebagaimana yang tercatat dalam al-Jarh wa al-Ta‘dil (3/48), dan Ibn Ma’in dalam al-Kamil li Ibn ‘Adi (3/273), serta al-Nasa’i dalam Tarikh Baghdad (8/552). Ibn Hibban juga berkata dalam al-Majruhin(1/246): “Dia adalah seorang yang munkar al-hadith; dia meriwayatkan daripada al-A’masy dan lain-lain perkara-perkara yang tidak dapat disandarkan kepadanya, seolah-olah dia mengubahnya dan mungkin juga memarfu’kan hadith yang mursal serta menyambungkan sanad hadith yang terputus. Tidak boleh dijadikan hujah dengan khabar daripadanya.” Al-Zahabi juga menyatakan dalam Diwan al-Dhu‘afa’(973): “Dia lemah seperti bapa-bapanya.”

Di dalam sanad ini juga terdapat “Hasan bin ‘Atiyah,” yang telah dilemahkan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (2/301), dia berkata: “Dia tidak begitu.” Abu Hatim juga berkata dalam al-Jarh wa al-Ta‘dil (3/26): “Lemah.” Ibn Hibban dalam al-Majruhin (1/234) berkata: “Dia seorang yang munkar al-hadith; aku tidak tahu kesalahan dalam hadithnya sama ada daripada dirinya atau daripada ayahnya atau daripada keduanya, kerana bapanya bukanlah seorang yang mempunyai apa-apa dalam hadith, dan kebanyakan riwayatnya adalah dari bapanya; maka dari sini, perkara ini menjadi tidak jelas dan mesti ditinggalkan.”

Adapun “‘Atiyah bin Sa‘d al-‘Aufi,” dia disepakati akan kelemahannya, sebagaimana yang dikatakan oleh al-Zahabi dalam Diwan al-Dhu‘afa’ (2843).

Riwayat Israiliyyat dalam Islam

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyatakan: “Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya” maksudnya ialah tiada kesempitan bagi kamu untuk bercakap tentang mereka; kerana sebelum ini, Nabi Muhammad SAW telah melarang untuk mengambil dan melihat tulisan-tulisan mereka. Kemudian, terjadinya kelonggaran dan keluasan dalam hal ini. Seolah-olah larangan tersebut berlaku sebelum penetapan hukum-hukum Islam dan kaedah-kaedah agama, kerana bimbang wujudnya fitnah. Namun, setelah apa yang dikhawatirkan itu hilang, maka dibenarkan untuk melakukan hal tersebut; kerana mendengar berita-berita yang berlaku pada zaman mereka adalah sesuatu yang diambil kira sebagai pengajaran. (Lihat Fath al-Bari, 6/498)

Secara umumnya Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan ia adalah banyak, atau dalam kalangan Nasrani. Seterusnya, Israiliyyatini juga terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama, Israiliyyat yang diakui dan dibenarkan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebenaran. Misalnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

جَاءَ حَبْرٌ مِنَ الأَحْبَارِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّا نَجِدُ: أَنَّ اللَّهَ يَجْعَلُ السَّمَوَاتِ عَلَى إِصْبَعٍ وَالأَرَضِينَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالمَاءَ وَالثَّرَى عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلاَئِقِ عَلَى إِصْبَعٍ، فَيَقُولُ أَنَا الـمَلِكُ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ تَصْدِيقًا لِقَوْلِ الحَبْرِ، ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ، وَالأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ، سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Salah seorang pendeta Yahudi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya kami mendapati bahawa Allah menjadikan langit di atas satu jari, bumi di atas satu jari, pohon-pohon di atas satu jari, air dan pasir di atas satu jari, dan semua manusia berada di atas satu jari, lalu Dia berkata: Aku adalah Raja.’ Maka Nabi SAW tertawa hingga tampak gigi gerahamnya membenarkan perkataan pendeta itu. Kemudian Rasulullah SAW membaca: ‘(Firman Allah SWT yang bermaksud): Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya — pada hari kiamat — dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan. [Surah al-Zumar: 67].’

