#7388: Tambahan Lafaz  Wabihamdihi (وَبِحَمْدِهِ) pada Bacaan Semasa Sujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar bahawa bacaan ketika sujud tidak perlu menambah bacaan wa bi hamdihi (وَبِحَمْدِهِ). Boleh ustaz berikan sedikit penjelasan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum ini kami telah menerbitkan sebuah penulisan berkenaan hukum bacaan zikir asas ketika rukuk dan sujud. Saudara boleh merujuk artikel kami yang bertajuk: “Bacaan Ketika Rukuk dan Sujud; Wajib atau Sunat?” Kesimpulan dari artikel tersebut, kami menghimpunkan beberapa kalam fuqaha mazhab al-Syafi‘iyyah yang mengajarkan zikir semasa sujud dengan membaca: (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِهِ), yakni “Maha Suci Tuhanku yang Maha yang Maha Tinggi dengan kepujiannya.”

Berkenaan dengan bacaan ketika sujud ini, apabila diteliti karangan fuqaha mazhab, terdapat sebahagian mereka yang membaca zikir ketika rukuk dan sujud tanpa penambahan bacaan wa bi hamdihi (وَبِحَمْدِهِ), sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Minhaj al-Talibin. Ini berdasarkan riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, beliau menceritakan:

لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ} [الواقعة: ٧٤]، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ. فَلَمَّا نَزَلَتْ {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى} [الأعلى: ١]، قَالَ: اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ.

Maksudnya: “Apabila turunnya firman Allah: {فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ} [Surah al-Waqi‘ah: 74], Rasulullah SAW bersabda: ‘Jadikanlah ia (sebagai bacaan) dalam rukuk kalian.’ Apabila turunnya firman Allah: {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى} [Surah al-A‘la: 1], Rasulullah SAW bersabda: ‘Jadikanlah ia (sebagai bacaan) dalam rukuk kalian’.”

Riwayat Abu Daud (869), Ibn Majah (887), Ahmad (17414), al-Hakim (3783) dan Ibn Hibban (1772). Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil menilai sanadnya sebagai dha‘if(334), manakala al-Hakim menilainya sebagai sahih dalam al-Mustadrak (2/519).

Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, hikmah dikhususkan sifat (الْأَعْلَى) ‘Yang Maha Tinggi’ ketika sujud adalah kerana bacaan ‘Yang Maha Tinggi’’ ini lebih menunjukkan sifat tertinggi berbanding dengan (الْعَظِيمُ) ‘Yang Maha Agung,’ yang hanya menunjukkan kelebihan maknanya berbanding yang lain. Sujud adalah bentuk tunduk yang paling rendah, maka Allah menggabungkan sifat tertinggi dengan perbuatan paling rendah sebagai bentuk penghormatan tertinggi. Dan dalam al-Tahqiq, Imam al-Nawawi menambah pula bacaan (وَبِحَمْدِهِ) ‘dan segala pujian bagi-Nya,’ yang diulangi tiga kali mengikut sunnah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud. Akan tetapi, penambahan pada bacaan tasbih ini hanya dianjurkan oleh beliau bagi selain imam, bahkan beliau tidak menganjurkan penambahan tersebut bagi para imam bagi meringankan makmum.

Imam al-Rafi‘i juga berpandangan bahawa bacaan zikir asas semasa sujud ini berpada dengan (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى) sebanyak tiga kali, tanpa penambahan (وَبِحَمْدِهِ). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/366-374; al-Tahqiq, hlm. 211; al-‘Aziz Syarh al-Wajiz, 1/511)

Dalam pada itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa fuqaha al-Syafi‘iyyah mengatakan sunat membaca (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِهِ). Antara mereka yang berpendapat hukumnya adalah sunat adalah; al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qadhi Husain, Ibn Sabbagh, Imam al-Ghazali dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/412)

Penganjuran tambahan bacaan (وَبِحَمْدِهِ) ‘dan segala pujian bagi-Nya’ ini berdasarkan kepada riwayat Huzaifah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ – ثَلَاثًا –، وَفِي سُجُودِهِ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ – ثَلَاثًا –

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW berkata ketika rukuk: (سُبْحَانَ رَبِّي الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ) sebanyak tiga kali, dan ketika sujud: (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِهِ) sebanyak tiga kali.”

Riwayat al-Darqutni (1292)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini dha‘if kerana pada jalur sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad Ibn Abi Laila. Beliau dikritik oleh Ahli Hadith, antaranya Abu Hatim al-Razi yang mengatakan: “Beliau sibuk dengan urusan qadhi sehingga hafalannya menjadi lemah. Beliau tidak pernah ditohmah kerana berdusta, tetapi dikritik kerana banyak kesilapan. Riwayatnya ditulis, tetapi tidak boleh berhujjah dengannya.” Al-Daruqutni sendiri mengkritik beliau sebagai seorang yang lemah hafalan dan banyak waham. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/413; Tahzib al-Tahzib, 3/627)

Meskipun hadith Huzaifah R.A di atas berstatus dha‘if, akan tetapi thabit hadith lain sebagai sokongan terhadap penambahan tersebut. Ini diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Nabi SAW membaca dalam rukuk dan sujudnya (سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي)‘Maha suci Engkau, Ya Allah, Tuhan kami, Segala puji untuk-Mu. Ya Allah, ampunilah aku)’.”

Riwayat al-Bukhari (794) dan Muslim (484)

Imam Ibn ‘Allan berpendapat, hadith ini sebagai dalil penguat bahawa disunatkan juga untuk membaca dengan tambahan (وَبِحَمْدِهِ). (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2/243)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan di atas, sememangnya terdapat khilaf di kalangan fuqaha berlainan mazhab berkenaan kekuatan dalil dan juga hujjah penambahan lafaz semasa sujud: (وَبِحَمْدِهِ), yang bererti ‘dan segala pujian bagi-Nya.’ Hal yang demikian kerana status hadith yang membawa lafaz (سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِهِ) itu adalah lemah, dan salah seorang dari kalangan perawinya dikritik.

Meskipun begitu, terdapat riwayat lain yang lebih kuat dibawakan oleh fuqaha al-Syafi‘iyyah bagi menyokong pandangan mazhab, bahawa Rasulullah SAW melazimi bacaan ketika rukuk dan sujud dengan penambahan lafaz puji-pujian bagi Allah SWT.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami perjelaskan kepada saudara. Semoga kita beroleh manfaat dan kefahaman yang baik dalam beragama serta beramala dengan hukum-hakamnya. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya:Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam