Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana tafsir hadith: “Sesungguhnya Sedekah Diwajibkan Ke atas Orang Kaya”?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الصَّدَقَةُ عَنْ ظَهْرِ غِنًى
Maksudnya: “Sesungguhnya zakat hanya diwajibkan ke atas orang kaya.”
Riwayat Ahmad (10551). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakannya sebagai sahih dalam takhrij al-Musnad.
Hadis lain lagi, daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهُ لا صَدَقَةَ إِلا عَنْ ظَهْرِ غِنًى
Maksudnya: “Tidak ada sedekah yang wajib (zakat) selain ke atas orang yang ternyata kaya.”
Riwayat Ahmad (7155). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan sanadnya sahih.
Imam al-Bukhari meriwayatkan pula hadis itu secara mu’allaq (tanpa menyebut sanad penuh) dengan teks seperti di atas dan mengulasnya dalam Sahih Bukhari pada perbahasan kitab “al-Wasaya (wasiat)” daripada kitab mengenai “Zakat” dan beliau menyebutkan bahawasanya zakat hanya dibebankan ke atas orang kaya. Orang yang mengeluarkan zakat sedang ia atau keluarganya memerlukannya, atau ia mempunyai hutang, maka hutang itu lebih penting dibayar terlebih dahulu daripada zakat.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam huraiannya mengulas pendapat Bukhari dengan berkata: “Imam Bukhari seolah-olah berpendapat dalam mentafsirkan hadis di atas bahawa syarat seseorang wajib zakat adalah dia tidak berhajatkan harta itu untuk kegunaan peribadi dan untuk orang yang di bawah tanggungannya. Tidak syak lagi bahawasanya yang dimaksudkan dengan sedekah itu adalah zakat, sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 133 – 134)
Al-’Aini berkata: “Dan perkataan zhahr (الظهر) disandarkan kepada ghina (غِنًى) yang bererti kekayaan, dengan baris bawah pada huruf ghain, iaitu lawan kepada kemiskinan.
Ibn Qurqul berkata: ‘Antara sedekah terbaik ialah yang diambil dari ‘ظَهْرِ غِنًى’ (kekayaan yang mencukupi),’ iaitu yang tidak menyebabkan kemiskinan. Dikatakan bahawa maksudnya ialah bersedekah dari lebihan harta setelah mencukupi keperluan diri dan keluarga.
Al-Khattabi pula menyatakan, ‘Sedekah yang paling utama ialah yang dikeluarkan seseorang daripada hartanya setelah ia menyimpan sebahagian yang mencukupi untuk keluarganya.’ Oleh itu, Nabi SAW juga menyebut, ‘وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ’ (‘Mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.’)
Menurut Muhyi al-Sunnah, kekayaan yang dimaksudkan ialah kekayaan yang memberikan kekuatan bagi menghadapi kesulitan hidup. Sesiapa yang bersedekah ketika dirinya atau keluarganya dalam keperluan, atau ketika dia mempunyai hutang, maka keutamaan adalah untuk membayar hutang. Hutang lebih utama untuk dilunaskan berbanding sedekah, pembebasan hamba, atau pemberian hadiah. Ia merupakan dalil bahawa seseorang tidak berhak menghabiskan hartanya dengan mengabaikan hak orang lain.
Semua ini adalah penjelasan mengenai sabda Nabi, ‘لا صَدَقَةَ إِلا عَنْ ظَهْرِ غِنًى’ (‘Tidak ada sedekah kecuali dari zhahr ghina,’) yang bermaksud syarat untuk bersedekah ialah tidak dalam keadaan memerlukan, tidak juga keluarganya memerlukan, dan tidak mempunyai hutang. Jika dia mempunyai hutang, maka wajib baginya membayar hutangnya terlebih dahulu, kerana melunaskan hutang lebih utama daripada bersedekah, memerdekakan hamba, atau memberi hadiah. Ini kerana kewajiban mendahulukan fardu sebelum sunat, dan seseorang tidak dibenarkan membinasakan diri dan keluarganya demi menghidupkan orang lain. Sebaliknya, kewajiban utama adalah memastikan kehidupan diri dan keluarganya terlebih dahulu sebelum membantu orang lain.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 8/293)
Guru kami, Syeikh ‘Atiyyah Salim Rahimahullah berkata: Nabi bersabda: ‘ما كان عن ظهر غنى’ (“Apa yang diberikan daripada lebihan harta yang tidak diperlukan,”) yang bermaksud kiasan kepada harta lebih yang tidak diperlukan oleh seseorang. Ini memberi kefahaman bahawa seseorang perlu memulakan sedekah dengan dirinya sendiri, kerana sedekah yang terbaik ialah yang diberikan daripada harta lebih yang tidak diperlukan. Orang pertama yang akan merasakan kecukupan itu adalah si pemberi sedekah; apabila seseorang memiliki harta yang mencukupi untuk keperluannya, lebihan daripadanya boleh dijadikan sedekah. Ini bertujuan untuk menjaga kesejahteraan hidup dan jiwa pemberi sedekah.
Dan sabda Nabi: “Yang terbaik (خَير)”, ini adalah dalam sighah al-tafdhil (bentuk kata superlatif) yang mana huruf hamzahnya dihilangkan; asalnya ialah “أَخْيَر (akhyar)”, dan kata seumpamanya ialah “شَرٌّ (syarr)”, yang asalnya ialah “أَشَرّ (asyar),” tetapi hamzahnya dihilangkan bagi memudahkan sebutan kerana penggunaannya yang kerap. Oleh itu, sedekah yang terbaik adalah yang diberikan apabila pemberi sedekah memiliki lebihan harta, yakni ketika dia merasa cukup dengan dirinya sendiri.
Begitu juga, zakat hanya diwajibkan atas harta lebih yang tidak diperlukan untuk keperluan sepanjang tahun, kerana ia hanya dikenakan ke atas orang yang memiliki harta yang mencukupi (nisab) dan yang cukup sepanjang tahun. Hal ini juga berlaku untuk sedekah sunat. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram oleh Syeikh ‘Atiyyah Salim, 2/370)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”