Riwayat al-Bukhari (4811)

Keduanya, Israiliyyat yang diingkari dan didustakan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebatilan. Contohnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Jabir R.A, beliau berkata:

كَانَتِ اليَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata: ‘Jika seseorang menggauli isterinya dari belakangnya, maka anaknya akan dilahirkan juling.’ Maka turunlah ayat: {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ} (Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”) [Surah al-Baqarah: 223].”

Riwayat al-Bukhari (4528)

Ketiganya, Israiliyyat yang tidak diakui, mahupun diingkari oleh Islam, maka wajib bertawaqquf — yakni tidak membenarkan berita tersebut mahupun mengingkarinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

كَانَ أَهْلُ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Para Ahli Kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa ‘Ibrani, dan mereka menafsirnya menggunakan bahasa Arab bagi orang-orang Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan para ahli kitab dan janganlah pula kamu mendustakan mereka,’ dan katakanlah (wahai orang yang beriman akan firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami — yakni al-Quran. [Surah al-Baqarah: 136].’

Riwayat al-Bukhari (4485)

Walau bagaimanapun, menyampaikan atau membicarakan berkenaan perkara daripada jenis ini adalah dibolehkan, selagi mana tidak dibimbangi terjerumus dalam perkara haram, berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (3461)] Lebih-lebih lagi, kebiasaannya apa yang yang diriwayatkan daripada mereka berkenaan perkara tersebut — yakni daripada berita-berita Israiliyyat — langsung tidak memberi apa-apa manfaat mahupun faedah kepada agama seperti penentuan warna anjing ashab al-Kahfi dan seumpamanya. (Lihat Usul fi al-Tafsir, hlm. 67-69)

Kesimpulan

Kesimpulannya, kisah Nabi Idris wafat di langit ini merupakan kisah israiliyyat dan sanadnya sahih sampai kepada Ka’ab al-Ahbar, yang dahulunya seorang Yahudi yang kemudiannya memeluk Islam. Beliau adalah dari kalangan tabi’in dan banyak menyampaikan cerita-cerita Isra’iliyat.

Al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (3/489) berkata: “Ka’ab bin Mati’ al-Himyari al-Yamani, seorang alim, yang dahulunya seorang Yahudi sebelum memeluk Islam selepas kewafatan Nabi SAW. Beliau datang ke Madinah dari Yaman pada zaman pemerintahan Umar RA, dan bergaul dengan para sahabat Rasulullah SAW. Beliau menyampaikan kisah-kisah dari kitab-kitab Isra’iliyat dan mempelajari sunnah daripada para sahabat. Beliau adalah seorang Muslim yang baik dan kuat agamanya, serta termasuk golongan ulama yang mulia”.

Menceritakan tentang kisah Bani Israel dibolehkan, tanpa kita mempercayai atau menolaknya, kecuali terdapat makna yang bertentangan dengan syariat. Al-Qadhi Abu Bakar bin al-Arabi dalam al-Qabas fi Syarh Muwatta’ Malik ibn Anas (1/1050) berkata: “Setiap kata yang datang dari mereka di atas lisan mereka yang telah memeluk Islam dari kalangan ulama mereka boleh diterima, selagi mana ia tidak bertentangan dengan apa yang ada dalam syariat; inilah yang dimaksudkan dengan “Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya.”

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Malik berkata: “Maksudnya adalah dibolehkan bercerita dari mereka tentang perkara baik; namun perkara yang diketahui dustanya, tidak boleh. Dikatakan juga: maksudnya adalah ceritakan daripada mereka seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadith sahih. Dikatakan juga: maksudnya adalah dibolehkan menceritakan daripada mereka dengan apa cara sekalipun sama ada terputus atau sampai kepada kita, kerana sukar untuk mendapatkan penyambungan dalam bercakap tentang mereka; berbeza dengan hukum-hukum Islam yang mana pada dasarnya perlu disampaikan dengan sanad yang bersambung, dan tidak ada keuzuran padanya kerana ia masih dekat dengan zaman Rasulullah untuk sanadnya bersambung.

