#7412: Al-Yamin Mengikut Perundangan Islam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah itu al-yamin mengikut perundangan Malaysia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Yamin (اليَمِينُ) merupakan kalimah bahasa Arab yang membawa maksud sumpah. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sumpah adalah pengakuan yang dibuat dengan ber­saksikan Tuhan atau sesuatu yang dianggap suci, untuk menguatkan apa yang dikatakan dan lain-lain.[1]

Dalam bahasa Arab pula, al-yamin (اليَمِينُ) boleh membawa beberapa maksud yang berbeza seperti kekuasaan, sumpah, keberkatan, tangan kanan atau arah kanan. Ia dinamakan demikian kerana masyarakat Arab pada zaman Jahiliyyah akan menggenggam tangan kanan sahabat mereka sekiranya mereka mahu bersumpah. Selain itu, dikatakan juga demikian kerana orang yang bersumpah akan memperkuatkan (kenyataannya) dengan sumpahnya sebagaimana tangan kanan lebih kuat daripada tangan kiri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/245; Tara’iq al-Hukum al-Muttafaq ‘alaiha wa al-Mukhtalaf fiha fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 183; Hasyiah al-Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli li al-Minhaj, 4/271; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2442)

Adapun menurut istilah syara‘, fuqaha meletakkan beberapa definisi yang pelbagai, antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari: “Mengesahkan dengan tetap sesuatu perkara yang mempunyai kebarangkalian (tidak tetap) dengan apa yang telah Allah SWT khususkan untuknya.”

Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa al-yamin bermaksud, pengesahan terhadap sesuatu perkara yang tidak tetap, sama ada ia telah berlaku atau akan berlaku, sama ada penafian atau penetapan, mungkin atau mustahil, benar atau salah, dalam keadaan dia tahu (akan perkara tersebut) ataupun tidak tahu mengenainya.

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, secara umumnya, al-yamin bererti menguatkan lagi sesuatu perkara atau hak atau kata-kata, bagi tujuan penetapan atau penafiannya dengan menyebut nama Allah SWT atau salah satu sifat daripada sifat-sifat-Nya.” (Lihat Fath al-Wahhab, 2/243; Mughni al-Muhtaj, 6/180; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 8/6063)

Berbeza pula maksud al-yamin atau sumpah ini dari sudut perundangan Islam, Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan: “Penegasan tentang kewujudan atau penafian hak di hadapan hakim, dengan menyebut nama Allah atau sifat daripada sifat-sifat-Nya.”

Takrifan yang hampir serupa dibawakan oleh Dr. Muhammad Abdullah al-Syinqiti sebagaimana katanya: “Sesuatu penegasan bagi menetapkan hak atau menafikannya dengan lafaz Allah (nama-nama-Nya atau sifat-sifat-Nya) di dalam majlis penghakiman selepas diminta (oleh hakim).” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 8/6064; Ta‘arudh al-Bayyinat fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 163)

Melalui takrifan para ahli ilmu tentang hakikat al-yamin ini, dapat kita simpulkan bahawa yang dimaksudkan adalah satu lafaz sumpah dengan menggunakan nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya di hadapan hakim, bertujuan untuk menetapkan sesuatu hak atau menafikannya.

Pada asalnya, al-yamin ini thabit dalam nas-nas syara‘ seperti yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَـٰنَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Al-Yamin ini juga disebutkan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka yang mendatangkan sebarang dakwaan. Dikisahkan tentang dua orang wanita selalu menjahit di rumah atau di bilik mereka, lalu seorang daripadanya keluar dan tangannya tertusuk jarum. Dia pun mendakwa yang hal tersebut dilakukan oleh wanita seorang lagi. Maka perkara ini diajukan kepada Ibn ‘Abbas R.A, lalu beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لذَهَبَ دِمَاءُ قَوْمٍ وَأَمْوَالُهُمْ. ذَكِّرُوهَا بِاللَّهِ وَاقْرَءُوا عَلَيْهَا: {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ}، فَذَكَّرُوهَا فَاعْتَرَفَتْ. فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اليَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya manusia diberikan (hak) dengan sebab dakwaan mereka, nescaya akan tertumpah darah suatu kaum dan habis harta benda mereka. Ingatkanlah dia (wanita tersebut) kepada Allah dan bacakan kepadanya (firman Allah SWT):

{إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ}

(Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah.) [Surah Ali ‘Imran: 77]. Maka mereka pun mengingatkannya dan dia mengakui perbuatannya. Ibn Abbas berkata, Nabi SAW bersabda: ‘Bersumpah adalah kewajipan ke atas orang yang didakwa’.”

Riwayat al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711)

Al-Yamin atau sumpah ini merupakan salah satu konsep keterangan yang diterima pakai dalam perundangan Malaysia, dan ia secara praktikalnya lebih tertumpu kepada Mahkamah Syariah Malaysia. Ia termasuk di bawah Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri.

Kami bawakan sebagai contoh, dari Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997,  disebutkan dalam seksyen 87:
“(1) Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh plaintif dan defendan, dan jika defendan menafikan tuntutan terhadapnya dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.

(2)       a. Jika defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh plaintif hendaklah ditolak.

  1. Jika defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Kesimpulan

Ringkasnya, al-yamin ini adalah sumpah yang dibuat di hadapan hakim syar‘i di Mahkamah Syariah. Sumpah ini dituntut sebagai keterangan berdasarkan kepada kes-kes yang berlangsung, dan sumpah ini juga boleh dilafazkan oleh pihak yang berbeza, sama ada dari orang yang menuntut (al-mudda‘i) atau orang yang kena tuntut (al-mudda‘a ‘alaih) atau saksi di mahkamah.

Kami juga mencadangkan saudara untuk bertanya kepada mereka yang berkeahlian dalam bidang perundangan Islam berkenaan al-yamin ini agar penerangan lebih jelas dapat diperoleh. Antara penulisan yang berfaedah dapat kami kongsikan adalah terbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Konsep Sumpah (al-Yamin) dan Pelaksanaannya di Mahkamah Syariah oleh Wan Abdul Fattah bin Wan Ismail dan Zulkifli bin Hassan. Semoga kita semua beroleh manfaat dari artikel ringkas kami dan juga penulisan tersebut, seterusnya menambahkan kefahaman kita berkenaan konsep al-yamin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sumpah. Diakses pada 1 November 2024.