#7380: Menjaga Wanita Bersalin Anak Luar Nikah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum saya menjaga seorang wanita yang baru sahaja melahirkan anak luar nikah? Dia masih mempunyai ibu bapa, tetapi mereka tidak mahu menjaganya kerana takut diketahui oleh jiran tetangga.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kita sedia maklum, melakukan hubungan luar nikah itu merupakan suatu perbuatan yang ditegah oleh agama, sebagaimana yang jelas dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Betapa besarnya dosa berzina ini sehingga dinukilkan sebuah kalam dari Imam Ahmad, katanya: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar setelah pembunuhan selain daripada zina.” Beliau berhujjah dengan hadith yang thabit daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Seorang penzina yang melakukan zina tidak beriman (dengan iman yang sempurna) ketika dia sedang berzina.”

Riwayat al-Bukhari (6782) dan Muslim (57)

Hal yang demikian kerana, zina ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada si pelaku tersebut sahaja, bahkan kepada anak luar nikah yang dikandungi tersebut. Setiap anak itu mempunyai hak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapanya. Akan tetapi, apabila nafsu telah mendahului akal yang sejahtera, maka jalan yang dapat diambil adalah berusaha kembali kepada Allah SWT dengan memohon pengampunan dari-Nya serta membesarkan anak tersebut dengan memberikan hak yang selayaknya.

Kami memuji usaha saudari bertanya untuk menghulurkan bantuan kepada wanita tersebut, semoga dia menginsafi keterlanjuran dan kesilapan yang telah dilakukannya, dan semoga Allah SWT membalas sebaik-baik ganjaran buat saudari.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, menjaga wanita yang melahirkan anak luar nikah ini bukanlah sebuah kesalahan, akan tetapi sebaiknya wanita yang hamil luar nikah tersebut ditempatkan di pusat jagaan yang sarat dengan pengisian agama agar mereka kembali ke landasan Islam sebenar. Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, terdapat Kompleks Dar-Assa‘adah, sebuah pusat perlindungan yang bertujuan memberi perlindungan kepada wanita-wanita yang sedang menghadapi masalah seperti mengandung anak luar nikah dan terjebak dalam masalah gejala sosial.[1]

Hal ini bertujuan untuk menjaga aibnya yang terdahulu, dan ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menutup (aib) seorang muslim, maka Allah akan menutupinya (aibnya) pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Di pusat jagaan, mereka akan diberikan pendedahan bagaimana untuk mereka menjaga dan memberikan hak yang cukup kepada anak. Dalam masa yang sama, pusat jagaan kebiasaannya akan disediakan pelatih-pelatih bertauliah untuk memastikan kemaslahatan wanita tersebut terjamin. Menurut sebuah kajian dalam Jurnal Pengajian Islam, wanita hamil luar nikah ini bukan sahaja berhadapan dengan kesukaran membesarkan anak semata-mata, malah mereka mengalami masalah dari aspek pemikiran. Mereka akan malu untuk berhadapan dengan masyarakat, bimbang akan penerimaan keluarga dan juga bimbang dengan masa depannya dalam alam kekeluargaan pula. Dari sudut emosi pula, mereka menghadapi kemurungan serta tekanan perasaan, sehingga ada yang tergamak membunuh diri. Dikhuatiri juga wanita tersebut boleh mengalami masalah ketagihan seksual yang di luar kawalan. (Lihat Implikasi Dialami Remaja Hamil Luar Nikah: Kajian di Pusat Pemulihan Akhlak Negeri Selangor, hlm. 76-81)

Zina: Dosa antara Hamba dengan Tuhan

Perkara ini penting untuk kami bawakan perbincangannya agar masyarakat faham bahawa keterlanjuran seseorang yang berzina itu merupakan suatu maksiat antara seseorang hamba dengan Allah SWT. Memahami perkara ini, kewajipan yang perlu difahami oleh si pelaku sendiri juga masyarakat sekeliling adalah menutup aib tersebut. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ آنَ لَكُمْ أَنْ تَنْتَهُوا عَنْ حُدُودِ اللَّهِ، مَنْ أَصَابَ مِنْ هَذِهِ الْقَاذُورَاتِ شَيْئًا، فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللَّهِ، فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِي لَنَا صَفْحَتَهُ، نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللَّهِ

Maksudnya: “Wahai manusia, sudah sampai masanya untuk kamu berhenti melanggar ketetapan Allah. Sesiapa yang telah melakukan perbuatan tercela ini, maka sembunyikanlah dengan perlindungan Allah, kerana sesiapa yang membongkarkan kepada kami perbuatannya, kami akan menegakkan hukum Allah ke atasnya.”

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (2/825)

Imam Abu ‘Umar Ibn ‘Abd al-Barr berkata, hadith ini juga sebagai isyarat kewajipan bagi seorang muslim untuk menutupi dirinya sendiri apabila dia telah melakukan suatu perbuatan keji. (Lihat al-Tamhid, 5/337)

Apabila si pelaku bertaubat dan ingin kembali kepada ajaran agama, maka masyarakat sekeliling memainkan peranan penting untuk memberikan semangat agar dia tidak berputus asa memohon pengampunan. Allah SWT berfirman:

قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”

(Surah al-Zumar: 53)

Kesimpulan

Memahami penjelasan yang kami bawakan di atas, sekiranya diyakini bahawa saudari mampu untuk memelihara aib dan menyampaikan pesanan agama kepada wanita tersebut, maka tidak menjadi masalah untuk saudari menjaganya selepas baru sahaja melahirkan anak luar nikah. Dari kaca mata manusiawi, wanita tersebut pastinya memerlukan sokongan dari sudut fizikal dan juga mental untuk melalui fasa berpantang serta proses membesarkan anak sebagai seorang ibu yang baik. Alangkah baiknya sekiranya ibu bapa wanita tersebut mengambil tanggungjawab memelihara wanita tersebut kerana mereka adalah sebaik-baik penyokong dan juga ahli keluarga yang paling dekat dengan jiwa anak.

Akan tetapi, sekiranya saudari khuatir tidak mampu memberikan kefahaman dan pencerahan yang jelas kepada wanita tersebut, kami mencadangkan inisiatif lain agar masalah wanita ini disalurkan ke mana-mana pusat jagaan wanita kerana mereka mempunyai pelatih-pelatih yang pastinya berpengalaman dalam menguruskan kes-kes begini.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua selaku insan juga muslim yang berpegang dengan hukum-hakam Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.maiwp.gov.my/portal-main/article2?id=dar-assaadah. Diakses pada 29 Oktober 2024.