#7423: Ikan yang Ditangkap dengan Alat Renjatan Elektrik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah status ikan yang ditangkap atau diburu dengan menggunakan alat renjatan elektrik? Adakah ia halal untuk dimakan, lebih-lebih penggunaan alat renjatan elektrik adalah dilarang oleh pihak berkuasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Seterusnya, secara umumnya, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[1]

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 96 (seperti mana yang kami sudah sebutkan sebelum ini).

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Dalam menjawab soalan di atas, majoriti ulama mengharuskan memakan bangkai ikan atau hidupan laut atau sungai, sama ada ia mati dengan sendirinya atau mati dengan sebab diburu dan ditangkap. Ini kerana bangkai ikan itu sendiri dihukumkan sebagai suci dan halal dimakan. Justeru, ia adalah halal dimakan tidak kira bagaimanapun cara ia mati atau dimatikan.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa menurut kami (mazhab Syafi‘i), setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, kecuali katak. Tidak kira ia mati bersebab ataupun tidak (iaitu mati dengan sendirinya). Ini juga adalah pendapat Imam Malik, Ahmad, dan Abu Daud. Al-Khattabi turut menukilkannya daripada Abu Bakar al-Siddiq, Abu Ayyub al-Ansari, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur R.Anhum.

Akan tetapi Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika hidupan laut itu mati dengan bersebab seperti dipukul atau air surut dari tempatnya, maka ia adalah halal untuk dimakan. Namun, jika ia mati tanpa sebab (iaitu mati dengan sendirinya), maka hukumnya adalah haram untuk dimakan. Manakala jika ia mati akibat kepanasan air atau sejuknya air, terdapat dua riwayat daripadanya (mengenai kehalalan untuk memakannya). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33).

Majoriti ulama berhujah dengan hadith Abu Hurairah R.A (sebagaimana di atas) bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Begitu juga dengan hadith Jabir R.A, katanya:

غَزَوْنَا جَيْشَ الخَبَطِ، وَأُمِّرَ أَبُو عُبَيْدَةَ. فَجُعْنَا جُوعًا شَدِيدًا. فَأَلْقَى البَحْرُ حُوتًا مَيِّتًا لَمْ يُرَ مِثْلُهُ، يُقَالُ لَهُ العَنْبَرُ. فَأَكَلْنَا مِنْهُ نِصْفَ شَهْرٍ. فَأَخَذَ أَبُو عُبَيْدَةَ عَظْمًا مِنْ عِظَامِهِ، فَمَرَّ الرَّاكِبُ تَحْتَهُ

Maksudnya: “Kami telah keluar berperang, pasukan tentera (tersebut telah dipanggil) al-Khabat,  dan Abu ‘Ubaidah telah dilantik sebagai ketua. (Dalam perang tersebut) kami telah berasa sangat lapar.  Setelah itu, laut telah mencampakkan seekor ikan paus yang telah mati yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Ikan paus itu dipanggil sebagai al-Anbar. Kami telah memakannya untuk tempoh selama setengah bulan. Abu ‘Ubaidah telah mengambil satu tulang daripada tulang-tulangnya, yang mana seorang penunggang kuda boleh melintas dibawahnya.

Riwayat al-Bukhari (5493)

Dalam riwayat lain datang dengan lafaz:

بَعَثَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثَ مِائَةِ رَاكِبٍ، وَأَمِيرُنَا أَبُو عُبَيْدَةَ. نَرْصُدُ عِيرًا لِقُرَيْشٍ. فَأَصَابَنَا جُوعٌ شَدِيدٌ حَتَّى أَكَلْنَا الخَبَطَ. فَسُمِّيَ جَيْشَ الخَبَطِ. وَأَلْقَى البَحْرُ حُوتًا يُقَالُ لَهُ العَنْبَرُ. فَأَكَلْنَا نِصْفَ شَهْرٍ وَادَّهَنَّا بِوَدَكِهِ حَتَّى صَلَحَتْ أَجْسَامُنَا. قَالَ: فَأَخَذَ أَبُو عُبَيْدَةَ ضِلَعًا مِنْ أَضْلاَعِهِ فَنَصَبَهُ فَمَرَّ الرَّاكِبُ تَحْتَهُ. وَكَانَ فِينَا رَجُلٌ، فَلَمَّا اشْتَدَّ الجُوعُ نَحَرَ ثَلاَثَ جَزَائِرَ. ثُمَّ ثَلاَثَ جَزَائِرَ. ثُمَّ نَهَاهُ أَبُو عُبَيْدَةَ

