Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan milik sempurna yang mewajibkan zakat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Maksudnya: “Pungutlah zakat dari kekayaan mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Harta pada hakikatnya adalah milik Allah SWT. Dialah yang menciptakannya dan mengurniakannya kepada manusia. Oleh sebab itu, al-Quran menjelaskan hakikat asal kepemilikan harta, sama ada dengan menegaskan hubungan harta itu dengan pemiliknya yang sebenar iaitu Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ
Maksudnya: “Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.”
(Surah al-Nur: 33)
Firman Allah SWT:
أَنفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُم
Maksudnya: “Infaqlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu.”
(Surah al-Baqarah: 254)
Firman Allah SWT:
يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ
Maksudnya: “Mereka yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran: 180)
Begitu juga seumpamanya daripada ayat-ayat al-Quran yang menerangkan kedudukan manusia berkenaan harta benda iaitu peranannya sebagai wakil, atau yang diberikan amanah (kuasa) mengurus harta, atau pemegang amanah. Allah SWT berfirman:
وَأَنفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ
Maksudnya: “Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil.”
(Surah al-Hadid: 7)
Allah SWT merupakan pemilik harta kekayaan yang sebenarnya kerana Dialah yang mengurniakan hamba-hambaNya kekayaan bertujuan memuliakan mereka sebagai bentuk kurniaan, ataupun sebagai ujian kepada manusia dengan nikmat yang diberikan, agar dapat merasakan bahawa mereka dimuliakan oleh Allah sehingga dijadikan sebagai khalifahNya dan supaya memiliki rasa tanggungjawab tentang apa yang dikurniakan dan diamanahkan kepada mereka. Perkara ini digambarkan seperti seorang ayah memberikan kepada anaknya sebahagian wang supaya anak itu merasakan siapa dirinya, melatih supaya mereka berdikari dan kemudian mengujinya. Adakah anak itu memang dapat dipercayai dan dapat mengelola dengan baik atau adakah anak itu menyeleweng dan berakhlak tidak baik (pengurusan yang teruk)? Bagi zat Allah SWT mempunyai permisalan yang agung.
Dalam al-Quran, kita mendapati ayat-ayat yang menyandarkan harta kepada manusia walhal sesungguhnya ia adalah harta Allah SWT. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu.”
(Surah al-Munafiqun: 9)
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian.”
(Surah al-Taghabun: 15)
Firman Allah SWT:
يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ
Maksudnya: “Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini).”
(Surah al-Humazah: 3)
Firman Allah SWT:
مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ
Maksudnya: “Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.”
(Surah al-Masad: 2)
Firman Allah SWT:
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
(Surah al-Zariyat: 19)
Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Maksudnya: “Pungutlah zakat dari kekayaan mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Firman Allah SWT:
فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ
Maksudnya: “Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati (terpesona) kepada harta benda dan anak-anak mereka.”
(Surah al-Taubah: 55)
Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا
Maksudnya: “Dan dirikanlah (sempurnakanlah) sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas).”
(Surah al-Muzzammil: 20)
Dan Allah berfirman:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari golongan yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.”
(Surah al-Taubah: 111)
Al-Hasan al-Basri mengatakan, “Allah membeli jiwa-jiwa mereka yang Dia sendiri menciptakannya dan meminjam kekayaan yang Dia sendiri kurniakannya.”
Walaubagaimanapun yang dimaksudkan dengan milik sempurna di sini bukanlah pemilikan yang hakiki, kerana pemilikan hakiki hanyalah di sisi Allah SWT. Yang dimaksudkan dengan pemilikan di sini hanyalah kawalan, hak untuk mengurus dan pemilikan khusus yang diberikan Allah SWT kepada manusia.
Justeru, makna kepemilikan sesuatu oleh manusia itu, bererti dia paling layak untuk mengambil manfaat sesuatu harta tersebut sama ada dengan penggunaan fizikal ataupun manfaatnya dari sudut lain. Ini dapat dilakukan melalui cara-cara pemilikan yang menepati syarak, misalnya melalui pekerjaan, ikatan kontrak, mendapat warisan, dan lain-lain. Pemilikan seperti itu perlu bertepatan dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Rahsia di sebalik pemilikan hak kepada manusia untuk memiliki sesuatu adalah seperti ulasan oleh Hakim al-Islam di India bernama Syeikh Ahmad Abdul Rahim al-Dihlawi yang berikut:
“Pada saat Allah SWT memberi kebenaran kepada manusia untuk mengambil manfaat segala yang ada di bumi, manusia banyak berbalah. Oleh itu, adalah penting untuk membuat peraturan bagi mengelakkan seseorang itu menjejaskan apa yang telah dimiliki oleh orang yang terdahulu daripadanya dan tidak membawa kepada kemudaratan. Bumi ini sesungguhnya umpama sebuah masjid yang menjadi tempat berhenti para musafir, ada yang datang terlebih dahulu dan ada yang datang kemudian. Hak mereka adalah sama, namun siapa yang sampai terlebih dahulu haknya diutamakan. Justeru maksud pemilikan sesuatu oleh manusia adalah bahawasanya dia lebih berhak menggunakan sesuatu itu daripada orang lain. (Lihat Hujjatullah al-Balighah, 2/640)
Daripada mukadimah di atas kita dapat mengetahui perkara yang dimaksudkan dengan milik sempurna. Milik sempurna adalah istilah fiqh yang terdiri dari dua komponen, pemilikan dan sempurnanya pemilikan itu. Pemilikan menurut terminologi Bahasa Arab adalah infinitif (kata nama terbitan) yang bermaksud “menguasai dan dapat menggunakannya sesuai dengan pengertian yang terdapat di dalam kitab Al-Qamus. Di dalan kamus al- Mu’jam al-Wasit disebutkan bahawasanya memiliki sesuatu membawa maksud menguasai dan hanya dia yang dapat menguruskannya.
