#7418: Maksud ‘Sebagaimana Ibunya Melahirkannya’

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca hadith siapa yang melaksanakan haji, tidak melakukan sebarang ucapan keji, dan perbuatan fasiq, nescaya dia pulang sebagaimana baru dilahirkan oleh ibunya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Menjawab persoalan di atas, hadithnya berbunyi:

مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan haji kepada Allah tanpa mencampurnya dengan perkataan kotor dan perbuatan fasik, nescaya dia akan kembali dalam keadaan bersih daripada dosa-dosanya sepertimana ketika dia baru sahaja dilahirkan.”

Riwayat al-Bukhari (1521), Muslim (1350), al-Tirmizi (811) al-Nasa’ie (2627), Ibn Majah (2889) dan Ahmad (9311)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: ‘Maksudnya tanpa dosa, dan secara zahirnya menunjukkan pengampunan terhadap dosa kecil, dosa besar, dan tanggungan. Ini adalah salah satu dalil terkuat bagi hadis Abbas bin Mirdas yang menjelaskannya secara terang. Hadis ini juga disokong oleh riwayat Ibn Umar dalam tafsir al-Tabari.’ (Lihat Fath al-Bari, 3/383)

Al-’Aini berkata: Sabda Nabi: “Dia kembali seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” Maksudnya: Dia kembali dalam keadaan tanpa dosa, seakan-akan dirinya pada hari dilahirkan oleh ibunya. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/136)

Al-Suyuti berkata: Nabi bersabda: ‘رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ’ (“Dia kembali bersih seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.”) Maksudnya: Tanpa sebarang dosa. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ini merangkumi pengampunan bagi dosa-dosa kecil dan besar. (Lihat al-Dibaj ‘Ala Sahih Muslim, 3/395)

Hadis ini mempunyai syarat iaitu melaksanakan ibadat haji tanpa rafath sebarang bentuk yang terkait dengan jima’ atau mukaddimahnya semasa ihram, ketika melaksanakan ibadah haji atau melakukan fasiq sama ada maksiat yang dosa besar atau dosa-dosa kecil. Di sini yang lebih masyhur adalah maksud fasiq adalah sebarang bentuk yang keluar daripada mentaati Allah secara mutlak. Inilah yang dikemukan oleh guru kami Dr Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti.

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita agar kita sentiasa menjarakkan diri daripada maksiat seupaya mungkin terutamanya ketika melaksanakan ibadat haji kerana balasannya tersebut adalah dihapuskan dosa sama ada besar atau kecil. Ia ibarat seperti ibu yang baru melahirkan anaknya.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”