Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya boleh nyatakan tarikh lahir dan meninggalnya imam 4 mazhab berserta dalam tarikh hijrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara ringkasnya, berikut adalah tarikh kelahiran dan kematian empat imam mazhab.
Imam Abu Hanifah
Imam Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 hijrah, semasa sighar al-sahabah masih lagi hidup. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 6/391). Begitu juga Wahbi Sulaiman Ghawaji turut menyatakan, Imam Abu Hanifah dilahirkan di Kufah pada tahun 80 Hijrah – menurut pandangan yang tepat – pada zaman Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan. Dikhabarkan daripada Ismail bin Hamad bin Nu’man bin Thabit bin al-Murzaban: Datukku dilahirkan pada tahun 80 Hijrah, kemudian Thabit pergi berjumpa dengan Ali bin Abu Talib ketika beliau masih lagi kecil dan beliau mendoakan keberkatan baginya (Abu Hanifah) dan zuriatnya. (Lihat Abu Hanifah al-Nu‘man Imam A’immah al-Fuqaha’, hlm. 47-48).
Beliau meninggal pada 150 H, di Baghdad, dipercayai diracun ketika berada dalam tahanan. Solat jenazahnya dilakukan sebanyak 6 kali dengan lebih 300,000 orang hadir. Dimakamkan di perkuburan al-Khairazan.
Imam Malik
Imam Malik adalah imam yang kedua dari imam-imam empat serangkai dalam Islam dari segi umur. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah, dan pada tahun kelahirannya juga sahabat Rasulullah SAW Anas Bin Malik R.A meninggal dunia. Terdapat beberapa pendapat dari ahli sejarah mengenai tarikh kelahiran Imam Malik. Pendapat yang paling masyhur dan tepat disebutkan oleh Yahya bin Bakir, iaitu pada tahun 93 hijrah (Lihat al-A’immah al-Arba‘ah oleh Syeikh Ahmad al-Syarbasi, hlm. 72).
Beliau meninggal dunia pada zaman Harun al-Rasyid, semasa pemerintahan Abbasiyah, pada waktu Subuh 14 Rabiul Awwal 179 H. Mus‘ab bin ‘Abdullah al-Zubairi pula mengatakan beliau meninggal pada bulan Safar 179 H. Muhammad bin Suhnun pula berpendapat, Imam Malik meninggal pada 11 Rejab, manakala Ibn Wahb berpendapat pada 13 Rejab. Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, tarikh yang tepat adalah pada bulan Rabiul Awwal, pada hari Ahad, tepat-tepat 21 hari semenjak dari Imam Malik sakit.Imam al-Syafie
Riwayat-riwayat yang ada sepakat menyatakan bahawa Imam al-Syafi‘i dilahirkan pada tahun ini, 150 hijrah dan ia juga merupakan tahun di mana Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Imam al-Syafi‘i dilahirkan pada hari Jumaat akhir bulan Rejab di siang hari. Sebahagian riwayat menambah, beliau dilahirkan pada malam kewafatan Imam Abu Hanifah. Menurut Abu Zahrah, tambahan ini hanyalah untuk orang mengatakan bahawa seorang Imam telah meninggal dunia lalu seorang Imam yang lain telah datang pada malam kematiannya (untuk menggantikannya), dan tidak ada apa-apa kelebihan pun dalam penambahan tersebut. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar, hlm. 44; al-Syafi‘i: Hayatuhu wa ‘Asruhu — Ara’uhu wa Fiqhuhu, hlm. 14)
Imam al-Syafi‘i meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis selepas Maghrib, iaitu pada malam akhir bagi bulan Rejab tahun 204 Hijrah. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi muridnya yang setia, iaitu Imam al-Rabi‘ bin Sulaiman al-Muradi ketika berusia 54 tahun.
Imam Ahmad Bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di kota Baghdad pada bulan Rabiul Awal, tahun 164H. Ada pendapat menyatakan, beliau dilahirkan pada bulan Rabiul Akhir seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin Ahmad dan Ahmad bin Abu Khaithamah.
Ulama’ berbeza pendapat berkenaan tarikh kewafatan Imam Ahmad. Ada pendapat yang mengatakan bahawa meninggal dunia pada waktu Dhuha hari Jumaat, malam ke 12 Rabiul Awwal, tahun 241 Hijrah dan jenazahnya dikebumikan selepas asar. Manakala anaknya, Soleh bin Ahmad pula berpendapat, Imam Ahmad wafat pada hari Jumaat, malam ke 13 Rabiul Awwal, ketika berumur 77 tahun.
Jenazahnya dimandikan oleh Abu Bakar bin al-Hajjaj al-Maruzi. Jenazahnya dikebumikan selepas sembahyang Jumaat dengan diiringi oleh puluhan ribu rakyat jelata. Beliau dikebumikan di Baghdad, di mana tempat beliau dilahirkan. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 550; al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/381; Sirah al-Imam Ahmad bin Hanbal, hlm. 30)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
Wallahu a‘lam.