Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada menyimpan di ASB dan lain-lain tempat. Wang simpanan itu adalah daripada hasil pendapatan bulanan saya. Jika saya telah membayar zakat pendapatan, adakah perlu saya membayar zakat simpanan yang dari hasil pendapatan bulanan saya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa bahagian. Pertamanya, zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)
Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”
(Surah al-Baqarah: 267)
Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)
Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”
Keduanya, kita harus bezakan di antara zakat simpanan dan zakat pendapatan. Sebenarnya zakat pendapatan dan zakat simpanan adalah dua jenis zakat yang berbeza walaupun dari sumber yang sama. Zakat pendapatan dikira dari sumber pendapatan semasa manakala zakat simpanan dikira selepas genap setahun simpanan tersebut dan mencukupi nisab.[1]
Dalam erti kata lain, zakat pendapatan adalah mal mustafad (harta yang diperolehi). Zakat dikeluarkan daripada baki setelah ditolak perbelanjaan mesti. Jika baki melebihi nisab, maka dikeluarkan zakat pendapatan sebanyak 2.5%. Manakala zakat wang simpanan merupakan zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah cukup haul (genap setahun) dan cukup nisabnya sama ada di dalam akaun simpanan biasa, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, amanah saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta lain-lain yang dikategorikan dalam bentuk simpanan. Zakat simpanan dikira sebanyak 2.5% seperti mana zakat emas dan perak dan diambil kira baki terendah dalam simpanan seseorang yang telah cukup syarat-syaratnya.
Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya wang simpanan itu adalah hasil pendapatan bulanan, kemudian sudah dikeluarkan zakat daripadanya melalui zakat pendapatan, maka kami berpendapat bahawa ia tidak perlu lagi dikeluarkan zakat daripadanya (simpanan daripada sumber pendapatan itu) bagi tahun tersebut.
Dalam erti kata lain, zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul (tahun yang sama). Ini adalah berdasarkan kepada riwayat bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا ثِنَى فِي الصَّدَقَةِ
Maksudnya: “Tidak ada gandaan dalam zakat.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (11044)
Ibn al-Athir menyatakan, maknanya adalah zakat tidak diambil dua kali (dari harta yang sama) dalam setahun (yang sama). Lafaz “الثِّنَى” bermaksud sesuatu itu dilakukan dua kali. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/224).
Namun, sekiranya dia mempunyai simpanan lain, yang bukan daripada hasil pendapatan bulanannya yang telah dikeluarkan zakat itu, maka ia diwajibkan zakat apabila memenuhi syarat-syaratnya iaitu cukup haul dan nisab.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://zakatpenang.com/zakat-simpanan-vs-zakat-pendapatan/. Diakses pada 15 Disember 2023.