#7387:  Menelusuri Maksud Hadith Tentang Ganjaran Mengajak Kepada Petunjuk Kebaikan dan Keburukan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, boleh terangkan maksud hadith “Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebaikan), maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya,”. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan. Manakala apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Hasyr:7)

Imam Ibn Kathir berkata selagimana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 13/485)

Dalam menjawab persoalan di atas, adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mengajak orang lain ke arah petunjuk dan kebaikan serta melarang daripada melakukan keburukan. Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang mengajak ke arah kebaikan akan memperoleh ganjaran yang setimpal, sama seperti ganjaran yang diterima oleh orang-orang yang mengikutinya. Sebaliknya, jika seseorang mengajak orang lain kepada kesesatan iaitu keburukan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa yang ditanggung oleh mereka yang mengikutinya.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن دَعا إلى هُدًى، كانَ له مِنَ الأجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن أُجُورِهِمْ شيئًا، ومَن دَعا إلى ضَلالَةٍ، كانَ عليه مِنَ الإثْمِ مِثْلُ آثامِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن آثامِهِمْ شيئًا.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan menanggung dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun dosa mereka.”

Riwayat Muslim (6748)

Hadith ini  menunjukkan bahawa: Orang yang menunjukkan kebaikan adalah seperti pelakunya, dan orang yang menunjukkan kejahatan juga seperti pelakunya. Sesiapa yang membuka pintu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama seperti pahala orang yang mengamalkannya. Dan sesiapa yang membuka pintu kejahatan, dia akan menanggung dosa yang sama seperti dosa orang yang melakukannya, kerana dia adalah sebab dan perantara dalam kebaikan atau kejahatan. Sebab dan perantara membawa hukum yang sama seperti tujuan. Diriwayatkan bahawa anak Adam yang pertama kali membunuh saudaranya menanggung dosa setiap pembunuhan dalam kalangan Bani Adam, kerana dialah orang pertama yang melakukan pembunuhan, lalu orang yang membunuh mengikutinya. Ini adalah seruan kepada semua orang agar menjadi pembuka pintu kebaikan dan penutup pintu kejahatan, menasihati kepada kebaikan dan mengamalkannya, serta memberi peringatan kepada orang lain tentang keburukan setelah menjauhinya. (Lihat Fath al-Mun‘im Syarh Sahih Muslim, 10/215)

Selain itu juga al-Syairazi menyebutkan dalam al-Mafatih fi Syarh al-Masabih (1/263) bahawa: (الهدى): maksudnya ialah jalan yang lurus, iaitu barangsiapa yang menunjukkan sekumpulan orang kepada kebaikan atau amalan soleh, kemudian mereka semua mengamalkan kebaikan itu atau melakukan amalan soleh tersebut, maka orang yang memberi petunjuk itu akan memperolehi ganjaran dan pahala yang sama seperti setiap seorang dari mereka; ini kerana dia adalah sebab tercapainya kebaikan itu dalam kalangan mereka, dan jika bukan kerananya, kebaikan itu tidak akan berlaku di kalangan mereka. (لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن أُجُورِهِمْ شيئًا) bermaksud ganjaran mereka tidak akan berkurang sedikit pun, disebabkan dia turut mendapat ganjaran yang sama seperti ganjaran semua mereka; kerana ganjaran yang diberikan kepadanya itu bukan diambil daripada ganjaran mereka, bahkan Allah Ta’ala memberi mereka dan juga kepadanya dari khazanah kemurahan-Nya.

Begitu juga pada hadith yang lain Rasulullah SAW turut bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”

Riwayat Muslim (1893)

Sebagai kesimpulannya, hadith ini menekankan pentingnya mengajak kepada kebaikan dan menjauhkan diri daripada mengajak kepada keburukan kerana setiap usaha dakwah membawa ganjaran berlipat ganda, manakala ajakan kepada keburukan akan menyebabkan dosa yang sama beratnya. Ini mengingatkan kita akan tanggungjawab sosial dalam menyebarkan petunjuk yang bermanfaat, kerana kesan ajakan seseorang bukan sahaja mempengaruhi dirinya, tetapi juga orang lain yang mengikutinya. Justeru, hadith ini memberi motivasi untuk menjadi contoh yang baik dan melaksanakan dakwah dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab agama dan masyarakat. Bahkan Allah SWT telah berfirman:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah Ali Imran: 104)

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘Alam