#7390: Tidak Boleh Menyerupai Haiwan ketika Minum

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah syariat melarang kita daripada menyerupai haiwan seperti dalam hal minum atau makan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra’: 70)

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ia bermaksud ditambah kemuliaan manusia oleh Allah. Ini termasuklah diciptakan mereka dalam bentuk yang amat menarik. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/293).

Al-Maraghi berkata maksudnya: “Sesungguhnya kami muliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi, berakal sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan bahasa, mampu berfikir untuk meneruskan kehidupan dan menguasai segala yang ada di bumi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/75).

Sesungguhnya kemuliaan manusia adalah berdasarkan kurniaan Allah berupa akal yang mengarahkannya untuk memperoleh sifat-sifat baik dan mulia, serta menjauhi keburukan dan kejahatan. Namun, apabila seseorang hanya mengikut hawa nafsu, kenikmatan, kerakusan, dan ketamakannya tanpa kawalan akal, agama, atau akhlak, maka ia menyerupai sifat haiwan.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din (3/10) menyatakan, ketahuilah bahawa manusia dalam penciptaan dan susunannya memiliki empat unsur, yang mengakibatkan adanya empat jenis sifat: iaitu sifat kebuasan, sifat kebinatangan, sifat kesyaitanan dan sifat ketuhanan. Dari aspek ia dipengaruhi kemarahan: dia melakukan perbuatan seperti binatang buas; seperti permusuhan, kebencian, dan menyerang orang lain dengan pukulan atau cercaan. Dan dari aspek ia dipengaruhi nafsu: dia melakukan perbuatan seperti haiwan; seperti ketamakan, kerakusan, nafsu syahwat dan lain-lain.

Terdapat banyak nas daripada al-Quran dan hadith Nabi yang melarang menyerupai haiwan dalam sifat-sifat yang tercela; seperti kerakusan, ketamakan, kesombongan, kekejaman, kezaliman, kejahilan, kelicikan, dan sifat buruk yang lain; sehingga Imam Najmuddin al-Ghazzi al-Syafi‘i dalam kitabnya Husn al-Tanabbuh lima Warada fi al-Tasyabbuh membuat satu bab tentang larangan menyerupai binatang ternakan, binatang buas, burung, dan serangga, di mana beliau menyebutkan nas-nas syariah yang mencela menyerupai haiwan dalam sifat-sifat yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang dibenci.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah al-Hanbali menyebutkan bahawa menyerupai binatang dalam perkara-perkara yang tercela dalam syarak adalah tercela dan dilarang; begitu juga dalam suara-suara (bunyi-bunyi) dan perbuatan-perbuatan mereka. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/256).

Di antara perkara yang dilarang sebagaimana yang terdapat di dalam hadith-hadith yang mulia adalah menyerupai haiwan dalam sifat-sifat yang tidak elok ketika makan dan minum. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَشْربُوا وَاحدًا كَشُرْبِ البَعِيرِ، ولكِن اشْرَبُوا مَثْنى وَثُلاثَ، وَسَمُّوا إذا أنْتُمْ شَرِبْتُم، وَاحْمدُوا إذا أنْتُمْ رَفعْتُمْ

Maksudnya: “Jangan kamu minum sekali teguk seperti unta, tetapi minumlah dua atau tiga kali teguk. Sebutlah nama Allah apabila kamu minum, dan pujilah Dia apabila kamu mengangkat bekas minuman (selesai minum).

Riwayat al-Tirmizi (1994), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir(11378) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (5614).[1]

Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan, larangan untuk minum sekali teguk seperti mana unta minum kerana ia bernafas dalam bekas minuman. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2752).

Begitu juga al-‘Allamah al-Munawi ketika menjelaskan hadith, “أَبِنِ الْقَدَحَ عَنْ فِيكَ ثُمَّ تَنَفَّسْ” (Jauhkan bekas minuman dari mulutmu, kemudian bernafaslah) dengan menyatakan, janganlah minum seperti unta; kerana unta bernafas ketika minum di dalamnya. Kemudian, bernafaslah (setelah menjauhkan bekas minuman dari mulut) kerana ini lebih menjaga kehormatan, menghindari perubahan rasa air, mengelakkan daripada jatuhnya air liur ke dalam bekas minuman, dan menjauhkan diri daripada menyerupai binatang yang minum dengan terus-menerus; kerana menyerupai mereka adalah makruh dari segi syarak dan juga perubatan. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/85).

Lebih-lebih lagi, unta juga apabila ia minum, menghasilkan bunyi yang disebut sebagai al-Haqm(الهَقْم). Al-‘Allamah Abu Mansur al-Azhari menjelaskan makna al-haqm dengan menukilkan daripada Ibn al-A‘rabi bahawa al-haqm ialah bunyi unta minum air. Kemudian beliau (Abu Mansur al-Azhari) mengatakan, ia dijadikan dalam bentuk jamak haiqam (هَيْقَم), iaitu gambaran bunyi ketika unta meneguk air. (Lihat Tahzib al-Lughah, 6/5).

Al-‘Allamah al-Zabidi dalam Taj al-‘Arus (34/110-111) menyatakan, al-Haqam (الهَقَمُ) ialah banyak makan tanpa merasa muak, dan al-hiqam (الِهقَمُّ) adalah seperti hijaf (هِجَف) bermaksud seseorang yang banyak makan. Tahaqqama al-Ta‘am (تَهَقَّمَ الطَّعَامَ) pula bermaksud menelan makanan dalam suapan yang besar. Perkataan al-Haqm juga merujuk kepada bunyi ketika unta minum air.

Al-‘Allamah Abu al-Hasan al-Manufi al-Maliki dalam Kifayah al-Talib al-Rabbani (2/ 464) menjelaskan, “وَلَا تَعُبَّ الْمَاءَ عَبًّا” ( jangan meneguknya dengan cepat) iaitu dengan menelannya sambil mengeluarkan bunyi seperti bunyi binatang; kerana Rasulullah SAW melarangnya. Sebaliknya (ولْتَمَصَّه) (hiruplah dengan lsedikit demi sedikit), iaitu menelan air dengan perlahan sedikit demi sedikit; kerana perintah Rasulullah SAW sedemikian.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang itu dilarang dan makruh hukumnya untuk menyerupai haiwan terutamanya dalam hal-hal yang dianggap atau dilihat tidak elok menurut kebanyakan tabiat manusia yang sihat. Ini kerana hal tersebut akan mengurangkan kehormatan dan kemuliaannya sebagai seorang manusia. Begitulah juga halnya dalam soal makan dan minum, kita dilarang daripada menyerupai haiwan seperti mengeluarkan bunyi ketika minum dan makan, minum dengan sekali tegukan (tergesa-gesa), bernafas dalam bekas minuman ketika minum dan lain-lain seumpamanya.

Semua perkara ini adalah makruh dan tidaklah sampai kepada haram kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adab dan etika yang baik. Meskipun begitu, seorang Muslim hendaklah mengamalkan adab yang baik dan memiliki sifat-sifat terpuji agar menjadi contoh yang baik kepada agama dan umatnya.

Inilah juga jawapan yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika mereka diajukan persoalan yang hampir sama.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota hujung:

[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahqiq Sunan al-Tirmizi (4/22) menyatakan, sanadnya adalah lemah (dha‘if) disebabkan oleh Yazid bin Sinan dinilai sebagai lemah (dha‘if) dan ketidakjelasan Ibn ‘Ata’. Imam al-Tirmizi pula menyatakan, hadith ini adalah gharib dalam sunannya (1994).

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/12864/مضغالطعامبصوتمسموع#. Diakses pada 31 Oktober 2024.