Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah harta haram juga diwajibkan zakat atau tidak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Pensyaratan pemilikan bagi tujuan kewajipan zakat, mengecualikan harta yang diperolehi dengan cara yang keji dan haram. Sebagai contoh, harta yang diperoleh dari bentuk rampasan, kecurian, penipuan, rasuah, riba, monopoli dan lain-lainnya yang diperoleh dengan cara-cara yang batil. Ini termasuk seperti kebanyakan harta sultan yang zalim dan pemerintah yang jahat. Begitu juga pengamal riba dan perompak pada skala besar mahupun kecil. Pada hakikatnya golongan yang disebut tadi tidak memiliki harta yang dirampas ini, sekalipun mereka mencampurkan ke dalam harta yang halal sehingga tidak dapat dibezakan.
Para ulama berkata bahawa zakat tidak wajib ke atas harta kekayaan yang haram walaupun mencukupi nisab. Ini kerana harta itu wajib dikembalikan kepada yang berhak atau kepada ahli warisnya sekiranya diketahui. Sekiranya tidak diketahui, maka harta tersebut boleh diberikan kepada fakir miskin. Dalam hal ini seluruh harta tersebut wajib disedekahkan, bukan sebahagiannya sahaja. Terdapat sebuah hadis sahih mengenai hal ini:
لَا يَقْبَلُ اللهُ صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ
Maksudnya: “Tidak diterima sedekah (zakat) dari harta ghulul.”
Riwayat Muslim (224) dan Ahmad (4969)
Ghulul adalah harta yang diperoleh secara tidak sah oleh pelakunya yang diambil daripada harta awam seperti harta perolehan perang (ghanimah), dan seumpamanya.
Para ulama juga memberikan alasan tidak diterima zakat daripada sumber yang haram kerana ia bukanlah milik orang yang mengeluarkannya. Bahkan orang itu sendiri tidak boleh mengelola harta tersebut. Sedekah adalah salah satu bentuk hak mengurus, maka jika diterima daripadanya nescaya ia memberi kefahaman bahawasanya perbuatan itu adalah disuruh oleh syariat. Jika sesuatu itu disuruh dalam masa yang sama ianya juga ditegah, maka perkara ini adalah mustahil berlaku. (Lihat Fath al-Bari, 3/180)
Natijahnya, seseorang itu tidak dianggap kaya dengan harta yang haram, sekalipun harta tersebut bertimbun-timbun banyaknya dan telah lama dalam pegangannya. Sehubungan dengan itu, ulama fiqh seperti Imam al-Sarakhsi dan selainnya daripada fuqaha Hanafiyyah mengharuskan pemberian sedekah kepada pemerintah yang zalim dan mereka dianggap sebagai orang miskin, kerana harta yang ada pada mereka adalah harta rakyat yang dimiliki secara haram dan mereka mempunyai komitmen yang berlebihan daripada harta yang dimiliki. Seandainya harta itu dikembalikan kepada orang yang berhak, maka mereka tidak memiliki apa-apa dan menjadi miskin.
Menurut Muhammad bin Maslamah bahawa diharuskan memberi sedakah (zakat) kepada Ali bin Isa bin Mahan yang merupakan seorang pemerintah Khurasan yang dahulunya pernah menjawat jawatan gabenor Kota Balkh, dan beliau wajib membayar kaffarah sumpah. Beliau lantas bertanya kepada ulama dan difatwakan bahawasanya beliau perlu berpuasa selama tiga hari. Lalu dia mula menangis dan berkata dengan penuh adab sopan: “Mereka mengatakan kepadaku bahawasanya komitmen (bebanan) ketasmu adalah lebih banyak dari harta yang dimiliki. Maka, kaffarah kamu adalah kaffarah sumpah bagi kategori orang yang tidak memiliki harta.
Al-Kamal bin al-Humam berpendapat bahawasanya apabila mereka memiliki harta secara tidak sah, lalu dicampurkan dengan yang halal adalah salah satu bentuk penggunaan (istihlak) kerana tidak mungkin harta yang dicampur itu akan dapat dibezakan di sisi Imam Abu Hanifah, maka ketika itu dia dianggap telah memilikinya dan wajib menjaminnya. Sehinggakan mereka menyatakan: Wajib ke atas mereka mengeluarkan zakat ke atas harta tersebut dan boleh diwariskan kerana tidak menjejaskan sekalipun berlaku percampuran kerana harta tersebut dalam tanggungjawab mereka. Hal ini kerana orang yang menanggung hutang dianggap fakir berdasarkan pegangan hartanya.
Pendirian yang kami ambil setelah meneliti fatwa-fatwa yang bersifat tegas lagi benar ini, bahawasanya harta haram tidak boleh diberi milik kepada yang bukan haknya dan tidak sewajarnya diambil dengan senang hati begitu juga tidak boleh diwariskan sama sekali.
Adapun perbuatan bersedekah kepada penguasa yang zalim adalah tidak dibolehkan kerana pada hakikatnya mereka adalah miskin dan mempunyai bebanan hutang. Ini adalah kerana orang miskin yang terus melakukan maksiat tidak boleh diberi bantuan dari zakat. Begitu juga dengan orang yang berhutang kerana melakukan maksiat juga tidak boleh diberi bantuan zakat selagimana belum bertaubit. Perkara ini akan dijelaskan secara mendalam pada bab “Asnaf Penerima Zakat.” (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 112 – 114)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”