Imam al-Syafi‘i berkata: Diketahui bahawa Nabi SAW tidak membenarkan bercakap dengan pembohongan; maka maksudnya ialah bercakaplah tentang Bani Israil dengan apa yang tidak kamu ketahui pembohongannya, dan jika ada yang kamu boleh terima sebagai benar, tiada halangan bagi kamu untuk bercakap tentang mereka. Ia serupa dengan sabda Rasulullah: “Apabila Ahli Kitab menceritakan kepada kamu sesuatu, maka jangan kamu benarkan dan jangan pula kamu dustakan mereka”; dan tiada keizinan atau larangan untuk bercakap mengenai perkara yang jelas kebenarannya.  (Lihat Fath al-Bari, 6/498)

Kisah ini disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim (5/240), lalu beliau berkata: “Ini adalah daripada kisah Israiliyat yang diriwayatkan oleh Ka‘ab al-Ahbar, sebahagiannya ada kejanggalan, dan Allah lebih mengetahui.”

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (6/375) berkata: “Berkenaan perihal Nabi Idris diangkat ke langit dalam keadaan hidup: ia tidak terbukti melalui riwayat yang kuat.”

Imam al-Tabari meriwayatkan bahawa Ka‘ab berkata kepada Ibn ‘Abbas mengenai firman Allah Taala: (Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi), bahawa Nabi Idris meminta seorang sahabatnya dari kalangan malaikat untuk membawanya, maka malaikat itu membawanya di antara kedua sayapnya, lalu naik bersamanya. Ketika mereka sampai di langit keempat, malaikat maut bertemu dengan mereka dan berkata kepada malaikat tersebut, “Aku ingin kamu memberitahuku berapa lama lagi Idris akan hidup?” Malaikat itu menjawab, “Di mana Idris?” Ia berkata, “Dia bersamaku.” Malaikat maut berkata, “Ini sungguh ajaib; aku diperintahkan untuk mencabut rohnya di langit keempat, dan aku tertanya-tanya bagaimana mungkin sedangkan dia berada di bumi.” Maka rohnya dicabut di situ, dan inilah maksud firman Allah Taala: (Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi). Ini adalah dari Israiliyat. Dan Allah lebih mengetahui kebenarannya.

Justeru, kami katakan bahawa istilah Israiliyyat digunakan oleh ulama tafsir dan hadith terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan yang dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah masuk ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam. Walaupun tidak semua kisah di dalam tafsir al-Quran telah dipengaruhi riwayat Israiliyyat, namun, riwayat Israiliyyat yang telah menyusup ke dalam tafsir al-Quran sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam. Lalu pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mengelakkan percampuran antara Israiliyyat dan kisah-kisah di dalam al-Quran. Antaranya para ulama membuat garis panduan terhadap penerimaan dan penolakan terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat, menekankan kesedaran penyebaran riwayat Israiliyyat yang sahih serta menjelaskan kedudukan sanad riwayat tersebut, isi yang terkandung di dalamnya dan lain-lain.

Oleh itu, jelaslah bahawa Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Kemudian, cara berinteraksi dengannya pula hendaklah dilihat dari sudut statusnya, sama ada ia diakui oleh Islam maka ia dikira sebagai suatu kebenaran, atau ia diingkari oleh Islam maka ia adalah suatu kebatilan, atau ia tidak dibenarkan mahupun diingkari maka dalam situasi ini, kita hendaklah bertawaqquf dan boleh menyampaikannya selama mana tidak bimbang terjerumus ke dalam perkara yang haram atau dilarang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahua`lam.