Pengertian dari segi bahasa bertepatan dengan pengertian istilah syarak yang digunakan oleh ulama fiqh. Al-Kamal bin al-Humam dalam kitab al-Fath menjelaskan pemilikan itu sebagai, “Keupayaan menguruskan sesuatu sebagai haknya, melainkan terdapat sesuatu yang menghalang, dengan maksud dia menguasainya dari awal dan bukannya diambil daripada orang lain.” (Lihat Mu’tamar al-Awwal li Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah, hlm. 99)
Al-Qarafi dalam kitab al-Furuq mentakrifkan pemilikan itu sebagai ketentuan hukum syarak yang diandaikan kewujudannya pada barang atau manfaat yang disandarkan kepada seseorang lalu membolehkannya mengambil manfaat sama ada bentuk fizikalnya atau manfaat sampingan yang lain, atau gantian daripadanya selagi tidak terdapat penghalang dari perkara tersebut. Sadr al-Syariah dalam kitab Syarh al-Wiqayah mentakrifkan pemilikan ialah, “Hubungan yang berdasarkan hukum antara seseorang dengan sesuatu benda yang membolehkan dia secara mutlak untuk mengelolanya dan menghalang orang lain dari menguruskannya.” (Lihat al-Bahr al-Raiq, 2/218)
Semua definisi di atas mengandungi pengertian yang tersendiri dan berasingan dengan sesuatu yang bertepatan dengan pengertian yang terkandung dalam kamus-kamus Bahasa Arab. Pengamal undang-undang juga mengatakan pengertian yang seumpama itu. Misalnya seperti yang dikatakan sebahagian mereka, bahawasanya pemilikan adalah “hak yang membolehkan seseorang mempergunakan dan mengambil seluruh manfaat yang boleh dicapai, sama ada berkekalan atau sementara.
Justeru, makna istilah “milik sempurna” di atas, bermaksud harta itu harus berada di bawah penguasaan (kawalan) dan di dalam kekuasaannya, atau seperti yang dinyatakan oleh sebahagian fuqaha, “bahawasanya harta itu perlu berada di tangannya, tidak terdapat hak orang lain di dalamnya, boleh menguruskan dengan kehendaknya, dan faedahnya dapat dinikmati. Oleh kerana itu mereka berpendapat bahawasanya seorang peniaga tidak wajib zakat apabila barang yang dibelinya belum diterima kerana belum sampai di tangannya, begitu juga keadaan barang yang dirampas dan hutang yang diingkari sekalipun barang itu dikembalikan kepada pemiliknya, berbeza dengan Ibn Sabil yang tetap diwajibkan zakat kerana dia mempunyai wakil yang boleh menguruskan hartanya. Begitu juga antara sebab lain yang menghalang kewajipan zakat adalah penggadaian, kerana barang yang digadaikan berada di tangan yang pemegang pajak (gadaian) dan tidak lagi berada di tangan pemiliknya. (Lihat al-Bahr al-Raiq, 2/218)
Sebahagian fuqaha mensyaratkan perlu ada sifat penguasaan hakiki secara menyeluruh dalam pentakrifan milik sempurna itu. Misalnya mazhab Zaidiyyah mensyaratkan perlu ada status penguasaan nisab secara hakiki yang berlaku sepanjang tahun. Ini bermaksud harta itu berada di tangan pemiliknya, dia mengetahui tempatnya, tiada penghalang untuk mendapatkannya, dalam tangan orang lain dengan izin daripada pemilik dan orang lain itu merupakan seorang yang terpecaya, atau harta tersebut masih dalam status jagaan, iaitu dalam status yang boleh diharapkan kembali.
Misalnya barang itu tidak diketahui kedudukannya kerana hilang, tetapi dipercayai dapat ditemukan atau mempunyai harapan untuk kembali. Boleh jadi barang itu dirampas tetapi diyakini (ada harapan) akan kembali atau boleh mendapat gantiannya. Termasuk dalam kategori ini juga barang yang disimpan tetapi diingkari oleh penyimpan, akan tetapi pemiliknya yang sebenar mempunyai bukti yang memungkinkan barang simpanan tersebut dapat diperoleh kembali. Harta yang bersifat seumpama ini adalah termasuk dalam kategori harta yang dapat diharapkan kembali kepada pemiliknya. Tetapi apabila harta itu tidak sempurna penguasaannya dan tidak dapat diharapkan kembali, maka zakat tidak diwajibkan walaupun harta itu kembali kepadanya semula setelah beberapa tahun setelah berada di luar kawalannya. Perkiraan haul hartanya akan dikira semula (bermula perkiraan baru) setelah barang itu kembali kepada pegangannya. (Lihat Syarh al-Azhar, 1/452; Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/103 – 109)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”