#7381: Wanita Membotakkan Rambut Dengan Mesin Trim dan Bukannya Cukur Nipis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum wanita membotakkan rambut — bukan cukur nipis, sekadar menggunakan mesin trim dengan tetapan paling nipis? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan riwayat daripada Ali bin Abu Talib bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita daripada mencukur kepala mereka.

Riwayat al-Tirmizi (914) dan al-Nasa’i (5049)

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa larangan untuk mencukur rambut bagi wanita adalah sama ada ketika tahallul atau secara mutlak kecuali kerana keperluan mendesak (darurat). Ini kerana mencukur rambut bagi wanita adalah seumpama mencukur janggut bagi lelaki. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1832).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman RA, bahawa dia menyatakan:

وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Isteri-isteri Rasulullah SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga hanya sampai ke telinga (dan tidak lebih daripada itu).

Riwayat Muslim (320)

Imam al-Nawawi berpendapat, harus menipiskan rambut wanita namun tidak melebihi telinga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/4).

Di antara sebabnya wanita dilarang daripada membotakkan kepalanya kerana hal itu menyebabkan penyerupaannya dengan golongan lelaki. Hal ini kerana fitrah bagi seorang  wanita itu adalah untuk membiarkan rambutnya  panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang tidak sampai ke tahap menyerupai lelaki  iaitu tidak melebihi telinga. Ini kerana terdapat larangan jelas dalam agama bagi golongan wanita untuk menyerupai golongan lelaki dan begitulah juga sebaliknya.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam salah satu fatwanya menyebutkan, mencukur kepala bagi wanita jika kerana suatu keperluan mendesak adalah tidak mengapa, seperti terdapat luka di kepalanya yang tidak dapat dirawat kecuali dengan mencukur kepalanya, maka ini tidak mengapa. Akan tetapi jika tiada sebarang keperluan mendesak untuk melakukannya, maka para ulama berpendapat bahawa haram mencukur kepalanya kerana hal itu menyerupai lelaki. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).

Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ

Maksudnya: “Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Riwayat Ahmad (5/56)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan, ia adalah berkait dengan celaan terhadap golongan lelaki yang menyerupai golongan wanita dan golongan wanita yang menyerupai golongan lelaki. Hal ini ditunjukkan berdasarkan kepada penyebutan “laknat” dalam hadith. Penyerupaan golongan lelaki dengan golongan wanita adalah dalam aspek pakaian dan perhiasan yang hanya dikhususkan untuk golongan wanita seperti memakai tudung, kalung, rantai leher, gelang tangan, gelang kaki, anting-anting dan seumpamanya yang tidak boleh dipakai oleh golongan lelaki. Manakala penyerupaan golongan wanita dengan golongan lelaki pula adalah seperti memakai sandal nipis dan berjalan dengannya di tempat perhimpunan lelaki, memakai jubah, serban dan seumpamanya yang tidak boleh digunakan/dipakai oleh golongan wanita.

Begitu juga, tidak dibolehkan bagi golongan lelaki untuk menyerupai golongan wanita dalam perbuatan-perbuatan yang hanya khusus untuk mereka seperti kelembutan dalam tubuh, kehalusan dalam percakapan dan berjalan. Adapun bagi mereka yang sudah secara asal kejadiannya begitu, maka dia diperintahkan untuk berusaha meninggalkannya secara beransur-ansur. Jika dia tidak melakukannya dan terus berlanjutan, maka dia akan dicela, terutama jika menunjukkan tanda-tanda kerelaannya (dalam hal tersebut). Seterusnya, bentuk pakaian mungkin berbeza mengikut adat setiap negara, berkemungkinan ada kaum yang pakaian golongan wanitanya tidak berbeza dengan golongan lelaki mereka, tetapi golongan wanita tetap dibezakan dengan berhijab dan menutup aurat.

Di sana terdapatnya dua golongan dalam kalangan lelaki dan wanita yang berhak/layak untuk mendapat celaan dan hukuman yang lebih berat daripada mereka yang disebutkan (iaitu golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki). Adapun bagi golongan lelaki ialah mereka yang mendatangi dubur lelaki lain (gay), manakala bagi golongan wanita ialah mereka yang yang melakukan perbuatan geselan kemaluan (seksual) dengan wanita lain (lesbian).

Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyerupai dalam pakaian dan beberapa sifat serta gerakan, adalah bukan menyerupai dalam perkara kebaikan, ini diketahui berdasarkan kepada dalil-dalil lain. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa wanita tidak boleh dan haram untuk membotakkan kepalanya walau dengan apa cara sekalipun sama ada menggunakan pisau cukur mahupun mesin trim dengan tetapan yang paling nipis. Ini kerana hal tersebut dilihat menyerupai golongan lelaki dan terdapat larangan keras dalam agama bagi golongan wanita untuk menyerupai golongan lelaki. Sepatutnya bagi golongan wanita secara fitrahnya mereka akan menyimpan dan membiarkan membiarkan rambutnya  panjang, bahkan itulah di antara lambang kecantikan mereka. Rambut wanita hanya dibenarkan untuk dipotong pada kadar yang tidak sampai ke tahap menyerupai lelaki.

Begitu juga kelonggaran untuk wanita membotakkan kepala hanya diberikan kepada mereka dalam keadaan darurat yakni adanya keperluan mendesak seperti bagi rawatan penyakit dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”