#7386: Pembantu Rumah Tinggal Serumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan untuk bertanya. Saya dan isteri kedua-duanya doktor di sebuah hospital kerajaan. Kami mempunyai 4 orang anak. Anak pertama perempuan 11 tahun, kedua lelaki 8, ketiga lelaki 6 dan keempat perempuan 3 tahun. Isteri saya akan melanjutkan pelajaran di terengganu, saya dan anak-anak di kuantan. Saya mempunyai seorang pembantu rumah perempuan warga Indonesia. Saya ingin bertanya, adakah boleh saya dan anak-anak duduk serumah dengan pembantu rumah semasa ketiadaan isteri saya yang akan menyambung pelajaran di Terengganu. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

(Surah an-Nur: 30-31)

Antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan yang bukan mahramnya ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi SAW :

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam kitabnya bahawa syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berdua-duaan itu) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)

Para ulama telah meletakkan garis panduan (parameter) dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Syeikh ‘Ali bin ‘Ali al-Syabramalisi dan Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa: “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan (antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat (yang dilarang).” (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163; Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269)

Imam al-Nawawi berkata: “Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/243-244)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam syarahnya melarang bersalaman di antara lelaki dan perempuan:

فَلَا يُصَافِحُ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ وَلَا عَكْسُهُ

Maksudnya: Dilarang bersalaman lelaki dan perempuan dan begitu juga sebaliknya (Lihat Tuhfatul al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/56)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam satu rumah/bangunan adalah haram. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Namun, dalam isu anda, kami katakan dibolehkan untuk anda dan anak-anak duduk serumah yang ada pembantu rumah. Ini kerana ia tidak dikira berduaan kerana mempunyai anak-anak yang tinggal bersama. Namun, nasihat kami adab dan akhlak, serta batasan aurat agar tidak menimbulkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam