#7404: Tafsir Ayat 45 Surah al-Ankabut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 45 daripada surah al-Ankabut yang terkait dengan zikir Allah adalah paling besar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya mengingati Allah adalah yang paling besar.”

(Surah al-Ankabut: 45)

Salman al-Farisi R.A pernah ditanya: “Amalan apa yang paling utama?” Beliau menjawab: “Tidakkah kamu membaca al-Quran. (Firman Allah SWT) ‘وَلَذِكْرُ اللَّـهِ أَكْبَرُ’ (Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) [Surah al-Ankabut: 45] (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/183)

Ibn ‘Abbas R.A pernah ditanya: “Amalan apa yang paling utama?” Beliau menjawab: ‘وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ’ (Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Lihat al-Wabil al-Soyyib, hlm 152)

Al-Tabari berkata: Para ahli takwil berbeza pendapat tentang penakwilan ayat ini.

  • Sebahagian berpendapat bahawa maksudnya ialah bahawa ingatan Allah terhadap kamu lebih utama daripada zikir kamu kepada Allah.
  • Sebahagian yang lain berpendapat bahawa maknanya ialah bahawa zikirmu kepada Allah lebih utama daripada segala perkara lain.
  • Ada pula yang berpendapat bahawa ayat ini mengandungi kedua-dua maksud tersebut (di atas) sekaligus.
  • Sebahagian lain pula menyatakan bahawa maksud ayat ini ialah ingatan seorang hamba kepada Allah ketika solat lebih besar daripada solat itu sendiri.
  • Pendapat lain menyebut bahawa maksudnya ialah solat yang engkau dirikan, di mana engkau mengingati Allah di dalamnya, adalah lebih besar daripada kesan solat dalam mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Abu Ja’far berkata: Pendapat yang paling tepat antara pendapat-pendapat ini, dan yang paling sesuai dengan zahir makna ayat ini, ialah pendapat yang mengatakan bahawa maksudnya ialah ingatan Allah kepada kamu lebih afdhal daripada zikir kamu kepada Allah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/518)

Ibn Kathir berkata: “Mengingati Allah adalah amalan yang lebih agung dan lebih besar.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/243)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: “Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar.” Maksudnya, mengingati Allah (berzikir) adalah lebih besar daripada segala sesuatu. Zikir adalah ibadah yang paling utama kerana dengannya seseorang dapat dicegah daripada melakukan perbuatan buruk dan mungkar. Hanya mereka yang mengingati Allah dan merasa diawasi oleh-Nya mampu meninggalkan perbuatan buruk dan mungkar. Zikir yang terkandung dalam solat menjadi sebab utama yang menjadikan solat lebih mulia daripada ibadah-ibadah yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 4/621)

Daripada Mu’az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ مِنْ عَمَلٍ أَنْجَى لَهُ مِنْ عَذَابِ اللَّهِ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh anak Adam, yang lebih dapat menyelamatkannya daripada azab Allah melebihi zikir kepada Allah.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (30065) dan al-Tabarani (325) dengan sedikit perbezaan. Al-’Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (1/391) menyatakan isnadnya hasan.

Ismail bin Ubaidillah meriwayatkan daripada Ummu al-Darda’: ‘وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ’ (“Sesungguhnya mengingati Allah adalah yang paling besar.” [Surah al-Ankabut: 45]. Apabila engkau solat, itu juga merupakan zikir kepada Allah. Apabila engkau berpuasa, itu juga zikir kepada Allah. Segala kebaikan yang engkau lakukan merupakan zikir kepada Allah, dan setiap keburukan yang engkau jauhi juga merupakan zikir kepada Allah. Yang paling utama daripada semuanya ialah tasbih kepada Allah.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 70/160)

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW berjalan dalam satu perjalanan ke Mekah, dan Baginda melewati sebuah bukit bernama Jumdan. Baginda bersabda:

سِيرُوا هَذَا جُمْدَانُ سَبَقَ الْمُفَرِّدُونَ. قَالُوا: وَمَا الْمُفَرِّدُونَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الذَّاكِرُونَ اللهَ كَثِيرًا، وَالذَّاكِرَاتُ

Maksudnya: “Berjalanlah, ini adalah Jumdan, mereka yang bersendirian telah mendahului.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang bersendirian itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Mereka yang banyak mengingati Allah, lelaki dan perempuan.”

Riwayat Muslim (2676)

Mereka yang bersendirian” (الْمُفَرِّدُونَ) ini adalah orang-orang yang telah berpisah dengan rakan-rakan mereka, bukan hanya kerana mereka banyak melakukan kebaikan tetapi juga kerana zikir adalah kunci kepada segala kebaikan; mereka akan didapati sebagai orang yang banyak beribadah, lembut hati, tenang perangai, cepat memahami makna al-Quran dan Sunnah, serta memiliki kebijaksanaan yang nyata.

Al-Tirmizi meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Abdullah bin Busr: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, hukum-hakam Islam telah terlalu banyak bagi saya. Berikanlah saya sesuatu yang dapat saya pegang erat.” Baginda bersabda:

لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan mengingati Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3375)

Zikir menyempurnakan akhlak seseorang sehingga menjadi contoh yang terbaik. Diceritakan oleh Ibrahim bin Abi ‘Ablah, seorang tabi’in, mengenai Ummu al-Darda’: “Seorang lelaki datang kepadanya dan berkata, ‘Ada seseorang yang memburukkanmu di hadapan Abdul Malik.’ Beliau berkata, ‘Jika dia menuduh sesuatu yang bukan pada diri kami, maka kami telah banyak dipuji atas perkara yang bukan pada diri kami juga.’”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”