#7421: Melaksanakan Haji untuk Orang Lain yang Telah Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah laksanakan haji atau mengambil upah haji bagi orang lain yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Adapun melaksanakan ibadah haji kepada kaum keluarga adalah dibolehkan seperti ibu bapa dan lain-lain lagi. Hal ini berdasarkan kepada nas hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ : لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ ، قَالَ : مَنْ شُبْرُمَةُ ؟ قَالَ : أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ : حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ ؟ قَالَ : لاَ ، قَالَ : حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ، ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: ‘لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ’ (“Aku menyahut seruan-Mu bagi pihak Syubrumah.”) Lalu Nabi SAW bertanya: “Siapa Syubrumah?” Dia menjawab: “Saudara lelakiku – atau kerabatku.” Rasulullah SAW bertanya lagi: “Sudahkah engkau menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Belum.” Lalu Nabi SAW berkata: “Tunaikanlah haji untuk dirimu dahulu. Kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah.”

Riwayat Abu Daud (1811) dan Ibn Majah (2903). Isnad hadith ini sahih sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Al-Khattabi berkata: Berdasarkan hadith di atas, terdapat juga pengajaran bahawa menunaikan haji bagi pihak orang lain dibenarkan jika seseorang itu telah menunaikan haji bagi dirinya sendiri. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 2/172)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”