Maksudnya: “Nabi SAW telah mengutus kami (dalam satu pasukan seramai) tiga ratus orang penunggang kuda dan ketua kami ialah Abu ‘Ubaidah. Kami (telah dihantar untuk) mengintip rombongan dagang Quraisy. (Dalam perang tersebut) kelaparan yang bersangatan telah menimpa kami sehinggakan kami terpaksa memakan al-Khabat.  Oleh sebab itu, kami telah diberi nama tentera al-Khabat. Setelah itu, laut telah mencampakkan seekor ikan paus yang dipanggil sebagai al-Anbar. Kami telah memakannya selama setengah bulan dan kami juga telah menyapu (badan kami) dengan minyaknya sehinggalah badan-badan kami menjadi segar dan baik.” Jabir berkata: “Abu ‘Ubaidah telah mengambil salah satu tulang daripada tulang-tulang ikan itu, lalu memacaknya (di atas tanah) dan seorang penunggang kuda boleh melintasi di bawahnya. Ada seseorang dalam kalangan kami, ketika mana kelaparan menjadi semakin teruk maka dia telah menyembelih tiga ekor unta. Kemudian (dia menyembelih) tiga ekor unta lagi. Selepas itu, Abu ‘Ubaidah telah melarangnya.”

Riwayat al-Bukhari (5494)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa harus untuk memakan ikan yang diburu atau ditangkap dengan menggunakan alat renjatan elektrik. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama yang menetapkan setiap bangkai hidupan laut adalah halal untuk dimakan, tidak kira ia mati bersebab ataupun mati dengan sendirinya. Bahkan bangkai ikan dan hidupan air/laut dihukumkan sebagai suci dan halal untuk dimakan. Dalam erti kata lain, ia tidak memerlukan kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Justeru, ia adalah halal dimakan tidak kira bagaimanapun cara ia mati atau dimatikan.

Meskipun begitu kami mengambil kesempatan di sini turut menasihatkan dan menyatakan bahawa penangkapan ikan dengan menggunakan alat renjatan elektrik adalah haram dan dilarang. Ini kerana cara penangkapan ini boleh menyebabkan banyak kerosakan seperti merosakan ekosistem kehidupan laut serta boleh menyebabkan kepupusan. Islam melarang umatnya untuk melakukan kemudharatan ke atas dirinya atau diri orang lain. Ini bertepatan dengan kaedah yang bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Baginda bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)

Lebih-lebih lagi, kerajaan Malaysia turut melarang penggunaan alat renjatan elektrik bagi tujuan penangkapan ikan dan termasuk di antara kesalahan yang dinyatakan dalam Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh diambil tindakan serta dikenakan denda atau kompaun bagi mereka yang melanggarnya. Dinyatakan dalam Bahagian VI (kesalahan-kesalahan), Seksyen 26:

(1) Mana-mana orang yang

(a) menggunakan atau cuba menggunakan apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa apa perkakas yang menggunakan arus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, bagi maksud membunuh, melali, mencacatkan atau menangkap ikan, atau dengan apa jua cara lain menyebabkan ikan itu lebih senang ditangkap;

(b) membawa atau mempunyai dalam miliknya atau di bawah kawalannya apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa-apa perkakas yang menggunakan anus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, dengan tujuan hendak menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, atau perkakas, atau alat yang dilarang itu, bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam perenggan (a); atau

(c) mengetahui atau mempunyai sebab yang munasabah bagi mempercayai bahawa mana-mana ikan adalah spesies yang dilarang atau telah ditangkap dengan melanggar peruntukan peruntukan Akta ini, menerima atau didapati memiliki ikan itu. adalah bersalah melakukan suatu kesalahan.

(2) Apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, perkakas atau alat yang tersebut dalam subseksyen (1) yang dijumpai dalam milik atau di bawah kawalan mana-mana orang hendaklah dianggap sebagai dicadang untuk digunakan bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) (a) melainkan jika dibuktikan sebaliknya.[2]

Maka, kita sebagai rakyat hendaklah mematuhi undang-undang tersebut. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Hal ini kerana pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting seperti memelihara kehidupan manusia dan alam sekitar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota hujung:

[1] Al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[2] Lihat https://www.ikantengas.org/akta-perikanan-1985/. Diakses pada 25 Ogos 2023.